Tuesday, September 2, 2008

MEMPERJUANGKAN HAK SETIAP RAKYAT ATAU MEMBANGKIT SENTIMEN RAKYAT?

Kita menerima hakikat negara ini milik seluruh rakyat Malaysia dan tiada siapa yang patut dipinggirkan. Dalam masa yang sama kita juga harus mengakui sifat kemajmukan yang wujud di negara ini. Kita juga sangat bersetuju bahawa semua pemimpin kaum di negara ini tidak seharusnya berfikiran rasis.

Namun, kita juga tidak boleh membohongi diri untuk tidak merasa bangga kepada kaum dan keturunan sendiri. Kita juga tidak perlu berlakon mengatakan bahawa kasih sayang kita terhadap anak orang lain tidak ada bezanya dengan kasih sayang terhadap anak sendiri.Samalah juga bohongnya jika kita kata perasaan sayang kepada kaum lain tidak ada bezanya dengan sayang kepada bangsa sendiri.

Apa yang diperkatakan ini adalah huKum alam. Semua kaum dan keturunan harus mengakui akan realiti ini.

“Malaysia adalah hak semua kaum” seperti yang dicanangkan oleh Anwar Ibrahim, sebenarnya adalah ‘ibu kepada segala dasar’ yang telah menjadi pegangan Perikatan dan BN selama ini!

Memang itulah sebenarnya yang diperjuangkan oleh bapa-bapa kemerdekaan dan bapa-bapa kepada pemimpin kaum yang membentuk Perikatan di mana akhirnya telah berjaya membebaskan negara ini dari penjajah.

Walau pun Perikatan telah dijenama dan diformat semula sehingga lahirnya Barisan Nasional, prinsip dan semangat itu tidak pernah sama sekali diabaikan oleh pemimpin-pemimpin BN sejak dulu.

Segala dasar dan penstukturan semula negara bangsa termasuklah dasar ‘affirmatiive’ yang diketengahkan oleh kerajaan selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah dilakukan semata-mata di atas maksud menambah kukuh hak setiap rakyat dengan mewujudkan keseimbangan dalam segala aspek kehidupan dan pencapaian antara kaum. Matlamat BN adalah untuk menghapuskan jurang antara kaum agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah antara satu kaum dengan kaum yang lain dan antara seorang rakyat dengan rakyat yang lain.

Mungkin negara kita telah lama rosak binasa dan menjadi anarki akibat pergaduhan kaum, jika pemimpin terdahulu terlepas pandang perkara paling asas ini.

Dasar menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum inilah yang telah menjadi kunci gedung keharmonian yang sekian lama terbina. Keamanan dan keharmonian ini tidak terjadi dengan sendiri seperti terjadinya alam sejak azali.

Hakikatnya, slogan Anwar dan barisan Pakatan Rakyat ini telah lama dizahirkan oleh BN. Hanya mereka yang membutakan mata dan hati saja yang tidak mengakui akan hakikat ini.

Kita juga mengalu-alukan jika Anwar dan Pakatan Rakyat mahu turut sama memperjuangkan hak semua rakyat di negara ini tetapi bukan dengan cara mengapi-apikan rakyat supaya menuntut setiap inci hak mereka sebagai seorang rakyat dan warganegara.

Cara itu tidak akan menyebabkan rakyat dapat hidup dalam kesamarataan, malah akan menambah bangkit sentimen dan rasa prejudis antara kaum. Cara itu juga akan turut menghakis perasaan sifat tolak ansur antara kaum yang telah sekian lama dipupuk oleh pemimpin semua kaum sejak sebelum negara ini merdeka.

Samada disengajakan atau pun tidak, retorik memukau yang mereka lafazkan telah turut memarak dan membangkit sentimen perkauman yang lebih kronik. Hari ini kita telah melihat kesannya, apabila setiap kaum telah menjadi begitu sensitif terhadap segala perkara yang menyentuh sensitiviti dan hak kaum masing-masing.

Siapa yang bertanggungjawab menyiram dan membaja budaya menuntut hak yang semakin meresahkan semua kaum ini? Siapa yang menyiram minyak dan memarakkan lagi api perkauman ke ladang perpaduan yang sedang terbakar?

Semakin tinggi kita terbang di angkasa, semakin indah kelihatan pemandangan di bumi. Khayal kita melihat segala keindahan alam yang membentang. Tapi apabila kita menjejak ke bumi baru kita ketahui segala yang dilihat cantik itu sebenarnya penuh dengan bukit bukau, belantara dan duri. Padang pasir pun kelihatan begitu cantik kalau dilihat dari udara. Tapi cubalah jejakkan kaki ke sana baru diketahui realiti sebenarnya.

Hanya mereka yang tinggal atau biasa dengan kehidupan belantara atau padang pasir sahaja yang terlebih arif dengan realiti sebenar kehidupan di situ.

Itulah perbezaan di antara alam retorik dan alam realiti! Kita boleh mengulit dan melafaz bait yang indah-indah, memikat dan ideal untuk diperdengarkan kepada rakyat. Bisa saja membangkit semangat, sentimen dan ketaksuban manusia kepada kita. Semakin tinggi dan semakin indah ucapan kita, semakin khayal dan terpesona manusia mendengarnya. Maka semakin ramailah manusia yang akan menggilai kita.

Tetapi, apabila sampai masa untuk meneruskan kehidupan, manusia-manusia ini akhirnya terpaksa juga berjejak ke bumi yang nyata. Kita takut manusia-manusia ini akan mengalami kejutan kerana kehidupan sebenar rupa-rupanya tidak seindah bait-bait yang diperdengarkan oleh idola retorika mereka. Hendak menggapai awan tapi akhirnya tersadung ke gunung.

Ingatan dan rayuan kepada Anwar dan pakatannya, jadilah pemimpin pengepal nasi. Janganlah menjadi pemimpin pengepal beras. Janganlah kerana terlalu kepingin membina keagungan seperti Tembok Besar Cina, jutaan rakyat terpaksa dilibatkan.

Kepada pemimpin BN juga harus diingat, janganlah menjadi seperti pembawa ajaran sesat. Agama itu baik, tapi akibat disalah guna dan tersalah dimengerti maka ramai pengikut turut terjerumus.

Pemimpin BN harus bertanggungjawab penuh terhadap bertambahnya pandangan serong rakyat terhadap BN! BN tetap seperti dulu. Cuma pemimpinnya yang berkelakuan seperti ‘kera dapat bunga’. Merekalah yang membuatkan BN kelihatan tidak relevan lagi.

Ayam berkokok atas batang,
Pemimpin bengkok, patut ditendang.
Jangan besok rakyat dah naik berang
Dengan parti-parti sekali hilang.

2 comments:

  1. betul kata penulis..

    biarlah kita sama2 ikhlas dalam memimpin :-)



    Salam perkenalan ;-)
    http://pro-faizal.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Kalau pemimpin betul dgn niat ikhlas utk memimpin negara akan aman damai, tapi kalau disebaliknya maka ini yang telah kita alami sekarang ini.
    kita fikir2 kan lah

    ReplyDelete