Hapuskan syarat ekuiti semua sektor termasuk sektor hartanah, pertahanan dan penyedia perkhidmatan keselamatan negara, pembekalan utiliti, agensi pelaburan kerajaan, lapangan terbang, penerbitan serta percetakan dan penerbitan semula,
‘‘Tiga sektor lain yang juga diharapkan oleh MCA ialah telekomunikasi termasuk pengeluaran perisian komputer, pengangkutan awam dan institusi kewangan dan perbankan,’’
Kalau begini keadaannya kita terima sajalah hakikat persaingan dalam liberalisasi pasaran yang sudah diterima pakai oleh dunia hari ini.
Tindakan selain dari bersetuju dengan ‘trend’ dunia ini pasti akan dianggap tindakan ke belakang. Jika kita, UMNO dan orang melayu menolaknya, maka kitalah yang akan dianggap ‘tak serupa orang’.
Keterbukaan MCA dalam memperjuangkan proses liberalisasi ini sangat dikagumi.
Keterbukaan yang diingini MCA ini sebenarnya melebihi dari keterbukaan yang diamalkan oleh Parti Demokrat pimpinan Obama.
Ada pihak beranggapan dasar ini terlalu agong sehingga semua perkara harus dikompromi demi kedaulatan liberalisasi pasaran hinggakan perkhidmatan berkaitan dengan keselamatan negara pun mahu dibuka. Apakah kita sudah ‘tidak kisah’ jika terdapat syarikat pelaburan asing mengawal 100% sektor berkaitan pertahanan negara, walaupun syarikat itu milik Israel?
Adakah liberalisasi mahu dijadikan penanda aras tunggal sebagai pra-syarat untuk semua negara mendapat keyakinan pelabur multinasional? Apakah negara hanya akan dianggap berada di landasan yang betul apabila liberalisasi pasaran diamalkan secara total?
Apakah jika kerajaan bertindak melindungi keselamatan negara dari ancaman musuh, bermakna kerajaan tidak berada dilandasan yang betul?
Adakah jika kita membuat sedikit sekatan dan perlindungan terhadap kepentingan pelaburan GLC, maka kita terus dicop sebagai bermentaliti lapuk?
Adakah dasar kewangan terbuka, dasar langit terbuka, dasar keselamatan terbuka dan lain-lain kepentingan mahu dibiarkan saja kepada kuasa pasaran menentukannya 100% atas nama kedaulatan persaingan dunia globalisasi dan keterbukaan?
Dasar affirmatif melalui DEB yang dilakukan kerajaan selepas 1970 pernah dianggap ganjil oleh dunia ketika itu. Dasar memilik-negarakan Petronas pernah dikritik dunia kerana kononnya tiada negara yang mengamalkan konsep pemiliknegaraan 100% dalam hasil minyak. Dasar kawalan modal ciptaan Mahathir juga pernah dianggap terkeluar dari amalan kelaziman kewangan dunia.
Tetapi hakikatnya, dasar yang dianggap ‘luar kelaziman’ dan berada dilandasan salah inilah yang telah menyelamatkan negara ‘beberapa kali’ dari terjerumus ke lembah jahanam.
Sekadar mengambil beberapa contoh dasar. Dasar merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, dasar merapatkan jurang antara golongan miskin dan kaya melalui kelahiran golongan kelas menengah, menghapuskan jurang ekonomi antara kaum, dasar pendidikan pelbagai aliran, merapatkan jurang pendapatan antara rakyat dan lain-lain, semuanya dijayakan di atas konsep adil dan saksama dengan mengambil kira kepentingan dari semua sudut.
Adakah semua dasar yang disebut ini salah dan tidak berada dilandasan yang betul? Apakah dasar ini bertentangan dengan proses liberalisasi?
Jika dasar semurni dan setelus ini dianggap bertentangan dengan proses liberalisasi, maka sudah tentu dasar liberalisasi inilah sebenarnya ada yang tidak kena.
Dasar liberalisasi hanya mengambil kira soal pertumbuhan ekonomi, kononnya apabila peratusan pertumbuhan ekonomi meningkat berlipat ganda maka negara dan rakyat akan mendapat benafaat secara langsung. Liberalisasi hanya memikirkan soal keadilan dan meritokrasi dalam mengaut keuntungan dari peluang dan pertumbuhan ekonomi.
Soal jurang-jurang yang mungkin terbina hasil dari pertumbuhan ini tidak termasuk di dalam pertimbangan mereka. Soal keseimbangan, peminggiran rakyat ‘underprivilege’, kekangan kaum, kekangan pengetahuan dan kemahiran sebahagian rakyat, kekangan geografi dan lain-lain kekangan tidak langsung menjadi pertimbangan penganut fahaman liberalisasi.
Dasar inilah yang berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya ‘pelebaran jurang’ di dalam pembangunan sosio-masyarakat yang sejak dulu mahu dihapuskan oleh kerajaan.
Apakah jaminan liberalisasi terhadap golongan yang tidak berpeluang untuk bersaing? Apakah proses liberalisasi yang berteraskan meritokrasi total ini merupakan satu-satunya penyelesaian total masyarakat dunia?
Apakah perkembangan sosio-masyarakat keseluruhan akan menjadi lebih baik dari hari ini dengan anutan fahaman liberalisasi?
Tiada siapa lagi yang boleh membela nasib golongan yang keciciran dalam arus liberalisasi dan meritokrasi melainkan diri mereka sendiri. Sesiapa yang tiada atau kurang keupayaan, tiada atau kurang modal, tiada atau kurang kemahiran , tiada atau kurang pengetahuan dan tiada atau kurang jaringan perniagaan berbanding pesaing atau rakyat yang lain, maka terimalah hakikat bahawa mereka akan ketinggalan, hanyut dan terpinggir.
Ini ketetapan dunia yang telah ditentukan melalui landasan liberalisasi total. Barang siapa yang tidak mengikut rukun liberalisasi total akan dianggap ketinggalan zaman dan lapuk.
Sekalung tahniah buat MCA kerana menjadi penganut fahaman liberalisasi total yang paling ekstrim dalam komponen BN.
No comments:
Post a Comment