Thursday, June 19, 2008

MELAYU TUNTUT HAK ATAU PERTAHAN BAKI HAK?

Perlembagaan negara yang ada hari ini, sebenarnya adalah kesinambungan dari perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang digubal pada tahun 1948.

Bab yang menyentuh soal kepentingan orang melayu seperti soal bahasa, budaya, agama, rezab melayu dan kedudukan raja-raja melayu telah pun dilindungi dan dimaktubkan di dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 lagi.

Jika kita imbas kembali kronologi sehingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, UMNOlah yang telah berjuang bermati-matian menentang pembentukan Malayan Union. Tun Tan Cheng Lock sendiri ketika itu lebih mirip kepada penubuhan ‘Republic of Malaya’. MCA dan MIC pula hanya bergabung di bawah Perikatan selepas UMNO dipimpin oleh Almarhum Tunku Abd Rahman untuk turut sama memperjuangkan kemerdekaan.

Sewaktu proses mendapatkan kemerdekaan, komuniti Cina dan India yang ketika itu berstatus PATI telah diberi HAK ISTIMEWA SEBAGAI WARGANEGARA DI BUMI ASING BAGI MEREKA. Ketika masih berstatus PATI mereka telah diberi peluang mengusahakan kek ekonomi dan pemilikan harta tanpa sekatan malah telah melebihi dari apa yang dinikmati oleh penduduk asal tanahair ini. INILAH HAK ISTIMEWA PALING BERMAKNA YANG DIPEROLEHI OLEH KAUM PENDATANG DALAM SEJARAH PERADABAN DUNIA!

Mereka telah membuat pilihan paling tepat untuk memilih Tanah Melayu sebagai negara untuk mereka berhijrah dan seterusnya menyebabkan kehidupan mereka lebih terjamin dari kehidupan di negara asal mereka. Ketika itu tiada sasaran pemilikan 30% untuk melayu atau bumiputera. Belum pun bertaraf warganegara, mereka telah menikmati dasar meritokrasi!

Hari ini anak cucu cicit mereka telah berjaya menguasai sektor ekonomi, pemilikan harta dan perdagangan. Secara tidak langsung anak cucu cicit mereka telah menjadi tuan atau majikan kepada berjuta-juta penduduk asal yang mencari rezeki.

Fakta sejarah ini, sebenarnya menuntut bukan sahaja orang melayu, malahan kaum bukan melayu untuk bermuhasabah diri berlandaskan fakta yang telah menjadi sejarah. Hakikatnya, peruntukan perlembagaan yang melindungi kedudukan orang melayu tidak kena mengena dengan soal memberi balasan hak kewarganegaraan kepada kaum cina dan India. Ini kerana, soal yang menyentuh tentang ketuanan melayu telah pun diperjuangkan lebih awal oleh Datuk Onn melalui UMNO. Isu ‘memberi hak istimewa sebagai warganegara kepada kaum pendatang’ hanya dimasukkan sebagai sebahagian dari agenda apabila usaha ke arah menuntut kemerdekaan dilakukan.

Mengorbankan sebahagian dari hak untuk dikongsi dengan bangsa asing hanya dilakukan oleh penduduk pribumi yang bernama melayu. Ia tidak pernah berlaku di mana-mana negara di dalam dunia ini. Kalau ada pun, sewaktu peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, di mana kaum Ansar (Warga Madinah) telah menyerahkan sebahagian dari hak dan keistimewaan mereka seperti ladang, tanah dan tempat kediaman kepada kaum Muhajirin (Pendatang dari Mekah) untuk dikongsi bersama di dalam pembentukan sebuah negara Madinah.

Kaum pendatang telah diberi pilihan samada untuk pulang semula ke tanahair sendiri atau memohon kerakyatan negara ini dengan syarat paling mudah, iaitu hanya perlu lulus bertutur bahasa melayu yang paling asas. Samalah seperti tahap kemahiran pertuturan yang dimiliki oleh pelayan-pelayan restoren dari India dan Nepal yang bertaburan di negara ini sekarang.

Apa yang wajib diwaraskan oleh generasi muda kini, adalah, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan terbentuknya struktur negara yang sebegini rupa. Struktur pembinaan negara ini terbina hasil dari persefahaman datuk nenek kepada semua kaum yang ada di Malaysia hari ini. Merekalah yang bertanggungjawab menggubal apa yang telah termaktub dalam perlembagaan yang ada.

Pertanyaan yang harus kita fikirkan, “adakah dato nenek kepada semua kaum di negara ini telah melakukan kesilapan besar dalam merekabentuk model struktur bina bangsa yang sebegini rupa?

Kalau kita bersetuju untuk mengatakan mereka telah melakukan kesilapan, maka orang melayulah sepatutnya yang paling kesal dengan apa yang telah dipersetujui oleh datuk nenek orang melayu. Tidak mungkin cucu cicit kaum pendatang hari ini kesal dengan apa yang telah dibuat oleh datuk nenek mereka kerana datuk nenek mereka telah menyediakan suatu landasan, ruang dan peluang yang cukup bernilai kepada generasi anak cucu cicit mereka hidup di negara yang dianggap asing pada asalnya.

Kalau datuk nenek mereka dulu gagal memperjuangkan soal hak kewarganegaraan ini, sudah pasti negara Malaysia yang berdaulat ini dimiliki sepenuhnya oleh orang melayu!

Sudah pasti tidak timbul persoalan tentang perlunya Allahyarham Tun Razak menstruktur semula masyarakat pelbagai kaum, keperluan mewujudkan sasaran 30% pemilikan ekuiti bumiputera, soal agihan biasiswa, soal jurang ekonomi antara kaum atau pun soal-soal kompleks yang melibatkan hubungan antara kaum atau pun agama!

Sekarang, segala tindakan dan keputusan mengenai soal dasar dan perlaksanaan terpaksa diperhalusi bagi memberi keadilan kepada semua. Soal keamanan, keselamatan, keharmonian dan kemakmuran bersama untuk semua kaum terpaksa didahulukan dalam segala hal bagi memastikan tidak berlaku huru hara dan pergaduhan kaum.

Sebenarnya, tidak wujud kamus ‘menuntut hak’ bagi orang melayu kerana orang melayu telah melepaskan sebahagian haknya untuk dikongsi bersama. Apa yang orang melayu lakukan hari ini hanyalah mempertahankan saki-baki hak yang masih ada di tangan.

Keadilan sebenar tidak akan berlaku jika hanya satu kaum sahaja yang terus-terusan dipertanggungjawabkan untuk mengorbankan haknya manakala kaum lain terus-terusan menuntut tambahan hak selain dari apa yang telah dimiliki.

Agenda ‘melakukan pengorbanan’ oleh orang melayu begitu jauh bezanya dengan agenda ‘melakukan tuntutan’ oleh bukan melayu. Inilah barangkali yang gagal difahami oleh cucu cicit kepada datuk nenek yang suatu ketika dulu begitu asing tapi telah diterima dan diberikan hak istimewa sebagai sebahagian dari warganegara tanpa memerlukan apa-apa bayaran. Kalau datuk nenek mereka dulu berhijrah ke Australia mungkin mereka terpksa membayar dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan status sebagai warganegara.

Perbincangan secara akademik ini tidak bersangkutan dengan ‘racist’, tetapi berkait rapat dengan usaha untuk menghapuskan sifat ‘racist’ yang masih wujud kepada sebahagian dari cucu cicit kepada kaum pendatang yang sering menggunakan topeng Bangsa Malaysia untuk terus menuntut tambahan hak bagi pihak kaum mereka.

Fikir-fikirkanlah dengan kewarasan...

No comments:

Post a Comment