Tuesday, July 1, 2008

DS ANWAR : YANG TERLOPONG DAN YANG TERTAWA

Kalau diperhatikan kaedah bagaimana Anwar meyakinkan rakyat agar menyebelahi beliau dalam setiap krisis dan isu, dari dulu sampai sekarang ‘stereotpye’. Lebih kurang sama dan berulang-ulang sejak dari zaman pelajar lagi.

Beliau agak bijak dalam hal ini. Pakar dalam bidang propaganda dan publisiti. Apa yang paling penting bagi beliau, persepsi rakyat harus dimenangi dahulu. Benar atau salah, beretika atau tidak, undang-undang negara atau undang-undang rimba bukan pertimbangan beliau. Asal maksud tercapai, bisa saja.

Quran, hadis, machieveli, Lenin, Ayatullah Khomeini, Muamar Ghadaffi, Ismail Faruqi, Karl Mark, Hassan Al Banna, Hassan Turabi, Hitler, Ibnu Taiyimmah, Ibnu Khaldun, Munsyi Abdullah atau Sheikh Al Hadi, sebut saja rujukan dan manusia yang mencipta nama di dunia ini, pasti ada yang diambil pelajaran sikit sana sikit sini. Asal ada pendekatan yang difikir baik untuk diambil dari mereka-mereka ini, pasti akan diguna pakai dalam menjamin survival politiknya.

Pendekatan ilmu rojak ini dapat dinilai ada pada dirinya. Itu sebab bila berbicara soal agama beliau mendahului ulamak. Bila berbicara soal keadilan beliaulah paling adil. Bila berbicara soal kemiskinan beliaulah yang menjuarai. Bila berlaku proses islamisasi beliau juga yang lebih arif. Bila bicara soal ekonomi bebas, beliau lebih pakar dari ekonomis kapitalis. Bila bicara soal ekonomi Islam beliau setanding dengan Ismail Faruqi. Bila bicara soal bangsa dan budaya akan kelihatan seperti Munsyi Abdullah. Bila bicara soal politik demokrasi beliaulah kelihatan paling demokratik dan penjunjung demokrasi no wahid. Bila bicara soal politik Islam, segala kitab Hassan Al banna, Maududi, Khomeini ada dalam dadanya.

Pendek kata beliaulah pejuang islam, beliaulah pejuang demokrasi, pejuang keadilan sejagat, bapa ketelusan, penjunjung ekonomi bebas, pencetus ekonomi islam, pembawa transfomasi budaya, pejuang kesamarataan, penghapus politik perkauman, pejuang para fakir miskin, nelayan dan petani, pejuang setinggan dan penduduk miskin bandar, benci pada penindasan dan kezaliman, punyai sikap tolarensi yang tiada bandingan samada dalam soal yang melibatkan hubungan kaum atau penganut pelbagai agama, paling diplomasi, paling bil-hikmah, pejuang asia, pejuang sejagat, pejuang masyarakat madani, pejuang bangsa Malaysia tanpa sikit pun berbau perkauman, anti KKN, raja perang rasuah, paling benci dengan sistem kehakiman yang tidak pernah bebas.

Dipendekkan lagi, segala kaedah dan perjuangan samada yang hak mau pun yang batil, beliaulah yang menjuarainya. Itu sebab beliau boleh bergaul dengan Tok Guru Nik Aziz dan Nallakarupan. Boleh berkawan dengan Ismail faruqi dan Wolfensen, boleh sembang dengan George Bush dan Ahmad Nejad, disukai oleh Hj Abu Bakar Bashir dan Bapak SBY.

Banyak lagi untuk dihurai dan dianalisa tentang siapakah gerangan DS Anwar. Kalau dapat difahami maksud tersirat ini, mudahlah kita memahami ‘modus operandi’ DS Anwar. Mudahlah dapat dibaca setiap gerakannya. Mudahlah diketahui kenapa dia melakukan satu-satu perkara. Apa yang ingin dicapai dari satu-satu tindakan yang diambilnya.

Bagi yang tidak memahami siapa gerangannya, maka akan terloponglah mulut mendengar pidatonya. Bagi yang tahu pasti akan tertawa sendiri mendengar retoriknya.

Salam & selamat malam kepada pencari kebenaran dan kepada yang mewaraskan pemikiran dan pertimbangan.

No comments:

Post a Comment