Wednesday, July 2, 2008

DS ANWAR MAHU RAKYAT JADI PENYIASAT DAN HAKIM

Dalam tempoh kritikal sejak 26 Jun, Anwar belum lagi memberi keterangan kepada pihak polis. Sebaliknya telah membuat pengumuman demi pengumuman kepada rakyat dan dunia mengenai tuduhan yang mengaitkan dirinya.

Pengumuman berbentuk keterangan tersebut sepatutnya diberikan kepada pihak polis untuk disiasat dan diambil tindakan yang mengikut undang-undang negara. Rakyat dan dunia tidak ada ‘authority’ untuk mengambil sebarang tindakan. ‘Authority’ hanya ada pada pihak berkuasa, iaitu pihak polis dan pendakwa jika sabit bukti-bukti kukuh.

Jika mengadu kepada rakyat apa yang rakyat boleh bantu? DS Anwar memberi keterangan pada tempat yang salah. Mengadu pada US juga tidak memberi apa-apa makna dalam siasatan kes peribadi Anwar VS Saiful ini.

Ini bukan lapuran polis pertama yang dibuat. Beratus ribu dan mungkin sudah berjuta, polis menerima lapuran sejak merdeka. Semua pihak samada pelapur atau suspek perlu memberi keterangan mengikut prosedur yang selama ini telah menjadi amalan pihak polis.

Kenapa DS Anwar mengambil langkah berbeza? Membuat undang-undang dan prosedur sendiri. Undang-undang rimba mana yang diamalkannya? Kenapa dia harus mengheret seluruh rakyat untuk turut terlibat menyiasat dan memberi pendapat dalam kes peribadi beliau?

Kalau dia tidak mahu mempercayai pasukan polis, kenapa dia membuat lapuran polis pula terhadap IGP dan AG? Nampak jelas dia hanya mengakui kredibiliti pasukan polis kalau perkara tersebut menguntungkan beliau. Kalau merugikan beliau terus tidak boleh diiktiraf. Terus diletakkan tanda ‘ragu’ dengan melemparkan pelbagai tuduhan. Bukti kononnya ada dan akan didedahkan sikit masa lagi.

Nampaknya pihak kerajaan kena wujudkan institusi dan undang-undang khusus untuk DS Anwar seorang. Undang-undang yang dibuat itu mestilah mengikut citarasa dan kehendak DS Anwar. Mungkin langkah ini boleh mengamankan negara!

Keistimewaan ini hanya untuk DS Anwar seorang kerana jika tidak dilakukan DS Anwar tidak boleh bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang merugikan beliau. Negara nak hancur, rakyat haru biru, ekonomi terjejas tidak penting. Yang penting dia harus survive dan menjadi Perdana Menteri.

Salam.

No comments:

Post a Comment