Friday, June 20, 2008

INI BUKAN COBAAN, INI BETUL-BETUL

Penyakit sindrom penafian yang terbiar tanpa dirawat telah menyebabkan timbulnya komplikasi lain. Komplikasi yang timbul ini amat merbahaya dan boleh membawa maut.

Segala punca dan bahaya penyakit telah diberitahu. Kesan penyakit jika dibiarkan pun telah diberitahu. Pendek kata, semua pakar telah memberikan nasihat dan pandangan. Ada di antaranya telah mengambil inisiatif untuk turut sama membantu agar penyakit ini dapat disembuhkan. Tapi, semuanya tidak diendahkan, malahan ada ubat-ubat yang diberi telah dibuang ke longkang begitu saja.

Cara perubatan yang diberikan oleh doktor pakar tidak diendahkan kerana dikatakan tidak sesuai dengan citarasa. Takut menerima rawatan, takut tengok darah, takut hilang kaki, hilang lutut, takut duduk hospital dan macam-macam ketakutan lagi yang dibayangkan.

Doktor pakar menyarankan kaedah rawatan moden tapi kerana takut menghadapi rawatan, segala bomoh dan dukun dengan segala kaedah rawatan telah dicuba.

Akhirnya penyakit sindrom penafian telah merebak menjadi kanser yang boleh memutuskan terus talian hayat.

Kalau dari awal lagi pemimpin-pemimpin UMNO bertegas untuk menyelesaikan masalah kepimpinan di peringkat dalaman parti, mungkin masalah ini tidak akan merebak hingga ke peringkat komponen parti.

Hari ini, parti komponen telah hilang pertimbangan melihat gelagat pemimpin UMNO yang tidak buat apa-apa untuk membetulkan parti. Pemimpin UMNO patut sedar bahawa mereka bukan sahaja menjadi pemimpin UMNO, malahan mereka juga adalah pemimpin Barisan Nasional.

Parti-parti komponen juga bergantung harap kepada kekuatan UMNO untuk jaminan survival politik parti mereka. Mereka memerhati dan melihat dengan teliti apa yang sedang dilakukan oleh UMNO untuk memperbetulkan segala kelemahan.

BN akan terus menghadapi risiko kemungkinan hilang lebih banyak rakan kongsi jika UMNO masih tidak mahu mengakui akan penyakit sebenar yang sedang melanda. Rakan komponen perlukan sesuatu yang konkrit bagi meyakinkan diri untuk terus sehidup semati bersama BN.

Pemimpin UMNO harus berpijak di bumi. Keputusan harus dibuat samada sedia untuk berubah atau bersedia untuk diubah. Tidak ada pilihan ke tiga. Kita telah benar-benar kesuntukan masa. INI BUKAN COBAAN..INI BETUL BETUL! INI BUKAN COBAAN!…INI BETUL-BETULLL!

Gara-gara kelemahan pemimpin, hari ini rakan komponen telah mengambil inisiatif sendiri, akibat hilang keyakinan. Besok lusa, rakyat pula akan ambil inisiatif sendiri. Ahli dan pemimpin UMNO mahu buat perubahan sendiri atau mahu rakan komponen tolong buat perubahan bagi pihak UMNO? Atau pun dalam PRU13 nanti rakyat akan tolong ubahkan bukan saja kepimpinan UMNO, malah ubah kerajaan.

Mana satu pilihan yang kita mahu? INI BUKAN COBAAN…INI BETUL-BETUL! MT UMNO janganlah asyik berstrategi dan meyakinkan diri sendiri bahawa strategi dan congak mereka saja yang paling betul.

MT dan pemimpin bahagian selalunya cukup pandai baca ‘mood’ perwakilan bila ‘timing’ yang paling sesuai untuk rebut jawatan. Jarang sekali tersilap perkiraan. Tapi keilihatan begitu dangkal bacaan dan congakkan dalam membaca ‘mood’ rakyat terhadap parti.

Pendek kata, pandai baca ‘mood’ untuk survival agenda peribadi tapi bersikap ambil mudah dalam membaca ‘mood’ rakyat terhadap parti. Pemimpin begini tidak layak diberikan harapan dan tanggungjawab untuk memimpin parti.

Kepada ahli dan perwakilan yang benar-benar inginkan perubahan, janganlah dahulukan survival peribadi. Janganlah diberi mandat kepada pemimpin-pemimpin jenis ini untuk memimpin UMNO di peringkat bahagian atau pun di peringkat pusat. Bacalah ‘mood’ rakyat, janganlah hanya baca ‘mood’ perwakilan saja.

Kalau 'mood' rakyat kembali bersama BN, berbaloilah untuk menjadi ketua bahagian atau MT. Kalau 'mood' perwakilan bersama pemimpin parti, belum tentu 'mood' rakyat akan bersama BN.
Jangan cuba nafikan hakikat ini. Fikirkan cepat.

Janganlah hendaknya BN senasib dengan harga barangan keperluan. Bila minyak naik harga barang keperluan pun turut naik. Takut nanti bila SAPP naikkan 'mood', komponen lain pun turut 'naik minyak'. Akhirnya, yang tinggal hanya 'tahi minyak'...

INI BUKAN COBAAN...INI BETUL-BETUL..

No comments:

Post a Comment