Sunday, May 27, 2012

TUN M : JANGAN BIAR SEMUT MASUK HINGGA KE SELUAR DALAM!!!

Transformasi yang dilakukan oleh Tony Blair dengan imej New Labour telah berjaya menjenama semula parti buruh sehingga parti tersebut akhirnya mendapat semula mandat rakyat.

Antara pendekatan terbesar yang dilakukan oleh pimpinan parti buruh ialah mengemukan barisan kepimpinan baru yang lebih muda dan dinamik.

Rakyat melihat Labour party seolah-olah sebuah parti yang benar-benar baru, bertenaga, beridea baru dan punya pendekatan baru. Persepsi rakyat terhadap imej baru labour bertukar sama sekali. Setiap rakyat begitu bangga bila memperkatakan tentang the new labour pimpinan Tony Blair.

Perubahan atau transformasi yang digambarkan mesti diterjemahkan secara realiti.

Jika UMNO berkata akan menyuntik tenaga muda dalam kepimpinan, maka ia harus dilihat berlaku.

Jika UMNO berkata soal kepimpinan harus diterima rakyat, maka ia harus dirasai berlaku.

Jika UMNO berkata kita harus berani berubah sebelum diubah, perubahan itu harus berlaku secara drastik. Perubahan secara perlahan dan terlalu berhati-hati kurang berkesan berbanding dengan pendekatan "suka mengejutkan minda rakyat" seperti yang selalu dilakukan oleh Dr Mahathir.

Kejutan-kejutan seperti buy British last, kawalan matawang dan banyak lagi dasar yang diperkenalkan oleh Tun M, telah menyebabkan dia menjadi "factor dan aktor". Kawan atau lawan akhirnya terpaksa mengakui Mahathir hebat.
 
Kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah kerajaan pasti wujud dan setiap kesilapan dan kelemahan ini pasti menjadi senjata utama pihak pembangkang untuk menjejaskan kredibiliti sesebuah kerajaan pada pandangan dan persepsi rakyat, dan pentadbiran Tun M juga tidak terkecuali dari kesilapan dan kelemahan. Tetapi segala kelemahan dan kesilapan pentadbiran Tun M sering dibayangi oleh kehebatan, kejutan dan outcome luar biasa pentadbiran dan kepimpinannya.
 
Kekuatan Tun M terserlah kepada kekuatan imej dan karakter kepimpinannya. Pembinaan imej dan karakter Tun M adalah di antara faktor terpenting yang telah menyebabkan kerajaan pimpinan Tun M sering memenangi sokongan majoriti senyap dan telah mematikan segala serangan dan strategi pembangkang untuk melebarkan pengaruhnya di kalangan rakyat. Rakyat atau lebih tepat lagi, majoriti senyap terlupa, terlepas pandang atau pun bersedia mengkompromi atau tutup sebelah mata segala kelemahan dan kesilapan pentadbiran Tun M, disebabkan kebaikan dan faedah yang diperolehi oleh rakyat lebih dirasai dan mampu mengubat hati rakyat.

Sebagai PM, tidak mungkin DS Najib atau siapa saja mampu memenuhi setiap kehendak rakyat pada satu-satu masa. Seseorang PM harus memandang segala masalah dan mencari jalan penyelesaian sepertimana kita memandang pergerakan "kerajaan semut". Tahu di mana semut berkubu. Tahu ke mana halatuju semut dan kenapa tentera semut menghala ke situ. Bagaimana dan apa pendekatan yang terbaik untuk membendung kemaraan tentera semut. Segala kekuatan dan kelemahan tentera semut harus diketahui. Tahu apa ubat, penawar dan racun yang sesuai untuk digunakan bagi membendung dan mengawal kemaraan pengaruh kerajaan semut.

Kalau kerajaan BN gagal mengenal pasti segala masalah dan jalan penyelesaian terbaik bagi membendung kecenderungan pemikiran kiri dan kanan yang sedang mara dan terus mara, mempengaruhi pemikiran majoriti senyap, tidak menghairankan jika kita akhirnya terpaksa menanggalkan baju, hatta seluar dalam dan "baju prat" kerana tidak tahan geli-geleman akibat kemaraan tentera semut yang sudah menyelinap masuk hingga ke batang tubuh.

1 comment: