Sunday, March 28, 2010

USUL POLITIK PERKASA N.SEMBILAN

Assalamualaikum wrb

Yang dihormati YB Dato Presiden Dan seluruh barisan Jawatankuasa Pusat Perkasa, seterusnya sidang perwakilan yang dimuliakan.

Saya, Kamarulzaman bin Kamdias, wakil Perkasa Negeri Sembilan, memohon izin perwakilan sekalian untuk membawa ucapan menyokong usul yang telah dibawa oleh Perwakilan Johor.

BUDAYA PERKONGSIAN KUASA

Sidang perwakilan sekalian,

Apabila kita bercakap soal politik dan kuasa di negara ini, sebenarnya kita tidak boleh lari dari ungkapan ‘perkongsian kuasa’. Boleh dikatakan ‘Perkongsian kuasa’ sudah menjadi sebahagian dari adat dan budaya pemerintahan negara. Mana-mana parti politik yang cuba bergerak bersendirian, tidak akan ke mana.

Siapakah yang merintis budaya berkongsi kuasa ini? Tidak sah jika kita tidak mengaitkannya dengan Allahyarham Dato Onn dan kemudiannya disempurnakan oleh Almarhum Tunku Abd Rahman.

Mereka inilah perintis yang bertanggungjawab mewujudkan budaya ‘perkongsian kuasa’ di negara ini. Merekalah yang meyakinkan masyarakat Melayu, agar bersedia berkongsi kuasa jika mahu membebaskan negara ini dari penjajah.

Hakikatnya, orang Melayu lebih dari mampu untuk menuntut kemerdekaan secara bersendirian. TETAPI, pimpinan Melayu ketika itu bertindak sebaliknya. Mereka meyakinkan orang Melayu agar menerima konsep perkongsian kuasa bersama dengan kaum cina dan india. Perlu juga diperingatkan, ketika Pilihanraya Bandaran tahun 1951 dan pilihanraya pertama pada tahun 1955, kaum cina dan india belum lagi bertaraf warganegara, tetapi mereka sudah pun diberi hak untuk mengundi.

Terdapat juga pemimpin-pemimpin kaum dari kalangan bukan Melayu, yang berjiwa besar seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan. Mereka mengakui, kerana sifat toleransi orang Melayulah, kaum cina dan india dapat berkongsi tanah air ini.

Apabila gagasan perkongsian kuasa ini dipersetujui, maka dipersetujuilah oleh pimpinan-pimpinan kaum ini, tentang beberapa perkara pokok dan asas yang penting. Perkara paling pokok dan asas ini telah diperlembagakan.

Antaranya, soal status keistimewaan penduduk Pribumi, hak kewarganegaraan dan kepentingan sah kaum cina dan india, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi persekutuan di samping lain-lain kepercayaan dan agama bebas untuk diamalkan. Perkara-perkara asas ini dipersetujui untuk diikat dan disisip di dalam perlembagaan.

Persefahaman yang terkenal dengan nama kontrak sosial ini, bukan dicipta dan dipersetujui oleh pemimpin Melayu sahaja, sebaliknya ia telah dicipta dan dipersetujui secara bersama oleh semua pemimpin-pemimpin kaum. Melalui persefahaman ini, tiada mana-mana kepentingan kaum pun yang dipinggirkan. Semua kepentingan setiap kaum dijamin oleh perlembagaan.

Dulu, apabila pemimpin-pemimpin besar negara melakukan lawatan ke luar negara, mereka sering ditanya oleh pemimpin asing, apakah rahsia di sebalik kejayaan negara menyusun masyarakat yang begitu unik dan kompleks. Kunci rahsianya ialah pemimpin-pemimpin kaum suatu ketika dulu telah berjaya mencari satu titik persamaan dengan cara mengorbankan perasaan dan sentimen perkauman serta mengenepikan segala perbedaan yang wujud di antara mereka.

Kita nak maklum kepada para pemimpin yang cuba menjaja ungkapan retorik ‘Carilah titik persamaan dan ketepikan perbedaan’. Sebenarnya amalan ini sudah berjaya dilakukan sejak lebih 60 tahun dulu.

Melalui budaya perkongsian kuasa inilah yang membolehkan tanah air ini mencapai kemerdekaan lebih cepat tanpa menitiskan walau pun setitik darah.

Sayugia diperingatkan, semua ini berjaya dilakukan adalah di atas pengorbanan dan air mata orang Melayu. Air mata yang mengalir dari kelopak mata orang Melayu adalah manifestasi dari sebuah pengorbanan, di mana orang Melayu terpaksa memberi sebahagian dari hak mereka untuk dikongsi bersama kepada pihak lain. Sebaliknya, air mata yang mengalir di pipi kaum cina dan india ketika itu adalah air mata kegembiraan kerana mereka telah diterima menjadi sebahagian dari warga di tanah melayu ini.

Perlu juga diperingatkan, perjuangan membina sebuah negara dan kemerdekaan, mungkin sama sekali berbeza dengan apa yang telah tercatat di dalam sejarah, SEKIRANYA, orang Melayu tidak bersedia untuk bertolak-ansur di dalam memberikan ruang kepada kaum yang pada asalnya asing untuk berkongsi hidup di tanah air ini.

Apa yang pasti, Kemerdekaan lambat laun akan tercapai juga seperti mana lain-lain negara yang dijajah, jika orang Melayu mengambil pendirian untuk mencapai kemerdekaan secara bersendirian.

Jika orang Melayu berpendirian sebegitu rupa, maka pada hari ini tidak perlu pun diwujudkan perkara 153 di bawah Perlembagaan negara. Apa perlunya lagi peruntukan 153, jika negara ini memang dimiliki 100% oleh kaum Pribumi?

Orang Melayu memang satu rumpun bangsa yang berjiwa besar. Orang Melayu sanggup melepaskan sebahagian dari 100% hak yang sepatutnya mereka miliki untuk dikongsi bersama dengan kaum cina dan india yang pada ketika itu bertaraf imigran.

Hari ini saya berani katakan, barang siapa yang menuduh bangsa Melayu rasis, MEMANG SAH…, mereka-mereka ini buta sejarah, buta mata dan buta hati. ATAU, mereka sengaja membutakan mata dan hati bagi tujuan untuk merampas dan meruntun segala hak dan keistimewaan Melayu yang telah disimpan rapi di dalam peti besi perlembagaan negara. Di dalam mereka melakukan proses rampasan ini, mereka menggunakan pelbagai jenis senjata, termasuklah senjata kesamarataan, senjata liberalisasi, senjata kuasa pasaran dan meritokrasi.

PENGORBANAN ORANG MELAYU

Sidang perwakilan sekalian,

Perlu diingat, apa yang cuba dilakukan oleh orang Melayu di dalam dewan yang mulia, pada hari ini bukan gerakan untuk menuntut hak itu dan ini. Kita hanya ingin mempertahankan baki hak yang masih tinggal kepada orang Melayu, kerana hak yang selebihnya telah pun bapa-bapa kita serahkan untuk dikongsi bersama dengan kaum cina dan india.

Orang Melayu adalah sebuah bangsa unggul dan tiada mana-mana bangsa pun di dunia ini yang boleh menyaingi keunggulan nilai dan peradaban yang dimiliki oleh bangsa Melayu. Nilai dan peradaban ini hanya pernah berlaku dan dilakukan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW di negara Madinah Al Munawarah.

Nabi Muhammad SAW telah berjaya mewujudkan ketamadunan dan peradaban yang tiada tolok banding. Baginda telah berjaya menyatukan kehidupan di antara kaum Ansar dan kaum Muhajirin, menjadi satu. Kaum Ansar sebagai penduduk pribumi Madinah, bukan saja bersedia menerima penghijrahan kaum Muhajirin Mekah, malah, mereka turut mengorbankan sebahagian dari harta benda, malah ada yang melepaskan salah seorang dari isteri-isteri mereka untuk diperisterikan kepada kaum Muhajirin.

Di dalam masa yang sama, kaum muhajirin juga tahu menunjukkan rasa kesyukuran dan terima kasih di atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh kaum Ansar. Kaum Muhajirin tidak pernah sekali-kali melakukan apa-apa tuntutan melebihi dari apa yang telah diberikan oleh kaum Ansar kepada mereka, jauh sekali untuk menikam kembali kaum Ansar dari belakang.

Mereka saling sokong menyokong, sama ada di dalam urusan agama mahupun di dalam urusan kehidupan seperti berladang dan berniaga. Mereka tahu batas sempadan dan hak masing-masing sebagai kaum pribumi dan sebagai kaum yang berhijrah. Mereka tiada perasaan tamak haloba mahu lagi dan lagi, dan mereka tidak pernah tuntut menuntut hak di antara satu sama lain. Kaum Muhajirin tidak pernah menuntut hak kesamarataan, kaum muhajirin tidak pernah menuntut dengan cara memicu senjata liberalisasi ataupun meritokrasi, kaum muhajirin tidak pernah mempertikaikan segala hak dan kedaulatan sejak azali yang dimiliki oleh kaum Ansar. Mereka bukan saja tahu dan faham bahawa kaum Ansar adalah pihak yang telah melakukan pengorbanan, malah mereka benar-benar ikhlas dan jujur untuk hidup berkongsi negara dengan kaum Ansar.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Jika diimak dan diteliti sejarah perjalanan, perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang Melayu sepanjang tempoh sebelum dan selepas kemerdekaan sehingga kini, jelas, sifat toleransi orang Melayu saling tak tumpah, mirip kepada nilai dan peradaban yang telah dilakukan oleh kaum Ansar Madinah.

Hakikat ini telah diperakui sendiri oleh Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan.

Mungkin kerana faktor pengorbanan inilah agaknya, maka Allah swt masih memelihara dan melindungi tanah Melayu ini.

KUASA UNDI PENENTU

Sidang perwakilan sekalian,

Seperti yang dinyatakan oleh wakil Johor, Kerajaan hari ini sedang melalui satu tempoh sukar kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan sedang memerintah di dalam kedudukan majoriti mudah.

Semua ini terjadi adalah disebabkan kuasa politik orang Melayu hari ini sudah terbelah dua, iaitu lebih separuh dari orang Melayu masih kekal bersama pemerintah, manakala hampir separuh lagi sudah bersama pihak pembangkang.

Selama ini, orang Melayu adalah tonggak kepada sebuah perkongsian kuasa di dalam pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Hari ini tonggak ini sudah berhadapan dengan ancaman, kesan dari terbelahnya undi Melayu kepada dua. Kaum majoriti melayu pada hari ini sudah kehilangan kuasa penentu kemenangan sesebuah parti politik. Sebaliknya, kuasa penentu kemenangan ini sudah jatuh ke tangan minoriti bukan melayu. Siapa yang mereka tunjuk, maka orang yang ditunjuk itulah yang akan menang.

Sidang perwakilan sekalian,

Sejarah telah membuktikan betapa Melayu akan tergugat apabila perpaduan menjadi longgar. Cukup sekadar kita mengambil pengajaran dari 3 peristiwa yang hampir-hampir menggugat kedaulatan bangsa Melayu.

Pertama, ketika Jepun menyerah kalah. Kedua, selepas PRU 1969 dan ke tiga selepas PRU 2008.

Pada ketika Jepun menyerah kalah, perpaduan orang Melayu hanya terikat di peringkat daerah dan kawasan melalui pertubuhan dan persatuan kecil. Kesempatan ini telah diambil oleh Bintang 3 untuk mengambil alih kekosongan pemerintahan yang ditinggalkan oleh Jepun. Inisiatif yang diambil oleh Dato Onn untuk menyatukan kelompok-kelompok kecil Melayu selepas itu telah mengangkat perjuangan Melayu sehingga bertaraf nasional, dan akhirnya melalui UMNO, kedaulatan Melayu dan raja-raja Melayu kembali diletakkan di tempat yang sewajarnya sehingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Setelah Demokrasi Berparlimen diwujudkan di negara ini, kuasa Melayu terus unggul dan dominan.

Kuasa Melayu kembali tergugat selepas PRU1969. Kemenangan majoriti mudah pada ketika itu adalah disebabkan oleh undi Melayu berpecah hampir seimbang. Perpecahan undi Melayu ini telah diambil peluang oleh DAP dan lain-lain parti pembangkang. Beberapa negeri yang mempunyai taburan pengundi bercampur hampir jatuh dan ada yang jatuh ke tangan pembangkang.

Sebaik sahaja keadaan ini berlaku, suara-suara sumbang menuntut itu dan ini seperti laungan Bintang 3 kembali berkumandang – dengan rentak baru, Malaysian Malaysia. Orang Melayu diperlekehkan. Kaum Muhajirin Mekah tidak pernah sekelumit pun memiliki sifat seperti ini.

Trend yang sama juga berlaku pada PRU 12 yang lalu. Negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang juga adalah negeri yang hampir sama dengan ‘trend’ PRU 1969. Ulangan hiruk pikuk puak opportunis dan chauvinis berulang semula sama seperti PRU 1969. Yang berbeza kali ini ialah, tiada berlakunya pertumpahan darah antara kaum.

RASIS DAN ANCAMAN

Tetapi, segala hak-hak dan kepentingan Melayu semakin lantang dipertikaikan. Semua dasar-dasar yang selama ini terbukti memberi keadilan kepada semua, secara tiba-tiba sudah dianggap rasis. Malahan ada kalangan Melayu sendiri yang berkata DEB telah menyebabkan ekonomi negara menjadi tidak kompetitif. Sedangkan hakikatnya, hasil dari dasar yang digubal oleh kerajaan seperti DEB, hari dasar-dasar inilah yang telah membawa pertumbuhan yang radikal kepada pembangunan negara.

Hari ini, melalui DEB negara telah berjaya melahirkan 40 manusia terkaya di Malaysia. Sebahagian besarnya adalah terdiri dari kalangan pengusaha kaum bukan melayu dan hanya beberapa kerat saja terdiri dari kalangan Melayu.

Saya ingin bertanya. Apakah mereka mahu mengatakan kejayaan pengusaha bukan Melayu ini adalah kerana hasil titik peluh mereka sendiri? Dan, apakah mereka mahu mengatakan kejayaan beberapa kerat billionair Melayu ini adalah disebabkan oleh bantuan tongkat dari kerajaan? Apakah mereka cuba menyatakan, kejayaan billionair Melayu ini disebabkan subsidi kerajaan, manakala kejayaan bukan Melayu ini disebabkan kebolehan?

Sidang perwakilan sekalian,

Perkasa Negeri Sembilan turut mengakui, ‘political will’ kalangan pemimpin Melayu sudah semakin hambar. Seolah-olah kita mengakui segala tuduhan dan tohmahan pihak ‘opportunis’ dan ‘chauvinis’ yang mengatakan segala dasar yang selama ini dijayakan oleh kerajaan adalah rasis. Apabila mereka menuduh DEB sebagai dasar rasis, maka kita seolah-olah turut mengakuinya rasis. Kita menjadi semakin defensif dan tercari-cari alasan untuk menepis tuduhan demi tuduhan yang mereka lemparkan. Tidak kurang juga, ramainya kalangan pemimpin melayu yang turut bersetuju dengan tuduhan mereka dan ada pula yang bersekongkol dengan mereka, membelasah DEB sehingga tenat.

Sidang perwakilan sekalian,

Dari senario yang berlaku ini, seharusnya memberi satu peringatan kepada kita, bahawa, undi Melayu tidak boleh sama sekali berpecah.

Hakikatnya orang Melayu tidak mampu untuk berpecah walau di atas nama apa sekali pun, sama ada ia di atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara ataupun di atas nama hak asasi manusia dan lain-lain ungkapan retorik. Yakinlah tuan-tuan dan puan-puan, bahawa, sebaik saja Melayu dan Pribumi berpecah, maka dari sudut pandangan demokrasi di negara ini, Melayu dan Pribumi akan Kehilangan sebuah permata, iaitu kuasa undi penentu. Kuasa penentu ini akan berpindah tangan kepada kaum bukan Pribumi.

Sebaik saja Melayu dan Pribumi hilang kuasa undi penentu, maka tidak akan ada satu parti pun di kalangan parti Melayu dan Pribumi yang akan menjadi dominan.

Sebaik saja Melayu sudah hilang dominasi, maka disitulah bermulanya para opportunis dan chauvinis akan mempertikaikan segala baki hak dan kepentingan yang kita miliki. Segala mak datuk tuntutan akan dilakukan bagi tujuan melemahkan lagi kedudukan kaum pribumi di negara ini. Gerakan melemahkan peribumi ini menjadi semakin lancar apabila wujudnya watak-watak si kitol dalam sejarah Melaka dan watak Abdullah bin Sabak dalam sejarah Madinah.

ANCAMAN DAN HAKISAN TERHADAP HAK MELAYU

Hari ini, Pemimpin Melayu, sama ada di dalam BN mahu pun dalam Pakatan kelihatan tersepit di antara desakan rakan komponen dan tuntutan agenda agama dan bangsa.

Mempertahankan kepentingan Pribumi sudah dirasa seperti mempertahankan seorang pesalah, takut dituduh rasis. Keyakinan dalam usaha mempertahankan kesucian Agama Islam pun turut meluntur hinggakan nama Allah pun terpaksa dihadapkan ke mahkamah untuk diadili tentang hak eksklusif penggunaannya. Ulamak-ulamak pun turut menyumbang kepada kekeliruan yang memang sudah sedia wujud di dalam masyarakat. Jika ditanya pandangan 10 ulamak, maka kita akan dapati 10 fatwa yang berbeza. Masyarakat Islam menjadi semakin keliru dan tidak tahu fatwa mana yang harus diikut.

Apabila bercakap mengenai soal kedaulatan bahasa Melayu, tiada siapa di kalangan Melayu yang benar-benar dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkannya. Isu kedaulatan bahasa Melayu hanya kedengaran apabila mereka terikut-ikut rentak tari puak yang ingin menghapuskan PPSMI. Perjuangan mendaulatkan bahasa oleh kelompok ini lenyap kembali selaras dengan lenyapnya PPSMI di dalam sistem pendidikan negara.

Siapa yang mengguna siapa tidaklah diketahui.

Akhirnya, satu demi satu tuntutan yang dilakukan hanyalah berakhir dengan hak-hak Melayu dan Pribumi semakin hilang keistimewaannya. Keberanian dan kebiadaban menconteng arang ke muka Raja-Raja Melayu semakin berleluasa.

Di dalam kerajaan berusaha memperkasa sistem pendidikan kebangsaan kita lihat peruntukan tambahan dan peruntukan ‘mee segera’ semakin meningkat disalurkan ke sekolah-sekolah pendidikan Vernakular.

Semua ini terjadi adalah akibat dari lemahnya tonggak kuasa kaum peribumi.

Para sidang perwakilan sekalian,

Mengambil perkiraan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan ini, maka PERKASA Negeri Sembilan pada hari ini membuat ketetapan menyokong usul yang telah dibentangkan oleh wakil dari Johor.

1- Perkasa Negeri Sembilan menentang sekeras kerasnya sebarang usaha yang boleh menggugat atau yang boleh mendatangkan ancaman terhadap kedaulatan dan roh yang ditiupkan melalui perlembagaan negara. PERKASA Negeri Sembilan bersedia berhadapan dengan sesiapa saja, yang cuba menjadikan perlembagaan seperti Quran buruk yang hanya diguna pakai pada bahagian-bahagian tertentu yang menguntungkan mereka tetapi di dalam masa yang sama cuba meninggalkan bahagian-bahagian tertentu yang mendatangkan kerugian kepada kaum mereka.

2- Kerajaan yang ada pada hari ini harus bertegas menggunakan segala instrumen penguatkuasaan dan ordinan-ordinan yang ada, terhadap mana-mana pihak yang mempertikaikan sebarang perkara yang telah jelas termaktub di dalam perlembagaan. Perkara-perkara yang telah termaktub ini adalah perkara-perkara yang tidak boleh disentuh langsung dari sudut apa sekali pun. Kerajaan perlu mengekang ancaman ini, bagi mengelakkan institusi tertinggi negara ini terus dijadikan bahan pertikaian umum. Kerajaan telah diberi mandat dan kuasa untuk menguruskan negara, dan sewajarnya kerajaan harus tahu menggunakan kuasa tepat pada waktunya.

3. PERKASA Negeri Sembilan juga, pada hari ini mendesak agar parti-parti politik Melayu duduk semeja dan berbincang, bersatu demi masa depan generasi Islam dan Melayu di masa akan datang. Jika NGO-NGO Melayu berjaya mengenepikan segala perbedaan dan boleh duduk secara meja bulat demi memastikan agenda pribumi terpelihara, kenapa tidak parti-parti siasah Melayu? Parti-parti politik Melayu dan Pribumi boleh berbeza dalam cara dan pendapat, tetapi, maksud dan hala tuju harus seiring apabila menyentuh sebarang isu yang berkaitan dengan hak dan keistimewaan bangsa.

PRIBUMI MESTI “Seiring walaupun bertukar jalan, PRIBUMI MESTI seia walaupun bertukar sebut, PRIBUMI MESTI serentak walau pun berlainan degam, Hidup sekandang tapi tidak berbau”.

JIKA PRIBUMI sentiasa berpegang teguh dengan pepatah bangsa ini, PRIBUMI pasti digeruni dalam keadaan yang dihormati.

Wakil dari Negeri Sembilan menyokong usul yang di bawa oleh wakil Johor.

Sekian.

5 comments:

  1. macam mana nak jadi ahli perkasa ni....saya dari seremban.

    Rosli.

    ReplyDelete
  2. Sdr Rosli bolehlah tengok laman web perkasa dan masuk ke perkasa NS. boleh juga hubungi en Alias 0123671443. Kalau Perkasa Kuala Pilah boleh terus hubungi saya 0126016489. Tk

    ReplyDelete
  3. TAHNIAH UCAPAN MENYOKONG USUL ITU. KALAU BOLEH UCAPAN INI DIEDARKAN KEPADA PEMIMPIN PEMIMPIN MELAYU YANG BERJIWA PERJUANGAN UNTUK DISEBARKAN

    ReplyDelete
  4. Air mata MELAYU pun mengalir bila 52Billion hilang.
    Apakan daya, nenek moyang dah berpesan 'Harapkan Pagar, Pagar yang makan Padi'
    Berhati-hati memilih Pagar.

    ReplyDelete
  5. Satu perutusan yang 'holistik',tahniah !!! Seharusnya ia dikembangkan dalam bentuk media yang lebih mudah untuk ditonton seperti tv dlm bentuk dokumentari.
    Harap beri perhatian !!!
    Wassalam.
    Hadzrin Husni

    ReplyDelete