Sunday, November 25, 2012

UMNO : MELAYU TIDAK, MALAYSIAN PUN BUKAN!!

Perhimpunan Agung UMNO 2012 perlu digunakan sebaik mungkin bagi meletakkan UMNO pada kedudukan yang lebih meyakinkan dalam menghadapi PRU13 yang semakin hampir.

Di sebalik keghairahan ahli PAS pada Muktamar PAS yang baru berlangsung, sebenarnya telah meninggalkan suatu titik hitam dalam perjuangan PAS yang sukar untuk dipadam. PAS secara terang-terangan telah mencemar kesucian agama Islam yang telah menjadi pegangan umat Melayu sejak lebih 600 tahun dahulu.

Muktamar PAS telah dijadikan medan untuk meyakinkan para pengikutnya agar bersedia menerima perubahan dasar dan pendekatan perjuangan serta halatuju PAS.

Jika dulu PAS lebih sanggup terkorban dan kehilangan kuasa demi mempertahankan prinsip dan perjuangannya dalam menegakkan agama Allah, hari ini PAS sudah jauh berubah.

Dulu PAS begitu "pantang" apabila dikaitkan dengan DAP yang tidak pernah bersetuju dengan perjuangan PAS, hari ini PAS sudah boleh menerima DAP.

Pemimpin PAS telah melakukan pelbagai pendekatan dalam usaha meyakinkan pengikutnya untuk terus memahami perjuangan PAS walaupun PAS sudah mengubah rentak perjuangannya.

Paling mencemar kesucian perjuangan PAS ialah apabila mereka sanggup mendoakan kehancuran kepada orang yang berpegang kepada kalimah yang sama dengan mereka di atas alasan dan sangkaan bahawa mereka berada di jalan yang benar manakala orang lain berada dijalan yang sesat. Sikap menghukum orang lain terlebih awal dari hukuman tuhan ini boleh membawa kepada kesyirikan dan bidaah besar.

PAS sebenarnya telah meniru bulat-bulat pendekatan perjuangan Islam yang dibawa melalui UMNO.

UMNO sudah lama memberitahu umat melayu bahawa UMNO tidak pernah sesekali menolak Islam dan segala hukum-hakam yang terkandung di dalam Islam. Cuma UMNO berpendirian bahawa sebahagian dari hukum-hakam seperti soal perlaksanaan hukum hudud, masih belum praktikal dari segi keutamaan amalan untuk dilaksanakan di dalam negara yang majmuk dari segi bangsa, budaya dan kepercayaannya. 

UMNO juga sejak dari awal penubuhannya berpendirian bahawa "perkongsian kuasa bersama dengan bukan Islam" harus diwujudkan bagi memastikan negara mencapai kemerdekaan dan seterusnya mencapai kemajuan peradaban manusia dan pembangunan fizikal di dalam suasana aman dan harmoni di dalam suatu suasana kepelbagaian etnik, kepercayaan dan budaya yang sangat unik dan kompleks.

Ketika UMNO mengambil berpendirian sebegini, sebahagian dari pemimpinnya tidak bersetuju dan telah bertindak keluar, seterusnya menubuhkan Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang ada pada hari ini.

Mereka tidak bersetuju dengan konsep perkongsian kuasa bersama bukan Islam seperti yang dilakukan oleh UMNO melalui Perikatan yang menggabungkan MCA dan MIC.

PAS berfatwa bahawa gabungan bersama bukan Islam yang diinisiatifkan oleh UMNO ini adalah tidak syarak dan PAS beranggapan gabungan seperti ini adalah pendekatan "politik suku agama suku" yang boleh membawa kepada amalan kufur.

PAS mahu mewujudkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan segala urustadbir pemerintahan harus berlandaskn 100% kepada Al Quran, sunnah dan ijmak ulamak. Sebarang undang-undang yang bukan bersumberkan dari Al Quran dan Sunnah adalah dianggap toghut. Itu fahaman PAS totok yang asal.

Di atas dasar inilah yang menyebabkan PAS selamanya tidak pernah mahu dikaitkan dengan DAP atau mana-mana parti bukan Islam.

Demi mempertahankan prinsip ini, PAS lebih sanggup tidak mendapat kuasa atau tidak mendapat sokongan atau undi bukan Islam daripada mereka menggadaikan prinsip yang dipegangnya ini.

Begitulah kerasnya PAS berpegang kepada prinsip mereka yang dikatakan Islamik.

Di atas pegangan tegar PAS inilah yang telah menyebabkan UMNO sering dikufur, dikafir dan dimurtadkan oleh PAS dan para pemimpinnya kerana kononnya menolak Islam dan mengambil sumber yang selain dari Al Quran dan sunnah.

"Nabi mengunjurkan kepada umatnya bahawa sesuatu amalan yang kecil tetapi dilakukan secara istiqomah adalah lebih memberi menafaat di sisi Allah dari sesuatu amalan yang besar tetapi tidak istiqomah".

Dengan perubahan terbaru dasar dan pendekatan PAS, jelas sekali bahawa PAS sudah terkeluar dari nilai-nilai amalan istiqomah seperti yang diunjurkan oleh agama.

Sekelumit perjuangan dalam mendaulatkan kesucian agama yang selama ini telah dan terus dilakukan oleh UMNO adalah lebih bernilai di sisi Allah jika dibandingkan dengan perjuangan PAS yang terlalu besar dan "ambitiuos" tetapi tidak mampu untuk dilaksana.

Keistiqomahan UMNO menjaga kesucian agama dan melindungi para penganutnya agar dapat beramal ibadat tanpa gangguan dan kepayahan adalah lebih bernilai di sisi Allah dari perjuangan PAS yang kononnya mahu menegakkan Islam sesyumul-syumulnya di negara ini tetapi tidak realistik.

Keistiqomahan UMNO dalam memastikan rakyat berbilang kaum dan agama bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa gangguan dan permusuhan di antara penganut masing-masing adalah jauh lebih bernilai di sisi Allah berbanding dengan perjuangan menegakkan hukum hudud "flip-flop" PAS yang "sekejap ada sekejap taada". Hudud PAS lebih banyak mendatangkan fitnah terhadap Islam daripada kebaikan yang diperolehi.

Keistiqomahan UMNO membangunkan produk kewangan berasaskan islam adalah jauh lebih bernilai di sisi Allah berbanding dengan "cakap tong kosong PAS yang asyik menjual projek dinar emas yang sehingga hari ini masih berdentung-dentang.

Jadi orang UMNO jangan rasa rendah diri kepada puak-puak PAS ni. Gunakan perhimpunan agung kali ini sebaik-baiknya untuk memperjelaskan dan mempertahankan bahawa apa yang selama ini telah dan sedang dilakukan oleh UMNO adalah betul dan amat relevan kepada citarasa, budaya, dan kepelbagian dan kompleksiti yang wujud di negara ini.

Nyatakan dengan yakin kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa tiada mana-mana gabungan yang boleh menyaingi model, samada model pembangunan sosial dan hubungan antara kaum, model ekonomi atau apa juga model pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat yang dilakukan oleh BN. 

Tiada mana-mana gabungan parti politik yang lebih komprehensif yang mampu diwujudkan sepertimana model gabungan parti komponen BN.

Masalah terbesar kepada ahli, perwakilan mahupun pemimpin UMNO hari ini ialah "kegagalan untuk yakin" terhadap apa yang dilakukan oleh UMNO. Mereka sendiri tidak benar-benar yakin bahawa parti yang mereka wakili telah membuat sesuatu yang "paling betul dan paling terbaik" untuk rakyat berbanding dengan lain-lain parti siasah. Mereka seolah-olah mempertahankan segala dasar dan perjuangan yang dibawa oleh UMNO secara "separuh hati"!! Tiada keyakinan!!

Akhirnya, perangai mereka didapati 2x5 dengan perangai PAS yang tidak yakin dengan dasar yang mereka sendiri perjuangkan selama ini sebagai betul.

Sikap PAS yang sering mengubah dasar dan pendekatan adalah berpunca dari tiadanya keyakinan diri terhadap apa yang mereka sendiri "tasdikkan" di dalam hati dan ditulis dalam perlembagaan parti mereka. Apabila tiada keyakinan, maka secara automatik sifat bertawakkal terhadap apa yang telah diusahakan juga longgar dan akhirnya telah menghilangkan sifat istiqomah untuk terus berpegang terhadap apa yang sedang diperjuangkan. 

Mereka lebih terkeliur melihat lauk ayam tak disembelih dalam pinggan orang lain daripada lauk kijang exotik yang ada dalam pinggan mereka.

Apa yang dialami oleh ahli dan pemimpin UMNO hari ini seakan-akan sama dengan masalah yang dihadapi oleh ahli dan pemimpin PAS. Mereka lebih terkeliur melihat bini orang dari bini sendiri. Mereka lebih takjub dengan apa yang sedang dilakukan oleh orang lain dari apa yang mereka sedang lakukan.

Ahli dan pemimpin UMNO sudah tidak sedar dan tidak yakin lagi dengan model yang selama ini telah menyebabkan perjuangan mereka diterima oleh orang majoriti orang melayu dan dihormati oleh bukan melayu.

UMNO turut sama tercari-cari pendekatan perjuangan sepertimana parti-parti baru dan pendekatan-pendekatan baru yang dilakukan oleh pembangkang dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat.

Perjuangan asal dan hakiki menjadi semakin kabur dan tenggelam dengan dasar dan pendekatan baru yang cuba dipraktikkan. Adakalanya, UMNO tertiru-tiru pendekatan yang dilakukan pembangkang.

Harus diingat, kehilangan sokongan orang melayu dan sebahagian besar bukan melayu terhadap UMNO pada PRU2008 bukan disebabkan oleh dasar yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO dan BN.

Sokongan terhadap UMNO dan BN merosot pada 2008 adalah disebabkan "masalah kepimpinan tertinggi yang lemah" sehingga secara perlahan-lahan keyakinan rakyat terhadap UMNO/BN mula terhakis. Bukan disebabkan dasar BN/UMNO telah berubah atau matlamat perjuangan atau pendekatan dalam perlaksanaan segala dasar-dasar telah ditukar. Bukan juga disebabkan kegagalan mekanisma ekonomi atau kemelesetan ekonomi atau rakyat menghadapi tekanan hidup melarat. Rakyat ok, cuma masalahnya rakyat tak confiden dengan Pak Lah. Itu saja.

Jadi kenapa pemimpin UMNO harus tercari-cari dan berlumba-lumba dengan pembangkang dalam mencuba pendekatan demi pendekatan dalam usaha mendapat keyakinan rakyat? 

UMNO berlumba-lumba dengan pembangkang meliberalkan lagi ruang lingkup perjuangannya sehingga masuk ke lopak MCA dan MIC agar tidak dicop rasis, hingga MCA dan MIC tak ada kerja. Untuk apa ini? Bukankah MCA dan MIC itu wakil kepada kaum masing-masing dalam perjuangan bersama di dalam BN?

UMNO berlumba-lumba dengan pembangkang untuk mengikis imej perjuangan demi agama demi bangsa yang sememangnya jelas adalah merupakan agenda hakiki UMNO sejak sekian lama. Mahu disorok ke mana agenda melayu yang tercatat dalam perlembangaan ini? Memang itu agenda UMNO yang dirangka oleh dato nenek kau orang dulu! Kenapa mesti takut dan malu dengan celaan dan kritikan orang lain? Kenapa mahu dilihat lebih Malaysian Malaysia dari DAP? 

Jika mahu ditukar dasar perjuangan UMNO, kenapa tidak pinda saja perlembagaan UMNO supaya kelihatan lebih Malaysian Malaysia dari DAP?

Jika mahu pinda perlembagaan UMNO, BN juga mesti dirombak struktur politiknya. Tidak perlu lagi parti komponen yang berasaskan kaum yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC serta lain-lain parti ethnic base. Jadikan saja BN itu sebagai single party sepertimana yang diilhamkan oleh arwah Dato Onn!

UMNO seolah-olah sudah hilang jati diri dan hilang fokus serta halatuju perjuangan sebenar apabila menerima tentangan yang sengit dari pihak pembangkang. UMNO seolah-olah sudah takut dan tidak berapa berani lagi untuk kelihatan melayu! UMNO mahu dilihat sekejap melayu, sekejap malaysian! Sekejap cina dan sekejap india hingga MCA, Gerakan dan MIC goyang kaki tak payah kerja kuat untuk meyakini kaum masing-masing untuk terus bersama BN.

Akhirnya, UMNO nak kata melayu tidak, nak kata cina dan india jauh sekali, nak kata Malaysian Malaysia pun bukan.

Cukuplah setakat ni. Panjang sangat dah. Lagi pun sakit hati nak teruskan menulis.

Selamat bersidang wahai melayu!

1 comment:

  1. Tuan Kepal,
    UMNO sudah lama meninggalkan "the middle ground" dengan memisahkan matlamat perjuangan parti jauh daripada apa yang orang Melayu mahu. Berapakah pertambahn luas tanah rizab Melayu semenjak 1957? Berapakah bilangan kedai Melayu di bandar sejak 1957? Berapakah bilangan wokshop dan kontraktor wibawa yang dihasilkan...jika naik kereta dari Juru ke Parit Buntar..tiada kedai Melayu sedangkan dahulu itu kampung Melayu.

    Derita dan titis air mata Melayu itu..kini bahan jenaka di Perhimpunan Agung UMNO. Kalau berkuasa tetapi tidak pandai mentadbir...begitulah jadinya. Kenapa salahkan musuh? Jika kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan? Sehingga kera diberi biasiswa, anak buluh betung di beri kewarganegaraan?

    Kita sakit kerana kita tidak jaga makan dan tidak bersenam - bukan buatan orang! Kita kalah kerana kita yang salah..bukan orang yang buat!


    ReplyDelete