Sunday, December 23, 2012

KPI ULAMAK MALAYSIA DALAM BAHAYA!!!

Nik Aziz akan bertanding lagi dalam PRU akan datang. Alasannya cukup mudah. Untuk menentang kemungkaran UMNO.

Dia yang memerintah Kelantan sekarang. UMNO yang sebenarnya sedang berusaha menentang PAS yang dipimpinnya. Dia yang berada dalam situasi mempertahankan kerajaan.

Pening rakyat mendengar ayat berpusing-pusing dengan kemahiran "silat lidah" yang keluar dari mulut ulamak akhir zaman. Dulu-dulu bila rakyat pening, mereka akan mencari dan merujuk para ulamak untuk mencari penyelesaian dan menghilangkan kebuntuan.

Hari ini, ulamak akhir zaman yang menjadi penyumbang terbesar kepada wujudnya kekeliruan dan kebuntuan dalam masyarakat.

Ulamak akhirat menyejukkan mata dan hati sesiapa yang melihatnya. Hati dan mata akan melihat kesalahan sendiri kerana akan wujud sifat muhasabah diri hasil dari panduan seorang ulamak hak. 

Hari ini, bila melihat muka dan mendengar ceramah ulamak akhir zaman, hati dan mata akan tertutup untuk melihat kelemahan diri, sebaliknya  kemahiran melihat kesalahan dan kemungkaran orang lain pula yang akan meningkat dan hati para pendengar akan bertambah membara dengan nafsu ammarah.

Ulamak dulu takut untuk mengeluarkan pendapat kerana takut dipertanggunjawabkan di akhirat andai kata-kata mereka akan mendatangkan mudarat, fitnah dan keburukan dalam masyarakat.

Ulamak akhir zaman sudah terbalik. Mereka yang berebut-rebut "siapa dulu berhujah dan berfatwa". Ulamak akhir zaman bersaing sama sendiri untuk menunjuk-nunjuk kelebihan dan kebenaran ilmunya berbanding ulamak lain.

Sudah nampak jelas, ulamak akhir zaman sedang menuruti jejak langkah umarak akhir zaman. Teguran dan nasihat secara hemah dan hikmah yang menjadi amalan ulamak akhirat sudah bertukar kepada bentuk cercaan, hinaan dan maki hamun.

Sifat ulamak akhirat, memandang keburukan dan kelemahan diri, sebaliknya ulamak akhir zaman memandang keburukan dan kelemahan orang lain serta memandang tinggi keupayaan dan kewarakan diri.

Ilmu hikmah sudah luput dari hati ulamak akhir zaman. Sifat taqwa, tawadduk dan penyerahan bulat kepada Allah yang sepatutnya dimiliki oleh seorang ulamak akhirat, sudah digantikan dengan sifat sombong, riak dan takabbur.

Sifat ikhlas, jujur, amanah, tabligh dan fatanah yang sepatutnya dimiliki oleh seorang ulamak sebenar sudah beransur-ansur digantikan dengan sifat bohong, fitnah, dusta dan perbuatan subahat dengan kemahiran silat lidah dan dibantu oleh kelebihan ilmu sebagai alat.

Jika mahu lihat bukti, negara ini akan aman dan umat Islam akan berhenti dari sengketa sesama sendiri, bolehlah dibuat "trial run", "gencatan senjata silat lidah" para-para ulamak 1Malaysia, yang berkuat-kuasa serta merta selama 4 bulan.

Hantar para-para ulamak ini merasai "jihad fisabilillah yang sebenar" dan berhenti dari "berjihad secara virtual". Berhenti dari jihad angan-angan dan temberang yang selama ini diamalkannya. Hantar mereka ke Gaza, Afghanistan dan negara-negara Islam yang sedang bergolak. 

Baru dia tahu tinggi rendahnya langit. Baru dia tahu setakat mana pegangan keimanan, kepercayaan, pengakuan dan keyakinan mereka kepada Allah yang mereka miliki sekarang. Baru mereka tahu betapa besarnya dosa "silat lidah" yang dilakukannya yang lebih banyak mendatangkan keburukan dan kemerosotan agama daripada kebaikan di negara ini.

1 comment:

  1. Ingat, apa yg dikatakan pok nik dan hadi awang, ahli pas juga akan tanggung selagi anda menyongkong mereka.

    ReplyDelete