Thursday, May 9, 2013

TAHNIAH..! MOHAMAD HASAN MENDAPAT PERKENAN SEMULA!!

Akhirnya Mohamad Hasan dilantik semula bagi penggal ke3 sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Itu permuafakatan yang telah dicapai hasil dari pertemuan Perdana Menteri dengan Ke bawah Duli Tuanku pagi ini.

Walaupun dalam entri terdahulu Kepal Nasi telah cuba menyatakan aspirasi sebahagian dari segmen rakyat yang berpendapat Menteri Besar yang baru sewajarnya dilantik, tetapi setelah diputuskan oleh pihak yang berhak untuk melantik semula Mohamad Hasan, mahu tidak mahu itulah hakikat yang seharusnya diterima. 

Samada menerima dengan hati yang terbuka atau pun tidak, inilah takdir dan ketentuan buat rakyat Negeri Sembilan. Sesiapa pun yang tidak bersetuju termasuk Kepal Nasi dengan perlantikan semula ini tidak boleh berkelakuan seperti Anwar Ibrahim yang tidak percayakan kepada Qada dan Qadar Allah dengan menolak dan tidak menerima keputusan PRU13 di kawasan-kawasan terpilih yang gagal dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Perlantikan semula Mohamad Hasan sebagai MB ini bukan soal rezeki atau pun tuah beliau, tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh Mohamad Hasan setelah tugas sebagai ketua eksekutif negeri ini dipertanggungjawabkan kepada beliau.

Sudah menjadi kefahaman lazim, sesiapa yang terpilih dan diberi tanggungjawab, amanah atau kuasa, beranggapan apa yang mereka perolehi sebagai rezeki atau pun tuah. Malah ada yang menganggap ia suatu privilege. Tanggapan sebegini adalah tanggapan salah dan songsang.

Saya ulang kembali. Ia bukan rezeki dan bukan juga tuah. Ia diperolehi di atas izin Allah. Sesuatu yang berlaku di atas izin Allah tidak semestinya suatu nikmat atau anugerah dan diredhai Allah. Apabila kita terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga sanggup menggunakan pelbagai cara samada cara yang tulus atau fulus, hasil dari penat lelah serta usaha keras yang dibuat, Allah akan izinkan juga ianya terjadi. Tetapi samada Allah redha atau tidak belum pasti.

Keadaan ini samalah seperti kaki nombor ekor. Berkat hasil usaha dan susah payah sehingga mencari bomoh dan pergi ke kuil-kuil, untuk mendapatkan nombor, akhirnya mereka ada yang berjaya hingga menang ratus ribu dan ada yang juta-juta. Allah izinkan, tetapi ianya tidak halal.

Persepsi atau tanggapan yang salah terhadap kuasa yang diperolehi  inilah yang telah menyumbang kepada kecenderungan untuk menyalah guna kuasa, penyelewengan, tamak, balas dendam, membohong, melaga, menekan musuh, dan pelbagai lagi amalan keji para penjawat inilah yang menyebabkan sebahagian rakyat dan ahli UMNO merasa benci dan jijik melihat UMNO dan kerajaan.

Imej buruk inilah yang telah menyebabkan UMNO tidak diterima rakyat di beberapa negeri dan kehilangan kekuatan di Dewan Rakyat.

Imej dan amalan buruk pemimpin seperti inilah yang sering dimanipulasi oleh pihak pembangkang untuk merosakkan persepsi rakyat terhadap nama baik dan segala jasa UMNO yang begitu besar. Bukan salah UMNO, tapi salah pemimpin. Pemimpin yang melakukan kesilapan, akhirnya parti yang busuk nama dan dihukum oleh rakyat di dalam pilihanraya. 

Fakta ini juga adalah hakikat dan kenyataan yang tidak boleh disanggah oleh sesiapa, sama sepertimana kita tidak boleh menyanggah apabila Mohamad Hasan terus dilantik sebagai Menteri Besar.

Pemimpin, termasuk Mohamad Hasan mesti diberi peringatan dan pemimpin mesti sedia mendengar peringatan dari orang bawahan. Orang yang menasihat dan memberi peringatan jangan dibuat musuh dan jangan pula dikerjakan sampai separuh mati.

Jika pemimpin yang diamanahkan tugas memimpin parti dan kerajaan membuat musuh dan mengerjakan sesiapa saja yang cuba memberi peringatan kepada pemimpin, bermakna partilah yang memusuhi ahli dan rakyat yang cuba menasihat kerana setelah mengangkat sumpah jawatan dengan Wallahi, wabillahi watallahi, pemimpin itu bukan Mohamad Hasan lagi, tetapi Menteri Besar.

Maka, Mohamad Hasan harus menerima teguran walaupun pahit. Perasaan pahit dan tidak mahu menelan nasihat itu hanyalah manifestasi dari perasaan ego, sombong, riak dan takabbur. Apalah salahnya kalau dibuang sifat-sifat keji yang ada demi menjaga maruah dan amanah jawatan Menteri Besar itu sendiri, jika pun tidak mahu menjaga maruah diri selaku pemimpin.

Pemimpin-pemimpin bahagian UMNO di Negeri Sembilan jangan dijadikan ayam sabung sehingga kekuatan UMNO bahagian terbabit tercabut-cabut bulu hingga jadi ayam togel.

Hutan-hutan tebal yang berharga jangan dijadikan semak samun dan hutan pisang karuk. Jangan berselindung di sebalik usaha murni untuk membangunkan pendidikan anak-anak Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan.

Sungai-sungai jangan dibersihkan hanya bertujuan untuk mengeluarkan pasir untuk kroni dan keluarga tersayang. 

Pembahagian projek-projek kena adil dan jangan asyik-asyik kroni kroni kroni. Ini sahih.

Jangan lempar pasir dalam periuk nasi orang lain yang nak makan juga. Ramai yang tekono ni.

Jaga dan hormatilah Institusi Yang DiPertuan Besar dan Dato Undang Yang Empat. Letakkan dan muliakan institusi ini di tempat yang sepatutnya. Bacalah peruntukan perlembagaan negeri elok-elok. Kuasa eksekutif yang dipegang itu adalah kuasa terbitan yang datang dari kuasa dan hak-hak Institusi Yang DiPertuan Besar beserta Undang Yang Empat.

Sekian, tahniah dan saya memohon ampun jika terlanjur bicara.   

1 comment: