Sunday, September 21, 2008

PERALIHAN KUASA : UNTUK PULIH PERSEPSI RAKYAT ATAU PERSEPSI AHLI UMNO?

Adakah isu peralihan kuasa menjadi faktor penentu survival UMNO dan BN? Adakah isu peralihan kuasa (samada pada Jun 2010 atau seawal Oct 2008) itu yang menjadi titik tolak kepada kesinambungan UMNO dan BN sebagai kerajaan yang memerintah?

Adakah majoriti rakyat juga berfikir seperti mana orang UMNO berfikir?

Kalau rakyat juga berfikir seperti orang UMNO, maka faktor ‘bila’ peralihan kuasa patut berlaku amat penting diperbincang dan diputuskan oleh orang UMNO kerana sudah pasti keputusan itu akan memberi impak kepada pemikiran rakyat.

Tapi kalau majoriti rakyat tidak berfikir seperti orang UMNO berfikir, maka tentu sekali keputusan tentang peralihan kuasa ini tidak akan memberi bekas kepada proses pemulihan UMNO. Perlu diingat bahawa UMNO hanya boleh dikira pulih jika ianya kembali mendapat kepercayaan rakyat. Kalau orang UMNO kata UMNO akan pulih apabila berlaku peralihan kuasa, tapi jika dalam PRU 13 rakyat didapati masih menolak UMNO, itu bukan pulih namanya.

Bagaimana kalau UMNO pilih pelan peralihan kuasa 2010 rakyat menolak UMNO dan kalau pilih untuk percepatkan peralihan kuasa pun rakyat masih tetap menolak UMNO dalam PRU 13 nanti?

Jika begitu keadaannya, bermakna orang UMNO telah silap percaturan dan gagal memahami apa sebenarnya mesej yang diisyaratkan oleh rakyat dalam PRU 12 lalu.

Sia-sialah apa yang diperjuang dan dihebohkan oleh kalangan ahli dan pemimpin UMNO mengenai soal peralihan kuasa. Apa yang mereka perolehi hanyalah percanggahan sesama sendiri yang tidak berkesudahan tentang ‘bila’ patut berlaku peralihan kuasa. Dalam pada itu, rakyat terus-terusan hilang keyakinan dan kepercayaan kepada UMNO dan kepimpinannya.

Beralih atau tidak, awal atau lambat kuasa berpindah tidak akan dihirau lagi oleh rakyat jika rakyat tidak nampak apa-apa kesan positif dalam soal-soal yang berkait dengan kehidupan mereka. Sejauh mana kerajaan dapat melindungi rakyat dari tempias krisis ekonomi global? Sejauh mana kemampuan kerajaan mengekang kenaikan kos hidup rakyat? Sejauh mana kerajaan mampu menjana peningkatan pendapatan rakyat? Sejauh mana dasar yang dilaksanakan telah mewujudkan keseimbangan kepada sosio-ekonomi masyarakat pelbagai kaum?

Persoalan-persoalan tersebut lebih penting pada pandangan rakyat dari persoalan tentang ‘bila’ sepatutnya berlaku peralihan kuasa dalam UMNO. Rakyat teruja tentang soal peralihan kuasa bukan semata-mata di atas maksud menukar kepimpinan.

Tapi kalau kerajaan berkemampuan memperkenalkan langkah berkesan dalam menangani krisis yang membebani rakyat, berjaya mengekang setiap kos dari terus menyerap ke dalam rumahtangga mereka dan di dalam masa yang sama rakyat tidak mengalami kehilangan sumber atau kemerosotan pendapatan, sudah pasti kerajaan akan kembali dihormati walau siapa pun yang menjadi ketuanya.

Sepatutnya ‘business as usual’ adalah untuk rakyat, bukan untuk pemimpin. Kerajaan perlu melakukan sesuatu yang boleh membuatkan rakyat ‘business as usual’. Kalau rakyat ‘business as usual’, kerajaan tidak akan menghadapi masalah dengan rakyat. Tapi kalau kerajaan yang ‘business as usual’, walaupun pelbagai masalah sedang menghimpit rakyat, itu tanda akhir sesebuah kerajaan untuk pendek umur.….

Salam.

No comments:

Post a Comment