Terlalu banyak isu dalam tempoh 48 jam. Semuanya penting untuk diketahui dan dianalisa.
Pertamanya, isu yang melibatkan keputusan kerajaan berkaitan ISA. Suara kritikan sudah tidak dapat dikenal pasti yang mana satu kenyataan pihak kerajaan, mana satu kenyataan pihak pembangkang dan yang mana satu kenyataan NGO. Sempang perenang tunggang langgang.
Cara pengendalian isu ISA oleh pihak kerajaan tiada kredibiliti langsung. Macamlah ISA baru pertama kali nak digunakan. Menteri Dalam Negeri nampak tegas seolah-olah ingin membuat perhitungan ‘once n for all’.
Tup-tup seorang demi seorang dibebaskan. Apa dah jadi dengan permuafakatan sesama kabinet? Seorang ke hulu seorang ke hilir…Pertanggungjawaban bersama sudah hanyut. Berani buat tak berani tanggung. Tiada koordinasi dari PM sampailah ke kabinet dan pihak polis.
Isu peralihan kuasa juga terus berlarutan. Cuba lihat komen ringkas PM selepas mesyuarat MKT Khamis lepas.
Perdana Menteri berkata sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah.
“Saya akan cakap dengan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib, tak payah ulang-ulanglah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.
-BERNAMA
Pertanyaan yang cukup penting untuk UMNO, negara dan rakyat tapi telah menerima jawapan gantung tak bertali.dari seorang Presiden. Macam jawapan suami yang sering ditanya si isteri, ‘abang ni betul ke dah kahwin lagi satu?’
Jawaban yang tidak langsung menggambarkan suatu beban, amanah dan pertanggungjawaban kepada sebuah negara dan rakyat.
Isu ke tiga ialah isu ‘ilusi’ Anwar Ibrahim yang digambarkan sebagai realiti tapi telah dilayan oleh kerajaan secara berlebih-lebihan. Disebabkan sikap ‘overreact’ kerajaan, isu ini telah mendapat tempat di hati seluruh rakyat dan seluruh media propaganda dunia. Pihak kerajaan terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan DS Anwar sehingga Anwar dan para aktornya terbahak-bahak sendirian melihat pihak kerajaan terperangkap dengan ilusinya.
Sekali lagi kita melihat kerajaan hilang kewibawaan dalam menangani setiap isu yang dilemparkan oleh Anwar ke medan rakyat.
Pemimpin kerajaan bermandi peluh mengejar dan menyambut setiap buah kelapa yang digugurkan oleh Anwar dari pokok. Lebih kasihan lagi buah kelapa yang dijatuhkan oleh Anwar tu semuanya ‘kelompong’ kerana sudah ditebuk tupai. Maka ramailah di kalangan pemimpin kerajaan yang cuba menyambut setiap buah kelapa yang jatuh, turut menerima percikan dan ada yang terminum air masam buah kelapa yang digugur dek si Anwar.
Tak ada langsung ke.. kalangan pemimpin kerajaan atau pun ahli fikir kerajaan yang boleh memikir bagaimana kaedah untuk berhadapan dengan Anwar ni! Kaedah Anwar ni bukan baru. Dia dah lakukan kaedah propaganda yang sama sejak 1974 lagi. ‘Stereotype’ Takkanlah tak faham-faham lagi.
Kegagalan mengatasi karenah Anwar ini adalah sebahagian dari kelemahan ketara kepimpinan Pak Lah. Tun Mahathir telah berhadapan secara langsung dengan Anwar selaku TPM pada tahun 1998 tapi akhirnya Tun Mahathir dan kerajaannya tetap berjaya membendung isu Anwar dan memastikan rakyat terus bersama BN dalam PRU 1999.
Jika dibuat perbandingan, isu Anwar tahun 1998 jauh lebih kritikal dari isu Anwar tahun 2008. Kenapa tahun 1999 kita berjaya mengatasinya, tapi tahun 2008 kita seperti hilang punca untuk berhadapan dengan Anwar?
Adakah cukup dengan memberi alasan kekalahan kita dalam banyak isu adalah disebabkan oleh kemahiran Anwar memainkan isu?
Kerajaan tidak boleh lagi mengikut rentak Anwar. Jika kerajaan terus terikut-ikut dengan rentak ini sudah pasti keadaan tidak akan menyebelahi kerajaan. Kerajaan
sepatutnya mencari jalan untuk matikan dan boikot permainan ini. Mulakan permainan baru. Tapi bagaimana untuk mulakan permainan baru kalau pemain dan ketua pasukannya tetap orang yang sama yang telah menyebabkan kita sering mengalami kekalahan?
Anwar sudah masak dengan rentak pemain yang ada...sudah tahu kelemahan dan kekuatan mereka, sudah tahu siapa yang banyak baggage. Anwar juga tahu kelemahan ketua pasukan kerajaan. Dia tahu bagaimana untuk matikan setiap gerakan lawan dan mencari helah untuk memastikan ketua pasukan kerajaan hilang pedoman dan punca…Jika ketua sudah hilang punca maka yang lain-lain akan turut sempang perenang dan tunggang langgang.
Masalahnya pasukan kerajaan tidak mahu buat apa-apa. Tidak mahu atau takut untuk lakukan perubahan. Pasukan kerajaan hanya berharap pasukan yang ada akan beroleh kemenangan dalam permainan seterusnya…
Salam
Nak buat mcm mana?
ReplyDeleteKita kena tunggulah permainan seterusnya :-)
Ketua Pemuda UMNO ‘BERANI dan ‘MACHO’ ;-)
http://pro-faizal.blogspot.com