Hari ini parti komponen sudah boleh beri kata dua pada UMNO. Gerakan yang nyawa-nyawa ikan pun boleh berikan tekanan kepada UMNO.
Disebabkan takut pada ugutan, UMNO tak sempat pun untuk beri peluang pada Dato Ahmad untuk bela diri. Gerakan dan MCA telah memberi ingatan, UMNO perlu buat sesuatu terhadap Dato Ahmad Ismail.
Lebih menghibakan, Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang adalah Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO. Lebih mengelirukan, kesemua 13 bahagian UMNO Pulau Pinang pula berdiri teguh di belakang Dato Ahmad Ismail. Bagaimana mahu disorokkan ketidakstabilan kepimpinan Pak Lah dipandangan mata majoriti rakyat?
UMNO terperangkap di antara kuasa pemerintahan dan maruah bangsa! Pertahankan maruah bangsa atau kuasa tergugat! Tidak ada cara lainkah yang boleh difikirkan penyelesaiannya selain dari cara yang boleh menjejaskan maruah bangsa?
Tahun 2007/2008 telah diwarnai oleh acara permohonan maaf oleh para pemimpin melayu UMNO terhadap bukan melayu. Ini termasuklah permohonan maaf kerajaan Malaysia terhadap kerajaan Republik China secara tak pasal-pasal.
Apakah ini tanda-tanda besar berakhirnya sebuah kedaulatan dan maruah bangsa yang bernama melayu? Kenapa sekarang pemimpin kita seperti sudah tidak dihormati lagi? Kenapa dulu pemimpin kita beroleh penghormatan dari segenap lapisan rakyat?
UMNO pernah kehilangan kuasa sewaktu berkuburnya parti tersebut pada 1988. Presiden MCA, Dr.Ling Liong Sik telah menjadi Pengerusi BN untuk beberapa ketika. Tetapi MCA dan Gerakan tidak pernah ambil kesempatan untuk memberikan tekanan dan ugutan terhadap kepimpinan UMNO dan orang melayu. Mereka masih hormat kepada Presiden Penaja UMNO Baru dan barisan kepimpinan penajanya ketika itu.
Kenapa sekarang sahabat komponen ini seperti mahu ambil kesempatan? Apabila UMNO kelihatan lemah dan memerlukan sokongan mereka, dikala itulah tekanan dan ugutan digunakan. Kaedah ini tidak langsung menggambarkan semangat permuafakatan BN. Semangat permuafakatan BN kini sudah dijadikan tebusan oleh rakan komponen!
Permuafakatan BN adalah konsep yang telah terbukti dan adalah yang terbaik pernah wujud di Malaysia. Tiada siapa boleh menafi dan tiada siapa boleh menyaingi kemantapan dari segi dasar, pendekatan dan penerimaannya di kalangan rakyat.
Tapi undi popular rakyat pada PRU 12 telah membuktikan rakyat membuat pilihan untuk tidak memilih pilihan terbaik ini. Sebaliknya mereka memperjudikan undi mereka untuk memilih konsep yang belum terbukti keberkesanan dan kesesuaiannya untuk rakyat Malaysia. Jarang sekali berlaku manusia memilih barang yang kurang baik dengan menolak barang yang terbukti baik sejak turun temurun.
Pakatan Rakyat yang jelas menggabungkan parti pelbagai idealogi yang sama sekali bertentangan antara satu sama lain lebih dipercayai rakyat dari permuafakatan BN yang lebih jelas dasar dan idealismanya.
Mana mungkin PAS dan DAP boleh mentadbir sebuah gabungan kerajaan kalau dilihat kepada dasar dan hala tuju perjuangan parti masing-masing yang ibarat air dan minyak. Hari ini perkara yang dianggap mustahil suatu ketika dulu, kini sudah menjadi realiti di depan mata.
Pastilah ada sesuatu telah dikorbankan dari segi prinsip perjuangan dan dasar yang telah digariskan oleh ke dua-dua parti. Kalau tidak mana mungkin gabungan tersebut boleh memerintah dan duduk semeja. Apa penemuan baru yang didapati dari R&D mereka sehingga air dan minyak sudah boleh bercampur?
Jelas, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena pada BN sehingga rakyat sanggup berkompromi perasaan dan prinsip mereka terutama di antara pengundi setia PAS dan penyokong DAP. Jelas, Pakatan Rakyat tidak kuat, cuma BN yang lemah. Pakatan Rakyat tidak menang, cuma BN yang kalah seperti yang dinyatakan oleh Tun Mahathir.
Kenapa rakyat boleh berkompromi perasaan dan prinsip sehingga orang PAS boleh mengundi DAP dan orang DAP sanggup mengundi PAS? Sudah tentu ada faktor lain yang menenggelamkan prinsip dan perasaan pengundi hinggakan tergamak mereka melakukan sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan.
Apakah rumah besar BN sudah menjadi rumah berhantu hingga menyebabkan penghuninya berasa tidak selamat untuk tinggal di dalamnya? Apakah rumah BN sudah menjadi rumah pusaka yang berpuaka sehingga menyebabkan penghuninya berantakan dan bersangka buruk di antara satu sama lain? Apakah rumah BN ini sudah senget tiangnya dari pandangan pihak luar tapi masih tidak disedari oleh penghuninya?
Jika ada benarnya soalan-soalan ini, siapa yang dilihat seolah-olah seperti hantu? Puaka siapa yang menyebabkan penghuninya berantakan dan bersangka buruk di antara satu sama lain? Kalau benar pihak luar melihat tiang BN sudah senget kenapa penghuninya tidak langsung mengindahkan isyarat yang diberi oleh pihak luar ini dengan terus menafikannya dan mendabik dada mengatakan dia masih kuat dan masih mendapat sokongan majoriti?
Kalau penghuni rumah BN ini masih menafikan segala-galanya dan tiada siapa dikalangan penghuninya yang berikhtiar untuk menyemah dan menyahkan segala hantu dan puaka agar rumah ini kembali seperi sediakala, maka tunggulah masa dan ketikanya rumah ini akan tinggal tanpa berpenghuni dan tersisih dari arus kehidupan yang akan terus berjalan.
Fikir dan terjemahkannya….
Carilah formula apapun.Turunkanlah manusia dari manapun.waima manusia itu dari gua di Kelantan pun,untuk memulihkan UMNO takkan pulih.Percayalah.Roda sedang berpusing.UMNO-BN akan jatuh.KIta tak ada pilihan lain.Carilah alternatif.Jika ditakdirkan UMNO tidak lagi memegang kerajaan pusat,UMNO dan BN akan bungkus sebungkus-bungkusnya.mana tidak,tidak akan ada lagi yang nak promosikan UMNO.Sekarang bolehlah..
ReplyDeletePerhimpunan Agung UMNO Siaran Langsung 4 hari 3malam dalam TV.Rakyat loya.Masa itu nanti UMNO pun tidak dapat menggunakan tongkat dan segala macam akta yang selama ini menjadi talian hayat untuk UMNO terus bernafas.Walaupun semua orang tahu yang UMNO itu sudah reput pada tahap yang kronik.
Sekian dulu....