Monday, October 20, 2008

UMNO NEGERI SEMBILAN SEDANG MENJURUS KE ARAH SISTEM UNDANG DAN KESULTANAN...

Politik apa yang berlaku di Rembau? Penulis tidak pernah campur atau usik mahu pun komen gaya politik kepimpinan UMNO Negeri Sembilan sebelum ini kerana takut nanti dikata melanggar batu, menyalak bukit atau pun menyibuk tak tentu pasal.

Tapi, bila melihat calon Ketua Puteri, Bibi Sharliza dipermainkan sebegitu rupa, penulis akhirnya menguatkan diri untuk memberi sedikit komen dari segi politik matang, politik ikut hati dan politik ala korporat kapitalis ‘I buy you out or you buy me out’.

Apa yang pasti perkara yang berlaku di Mesyuarat Puteri Rembau semalam, tiada siapa pun yang akan mengatakan tindakan itu adalah sesuatu tindakan yang matang dan rasional dari segi tindakan politik.

Jelas sekali politik ikut sehati semahu-mahunya telah berlaku bagi tujuan khusus untuk memberi mesej kepada seluruh negara dengan niat untuk memalukan calon anak tempatan yang sedang berusaha untuk menawarkan diri bertanding Ketua Puteri UMNO Malaysia.

Tindakan ini secara langsung akan memberi kefahaman tanpa perlu dijelaskan kepada umum tentang gaya dan sikap kepimpinan sebenar di Rembau yang juga sedang mentadbir Negeri Sembilan.

Sikap bolot semua atau hilang semua yang dijadikan pendekatan berpolitik memang berkesan kalau kita memikirkan soal mengekalkan kuasa, menambah kuasa dan mesti terus berkuasa.

Mujur lalu melintang patah juga sangat baik dijadikan prinsip kalau perjuangan itu disandarkan di atas prinsip kebenaran dan demi bangsa, agama dan tanahair. Tapi jika prinsip ini digunakan untuk memastikan diri, keluarga dan empayar terus berkuasa dengan cara memastikan sesiapa saja yang tidak sehaluan disembelih politiknya secara berdarah atau tidak berdarah, maka tidak payah lagi penulis memberi kesimpulan terhadap apa yang telah berlaku di Mesyuarat Puteri UMNO Rembau. Pembaca boleh membuat kesimpulan sendiri.

Budaya tidak langsung mempercayai orang lain selalunya tidak akan bertahan lama dalam politik. Tapi perkara ini tidak berlaku di Rembau. Malahan budaya ini amat berkesan dan mungkin secocok untuk diamalkan di daerah beradat ini.

Keunikan adat yang diadatkan sangat mashyor di Negeri Sembilan khususnya di Daerah Rembau. Adat Perpatih amat halus dari segi perjalanan dan kesannya kepada kehidupan bermasyarakat Negeri Sembilan. Adat Perpatih amat menjaga hubugan sesama masyarakat agar tiada siapa yang bertindak mengaibkan atau diaibkan di dalam masyarakat.

Tetapi berlainan sekali apa yang diamalkan di dalam budaya politik Negeri Sembilan hari ini. Keunikan tersebut telah hanyut dilanda banjir kerakusan dan ketamakan kuasa yang sudah tidak berjenjang dan tidak berbatas lagi.

Sebaliknya, Rembau telah menyerlahkan keunikan dari segi kepimpinannya dalam UMNO Bahagian. Keunikan ini akan dapat dilihat, terutamanya di dalam majlis-majlis rasmi tidak berapa lama lagi. Kita akan dapat menyaksikan anak menantu menyerahkan cenderahati kepada bapa mertua. Anak saudara memberi cenderahati kenangan kepada bapa saudara, adik ipar menyerahkan pelbagai replika kepada abang ipar dan antara abang dan adik bertukar-tukar cenderamata.

UMNO Rembau sedikit demi sedikit sedang berubah menjurus kepada sistem pusaka dan waris, seperti Sistem Undang yang Berlembaga dan sistem kesultanan yang mewariskan pusaka dan jawatan di dalam lingkungan adatnya.

Semoga terbit keinsafan terhadap diri bahawa tiada manusia yang boleh menongkat langit selamanya. Semoga timbul gerak rasa untuk mempercayai orang lain walau pun kita lebih percayakan ahli keluarga kerana selain dari ahli keluarga, UMNO juga adalah hak untuk seluruh warga melayu bernaung.

Beramallah terlebih dahulu sebelum kita menyuruh orang lain untuk beramal dengannya….

Semoga Allah swt lindungi UMNO Rembau dan UMNO Negeri Sembilan dari tangan-tangan yang panjang dan cepat tangan.

Salam

2 comments:

  1. Orang-orang Rembau sememangnya beradat dan beradap. Togah dek nak jaga adat lah yang membuatkan mereka menerima saja sesiapa pun yang diterjunkan dari Putrajaya meskipun mereka yang diterjunkan itu tidak beradat.
    Tapi saya percaya satu hari nanti orang-orang Rembau akan bangkit dan menujah mereka saperti yang pernah mereka lakukan dahulu.
    Baca lah sejarah Rembau dan Negeri Sembilan tentang apa yang telah dilakukan oleh orang-orang Rembau dahulu.
    Salam.

    ReplyDelete
  2. Salam ukhuwwah,

    Kepincangan yang sedang melanda UMNO nampaknya tidak kunjung sembuh. Ada parasit yang berjiwa kotor sedang merajalela untuk membentuk UMNO di kebanyakan peringkat. Ini tidak wajar berlaku ketika UMNO sangat-sangat memerlukan usaha-usaha pembaik-pulihan, suatu over-hauling dan suatu tazkiyyah yang mampu mengembalikan kekuatannya sebagai sebuah parti dominan Melayu-Islam yang berwibawa dan berpekerti.

    UMNO harus dikembalikan kepada trek asalnya untuk pengukuhan bangsa Melayu dan Islam.

    Semoga kita sama-sama dapat berusaha ke arah itu.

    Selamat berjuang.

    ReplyDelete