Friday, March 5, 2010

DEB VS MEB VS BUAS

  1. Untuk peringatan, bulan Mac ini sepatutnya menjadi bulan yang sangat penting dan kritikal bagi kedudukan dan masa depan rakyat sama ada bumiputera mahu pun bukan bumiputera di Malaysia.
  2. Bulan Mac ini model baru ekonomi akan diumumkan oleh YAB PM.
  3. Kita akan diberitahu bagaimana rupa bentuk ‘distribution’ kek ekonomi ini.
    Apakah pertimbangan-pertimbangan yang akan diambil perkiraan oleh kerajaan dalam memastikan kek ekonomi ini akan dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat.
  4. Adil dan saksama bermakna kita harus meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul mengikut kehendak dan keperluan yang wujud dalam satu-satu masyarakat. Pendapatan per-kapita di kalangan rakyat haruslah seimbang.
  5. Seperti mana yang diakui oleh kerajaan, negara kita sedang tersepit di antara kedudukan pendapatan sederhana dan tinggi.
  6. Dalam masa yang sama, jurang pendapatan di antara rakyat juga kelihatan sedang melebar kembali.
  7. Jurang pendapatan di kalangan rakyat ini akan menjadi lebih sensitif apabila ia dikaitkan dengan pendapatan mengikut kaum.
  8. Ini bermakna kerajaan terpaksa mempertimbangkan 2 faktor penting secara serentak, iaitu, pertama, bagaimana rakyat negara ini boleh keluar dari sektor pendapatan sederhana tinggi kepada sektor pendapatan tinggi, dan keduanya pula, bagaimana peralihan ke pendapatan tinggi ini akan diagih secara adil dan saksama kepada segenap lapisan rakyat tanpa ada mana-mana kelompok rakyat yang tercicir.
  9. Kaedah pengukuran terhadap pendapatan rakyat selama ini diambil daripada asas kaum. Apakah ada kaedah lain yang lebih praktikal untuk diukur tentang tahap hidup rakyat?
  10. Sudah tentulah jawapannya ada. Ia barangkali boleh diukur dari kategori pendapatan rakyat. Mungkin boleh dibuat mengikut kategori rakyat berpendapatan rendah, sederhana rendah, sederhana tinggi dan pendapatan tinggi.
  11. Pengukuran juga boleh dibuat mengikut geografi, seperti jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.
  12. Apa yang penting kek ekonomi mestilah dilakukan mengikut ‘distribution’ yang adil dan saksama.
  13. Kerajaan hari ini mungkin tersepit dalam memilih kaedah yang mana harus diguna pakai. Jika dibuat mengikut kategori pendapatan rakyat, dalam situasi hari ini mungkin sesuai kerana ia boleh mematikan serang politik dari pihak-pihak yang menggelar diri mereka pejuang ketuanan rakyat. Jika kaedah pengukuran mengikut kaum diguna pakai, mungkin kerajaan akan dituduh melakukan diskriminasi ekonomi terhadap kaum-kaum tertentu.
  14. Jika diamat-amati secara rasional, sebenarnya kedua-dua model ini akan memberi ‘outcome’ yang sama. Sasaran kerajaan untuk mengagihkan kek ekonomi secara adil dan saksama tetap akan memberi ‘result’ yang sama. Apa yang menjadi pertikaian hanyalah dari segi formula pengiraan atau pengukuran yang mahu digunakan.
  15. Apa yang paling penting sebarang pelaksanaan haruslah mengikut seperti mana yang dirancang.
  16. Jadi, Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan nanti haruslah diolah dan disusun secara lebih teliti. Keseimbangan pendapatan antara rakyat haruslah diberi penekanan khusus. Kelompok rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah sama ada ia dari kaum bumiputera atau bukan bumiputera tidak harus dibiarkan berterusan berada pada kategori yang sama.
  17. Dasar-dasar yang dirangka bagi menjana pendapatan rakyat tidak harus hanya memberi keuntungan berganda kepada mereka yang sudah sedia kaya atau golongan kapitalis.
  18. Dasar-dasar yang dirangka juga harus bersifat pragmatic, affirmative dan distributive.
    Pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan adalah satu bab lain. Ia melibatkan soal dasar fiskal, pelaburan dan perdagangan negara. Ia melibatkan tugas membesarkan kek ekonomi negara.
  19. Perbincangan di atas tadi adalah soal bagaimana pengagihan dari pembesaran kek ekonomi itu harus dilakukan agar benafaatnya dinikmati secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat.
  20. Kita tidak boleh terkeliru di antara pertanggungjawaban sosial kerajaan terhadap rakyat dan pertanggungjawaban kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus unggul.
  21. Pertanggungjawaban sosial kerajaan adalah memastikan sebarang pertumbuhan atau pembesaran kek ekonomi yang berlaku, haruslah disusuli dengan pengagihan yang distributive kepada rakyat.
  22. Saya jangka tentu ramai yang bersetuju dengan formula ini. Jika ramai yang bersetuju, lalu kenapa kita harus pertikaikan DEB? Inilah formula yang menjadi asas kepada kerangka DEB yang dicipta oleh Tun Razak.
  23. DEB sangat nasional sifatnya. Tiada mana-mana pihak mahu pun kaum yang dipinggirkan. Tiada rampasan harta terhadap kaum-kaum tertentu yang berlaku. Apa yang berlaku ialah setiap kaum mendapat benafaat hasil dari pembesaran kek ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan.
  24. Apa yang ditekankan oleh kerajan hanyalah pada bahagian pembesaran tersebut. Bahagian pembesaran itu harus diagihkan secara adil dan saksama. Cuma secara kebetulan pihak yang jauh ketinggalan dalam serba serbinya ketika itu ialah kelompok rakyat dari kalangan kaum bumiputera. Maka sebagai satu pertanggungjawaban sosial sebagai sebuah kerajaan, maka kerajaan terpaksa memberi penekanan kepada proses merapatkan jurang yang wujud di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera.
  25. Tiada mana-mana negara yang akan stabil jika jurang ini dibiarkan melebar tanpa rawatan hanya disebabkan kita mahu memastikan ketaatan kita kepada ‘market forces’ dan sistem kapitalis.
  26. Jika kerajaan terus membiarkan jurang ini melebar, maka kerajaanlah sebenarnya yang tidak bertanggungjawab. Mana-mana kelompok rakyat atau kaum yang lemah dan kurang kemampuan atau pun ketinggalan haruslah dibimbing dan diberi bantuan yang lebih.
    Hukum kapitalis tiada bezanya dengan hukum rimba, di mana siapa yang lebih buas, binatang itulah yang sepanjang masa menjadi pemangsa, manakala yang lemah terus-terusan menjadi mangsa.
  27. Haiwan buas tidak kenal erti simpati mahu pun tolak ansur. Mereka hanya berkompromi dengan haiwan yang sama-sama buas. Mereka yang sama-sama buas tidak akan duduk di bukit yang sama, bukan di atas dasar tolak-ansur, tetapi di atas dasar mereka masing-masing mahu membolot dan membaham seluruh haiwan yang lemah.
  28. Pejuang dan penganut fahaman liberalisasi dan meritokrasi adalah di antara mereka-mereka yang boleh disamakan dengan kaum haiwan buas…

No comments:

Post a Comment