Sunday, February 21, 2010

PENGKHIANATAN VS KETAATAN

  1. Negara, pemimpin dan rakyat sedang diuji.
  2. Negara sedang diuji dari segi kedaulatan. Pemimpin sedang diuji sama ada mereka berjaya atau tidak mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat pula sedang diuji di tahap mana ketaatan mereka kepada negara dan sejauh mana kesedaran mereka tentang pentingnya sesebuah kedaulatan itu dipertahankan tanpa kompromi.
  3. Ujian terhadap negara dalam isu-isu yang berkaitan kedaulatan meliputi soal yang berkaitan dengan ancaman terhadap kedaulatan perlembagaan negara dan perkara-perkara yang termaktub di dalamnya.
  4. Perspektif politik, ekonomi dan sosial, dan sejauh mana ke tiga-tiga perspektif ini berada di atas landasan perlembagaan negara adalah di antara perkara-perkara berbangkit yang menghangatkan suhu isu semasa negara, kini.
  5. Penulis berpandangan, jika perspektif politik, ekonomi dan sosial semakin tersasar jauh dari kerangka asas perlembagaan negara, itu memberi tanda bahawa ancaman terhadap kedaulatan negara semakin besar.
  6. Siapakah pemain-pemain yang terlibat sebagai penyebab, mendekat atau menjauhnya perspektif politik, ekonomi dan sosial dari kerangka asas perlembagaan negara?
  7. Pemain-pemain yang dimaksudkan ialah para pemimpin yang mewarnai kepolitikan negara dan pemimpin-pemimpin ekonomi yang menggariskan segala hala tuju ekonomi negara. Hasil dari keputusan politik dan ekonomi yang dilaksanakan sudah pasti akan memberi kesan langsung terhadap iklim sosial rakyatnya.
  8. Pemain-pemain inilah yang bertanggungjawab mewarnai pemikiran rakyat. Jika kita beranggapan rakyat itu seperti kain putih. Para pemimpinlah yang akan mencorakkan warna-warna pemikiran rakyat.
  9. Warna-warna di antara ketaatan dan pengkhianatan, antara pemikiran rasis dan pemikiran nasional, antara pemikiran sentimen dan pemikiran rasional, adalah di antara warna-warna yang berada di tangan para pemain ini.
  10. Pemain-pemain inilah yang mempunyai kudrat untuk menentukan warna apakah yang mereka kehendaki untuk diwarnai pada pemikiran rakyat.
  11. ‘Tepuk dada dan tanya kemahuan’.
  12. Jika pemain ini mempunyai ketaatan tanpa kompromi terhadap soal kedaulatan negara mereka, maka permainan politik mereka sudah pasti akan dihadkan kepada pendulum kedaulatan negara. Mereka tidak akan berkompromi dalam soal-soal yang boleh menjejaskan kedaulatan negara, walau pun mereka terpaksa menanggung kerugian politik peribadi.
  13. Setujukah kita berkata, pengengkaran terhadap kerangka perlembagaan negara boleh disabitkan dengan pengkhianatan terhadap negara?
  14. Fasa-fasa di dalam perlembagaan yang menyebut mengenai soal-soal hak keistimewaan yang diberi kepada setiap kaum, fasa yang menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi di samping lain-lain kepercayaan bebas diamalkan adalah merupakan kerangka paling asas dan utama yang diberi penekanan sewaktu perlembagaan ini digubal melalui Suruhanjaya Reid.
  15. Setujukah kita untuk mengatakan bahawa, jika perkara-perkara pokok ini tidak dimasukkan oleh Suruhanjaya Reid dulu, perlembagaan itu juga tidak akan dipersetujui oleh kaum pribumi? Perlu diingat kaum pribumi boleh untuk tidak bersetuju, cuma mungkin kemerdekaan agak terlewat sedikit. Kaum yang asalnya asing pada ketika itu hanya ada 2 pilihan, iaitu samada menerima saja apa yang diputuskan atau pun memilih untuk pulang ke tanah air mereka.
  16. Begitulah pentingnya asas-asas fasa 153 dan 152 yang termaktub dalam perlembagaan.
  17. Tidak mungkin rumah tertegak, jika tiang serinya tidak diambil pertimbangan dalam mendirikan sebuah rumah.
  18. Rumah yang didirikan pada tahun 1957 belum siap sepenuhnya. Pada ketika itu pemimpin hanya mendirikan ibu rumah untuk diduduki. Rumah itu diperkukuh dan diperbesarkan lagi selepas 13 Mei 1969. Tiang sokongan telah ditambah bagi menyokong tiang seri supaya binaannya lebih kukuh dan mempastikan rumah tersebut menjadi lebih sempurna untuk didiami bersama.
  19. Pendek kata, penstrukturan semula negara bangsa yang dibuat oleh Tun Razak selepas 13 Mei 1969 adalah merupakan suatu proses menambah kukuh negara dengan menjadikan intipati perlembagaan 1957 sebagai asas penstrukturan semula negara.
  20. Tafsiran perlembagaan telah diperhalusi melalui kerangka yang diberi nama DEB. Hanya mereka yang buta perlembagaan sahaja yang mempersalahkan DEB sebagai penyumbang kepada kesengjangan ekonomi negara dalam persaingan global.
  21. Jika mereka faham maksud perlembagaan tetapi masih engkar terhadap apa yang telah dipersetujui, maka bersetujukah kita melabel golongan ini sebagai pengkhianat negara?
  22. Bagaimana dengan tindakan segerombolan pemimpin yang sedang menjemput campur tangan asing supaya mencampuri hal-ehwal dalaman negara? Adakah mereka layak dilabel pengkhianat?
  23. Watak si kitol dalam kerajaan Melayu Melaka sudah semakin jelas kelihatan. Watak si munafik Abdullah Sabak sewaktu keagungan awal Islam sudah menjelma di negara kita. Watak pengkhianat yang menyumbang kepada runtuhnya kerajaan Islam Baghdad di tangan kerajaan monggol sudah wujud bertebaran di bumi melayu( Mingguan Malaysia hari ini). Usaha-usaha untuk meruntuhkan apa yang telah sekian lama dibina sedang bergerak pantas, dan ramai di kalangan Melayu yang sudah terjebak, sama ada secara sedar atau pun tidak.
  24. Tiada langsung perasaan bersalah di kalangan pemain-pemain politik rimba ini. Bagi mereka, kuasa perlu dirampas walau dengan apa cara. Jika terpaksa bersekongkol dengan musuh asing, mereka akan lakukan. Jika terpaksa mengorbankan masa depan jutaan rakyat negara dengan keruntuhan ekonomi dan perpecahan kaum, mereka sanggup lakukan asal kuasa dapat diambil alih.
  25. Modal yang digunakan sama seperti modal yang digunakan oleh pengkhianat-pengkhianat yang menyumbang kepada runtuhnya empayar-empayar yang disebutkan tadi, iaitu ‘modal persekongkolan’ dengan pihak ke tiga untuk menghancurkan pemerintah yang ada.
  26. Persekongkolan dengan pihak luar dan dalam negara sedang disusun rapi. Proses menyebar kekeliruan di kalangan rakyat sedang berlangsung hebat. Proses fitnah, pembohongan dan pendustaan melata di sana sini, hingga sebahagian besar masyarakat menjadi semakin keliru, tidak tahu mana satu kebenaran dan yang mana satu kepalsuan.
  27. Tongkat disangka ular, manakala ular disangka tongkat.
  28. Wajarkah kita war-warkan ciri-ciri pengkhianatan dan ketaatan kepada negara sebagai memberi satu garis panduan semula agar rakyat tidak terus dikelirukan?
  29. Garis panduan sebagai seorang rakyat yang taat kepada negara atau sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada sebuah negara juga mungkin diperlukan agar rakyat tahu menilai siapa yang selayaknya disokong sebagai pemimpin dan pemimpin pula tahu apa yang sewajibnya yang perlu mereka lakukan sebagai pemimpin kepada sebuah negara.
  30. Jika pemimpin itu seorang pemimpin kerajaan, mereka harus mendukung pemerintahan mengikut kerangka yang telah dibina dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Jika pemimpin itu seorang pemimpin pembangkang, mereka haruslah menjadi pembangkang yang amanah dan bertanggungjawab sebagai pemimpin pembangkang kepada sebuah negara berdaulat. Kedua-duanya tidak harus melakukan fitnah, penipuan dan pembohongan terhadap rakyat hanya semata-mata kerana ingin mengekalkan kuasa atau ingin mendapatkan kuasa.
  31. Garis pemisah di antara ketaatan kepada negara dan ketaksuban kepada parti haruslah dilakukan sebelum keruntuhan terjadi. Keruntuhan yang bakal terjadi tidak cukup hanya diganti dengan penyesalan. Menang sorak - agama, bangsa dan negara tergadai.
  32. Pemimpin kerajaan harus ada keberanian untuk mempertahankan negara dari menuju kehancuran. Tindakan setimpal harus dilakukan bagi membendung dan membuat noktah terhadap sebarang perbuatan yang bakal menyumbang kepada kehancuran ini.
  33. Senjata pertahanan seperti ISA, institusi raja dan segala kuasa yang ada harus dipergunakan sekarang, sebelum ianya terlambat.
  34. Pemimpin kerajaan tidak harus menanti dan mengharap pemimpin pembangkang akan bertindak waras tanpa melangkaui had yang dibenarkan di dalam perebutan kuasa. Perkara itu tidak akan terjadi.
  35. Kerajaan harus berani. Berani dalam erti kata mempertahankan kedaulatan negara dan seluruh institusi negara dan rakyat. Sebarang pelanggaran terhadap semua ini haruslah dianggap sebagai satu pengkhianatan terhadap negara.
  36. Ia tiada kena-mengena dengan tindakan politik. Mengapa mesti takut...

6 comments:

  1. Panjang bona kali ni..nanti sambung komen, nak tengok bola jap

    Jokiden

    ReplyDelete
  2. Apa dah jadi,apa nak jadi sampai sekarang tak sedar lagi.
    Apa dah jadi,apa nak jadi dah diberi tahu tapi tak ambil peduli.

    Kejolobak kejelebu ,nasi lomak gulai tempoyak.
    Mungkin pemimpin yang ada ketika ini tahapnya dungu,
    menungu rakyat bagun memberontak.

    ReplyDelete
  3. ontahlah...tokey gulo tu sapo yang naikkan sampai diolah yang paling kayo dalam negaro ni...tontulah orang yang ado kuaso...ladang tobu dan gulo kek Perlis apolak ditutup? kenapa mesti import? bangang boto oghang kito, nasib baik ada gulo anau, gulo anau campur ngan kopi best gak huhuhu....

    ReplyDelete
  4. tak pa..kita AKAN pantau...
    tak pa..kita AKAN siasat..
    tak pa..kita AKAN ambil tidakan..

    saya memberi AMARAN .........
    saya memberi AMARAN keras.....
    saya memberi AMARAN terahkir...
    saya memberi AMARAN terahkir kedua...

    Kalau macam ni lah gayo eeee..sampai tebalik KLCC tu jadi nyoooo

    ReplyDelete
  5. Kenapa ler engko orang bonci sangat dgn Anwar. Apa salah dia. Dia dah kaya, banyak duit. Bila - bila masa jer kalau nak beristeri dua, tiga dan empat. Tuduhan tu amat pelik dan sememangnye pelik

    ReplyDelete
  6. teropong Kg GhalibMarch 3, 2010 at 2:13 PM

    Petualang bangsa atau negara? bagi saya itu tidak sama dengan pengkhianat agama. Agama mesti didahulukan baru pencapaian hakiki dinikmati. Tidak ada guna jika pemimpin negara sarat dengan noda dan dosa, menipu rakyat marhaen yang ngak tau apa-apa. Mereka hanya nampak yang zahir dan jaga periuk nasi sahaja, mereka digula-gulakan oleh pemimpin. Apakah Najib boleh selesa diampu para pengampu dan menyembunyikan skandal buruknya? inikah pemimpin utama UMNO? kenapa bijak pandai umno boleh menerima baghal menjadi ketua?

    bila ada penyiksaan dan pembunuhan kanak-kanak, kita tertanya kenapa begitu sekali kejamnya manusia melayu. Tetapi kekejaman pemimpin melayu umno tetap dilindungi. Sebab? bijak pandai cari makan dalam umno masih berebut bangkai yang ditinggalkan. Sdr KK, kamu hanyut dibuai kealpaan dan berselimut kapan noda dalam tong najis umno. Kembalilah kepada Islam dan bertaubatlah.

    ReplyDelete