Wednesday, September 15, 2010

PEMIMPIN UMNO YANG JAHIL SOAL UMNO..

Kadang-kadang terlintas di pemikiran, siapalah agaknya pemimpin Melayu khususnya dari UMNO yang boleh dijadikan oleh orang Melayu dan seluruh rakyat sebagai pemimpin yang boleh dipercayai dan dijadikan tempat bergantung harap seluruh rakyat.

Almarhum Tunku Abd Rahman memimpin UMNO dan orang Melayu, tetapi pada masa yang sama kaum-kaum lain juga mempercayai kepimpinannya. Maka baginda bukan saja berjaya sebagai pemimpin Melayu, malah diakui sebagai pemimpin negara. Begitu juga keadaannya dengan kepimpinan yang dibawa oleh Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan seterusnya Tun Dr.Mahathir.

Kesemua mereka bukan saja berjaya sebagai pemimpin kaum Melayu melalui UMNO, malah mereka juga berjaya sebagai pemimpin yang dipercayai oleh semua kaum, seterusnya berjaya sebagai pemimpin negara.

Idealisma perjuangan mereka adalah idealisma yang dibawa oleh UMNO, iaitu membawa perjuangan nasionalisme Melayu dan dalam masa yang sama tidak sama sekali mengenepikan, malah mengakui kepentingan sah kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini. Apa yang diperjuangankan oleh mereka-mereka ini adalah perjuangan yang berteraskan prinsip adil dan saksama.

Persoalannya,kenapa waktu itu mereka-mereka ini diterima kepimpinannya oleh segenap lapisan kaum? Idealisma perjuangan dan prinsip-prinsip kepimpinan serta corak pentadbiran mereka tetap sama seperti yang termaktub dalam perlembagaan UMNO dan juga perlembagaan negara. Perlembagaan UMNO dan perlembagaan negara dalam soal-soal asas dan pokok tetap sama seperti soal agama, bangsa, budaya dan bahasa tetap sama seperti dulu.

Malahan apa yang diperjuangkan oleh PERKASA hari ini juga saling tak tumpah sama seperti apa yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO dan apa yang jelas termaktub di dalam perlembagaan.

Soalnya sama ada UMNO mahu pun PERKASA, ke dua-duanya tetap jelas merupakan gerakan nasionalis. Cuma yang berbeza hanyalah status UMNO sebagai parti politik, manakala PERKASA sebagai NGO.

Hari ini, kenapa ada kalangan pemimpin UMNO yang beranggapan bahawa PERKASA adalah badan eksrimis Melayu dan bersifat keterlaluan?

Apakah mereka tidak faham lagi apa itu perjuangan nasionalis? Apakah mereka sudah tidak menjunjung lagi apa yang sudah termaktub di dalam perlembagaan UMNO dan juga perlembagaan negara?

Itulah sebenarnya yang selama ini telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu seperti yang telah disebutkan nama-nama mereka awal-awal lagi. Kenapa mereka dulu tidak dituduh pelampau dan keterlaluan? Malahan kenapa kaum-kaum lain yang baru menjadi warganegara sebaik saja negara mencapai kemerdekaan menerima kepimpinan dan idealisma yang telah mereka bawa? Tidak pernah pun kaum-kaum yang baru menjadi warganegara ini melabel apa yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin ini sebagai sesuatu yang melampau dan keterlaluan?

Apa nak jadi dengan masa depan UMNO hari ini yang dipimpin oleh orang-orang Melayu yang tidak tahu apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh UMNO? Mereka beranggapan apa yang telah berdekad-dekad diperjuangkan oleh UMNO adalah sesuatu yang melampau dan keterlaluan?

Kalau mereka tahu pun, melalui apa yang diucapkan oleh sesetengah pemimpin UMNO, sebenarnya mereka sudah tidak yakin lagi apa yang selama ini telah diperjuangkan oleh parti yang mereka sendiri pimpin.

Perkara ini amat berbahaya kepada UMNO. Seolah-olah UMNO hari ini sudah dipimpin oleh mereka-mereka yang menentang perjuangan yang sepatutnya dibawa oleh UMNO. Bolehkah kita menyatakan pada hari ini, bahawa musuh-musuh perjuangan asal UMNO sudah membarisi kepimpinan UMNO?

Jika begitu keadaannya, bagaimana UMNO mahu meneruskan perjuangan asasnya yang selama ini telah membolehkan negara ini berjaya di dalam keadaan makmur, aman dan harmoni?

Apa akan jadi kepada sebuah masjid jika kepimpinan jawatan kuasa masjid sudah dibarisi oleh mereka-mereka yang tidak faham lagi tentang fungsi sesebuah masjid? Kita sudah tentu boleh menjangka apa akan terjadi kepada sesebuah masjid dan kepada masyarakat di kariahnya jika imam, bilal dan siak pun sudah tidak faham dan jahil tentang agama, tidak tahu memandikan jenazah dan tidak tahu membaca ayat-ayat lazim.

Mungkin analogi sebegini sesuai untuk membayangkan apa yang sedang dihadapi oleh UMNO. Manakan tidak, perjuangan asas UMNO pun mereka sudah anggap sebagai sesuatu yang melampau dan keterlaluan!

Sekarang bolehlah kita bayangkan apa akan terjadi kepada UMNO di masa akan datang jika kepimpinan UMNO sendiri dibarisi oleh orang-orang yang sudah jahil tentang perjuangan UMNO dan orang Melayu!

Terpulanglah kepada pemimpin UMNO yang masih faham dan juga ahli-ahli yang masih faham apa itu perjuangan UMNO untuk memperbetulkan kesongsangan yang sedang berlaku, jika mahu UMNO terus diterima oleh segenap lapisan rakyat termasuk oleh kaum-kaum lain.

Apa yang dibawa oleh PERKASA adalah sebenarnya suatu ujian kefahaman tentang perjuangan asas dan idealisma UMNO untuk pemimpin dan ahli UMNO.

Hari ini kalangan mereka yang sudah gagal dalam menduduki peperiksaan kefahaman asas perjuangan nasionalis bangsa Melayu yang dibawa oleh UMNO, antaranya ialah Nazri Aziz, Khairi Jamaludin, Khaled Nordin dan Ku Nan. Yang lain-lain ada yang sedang menduduki peperiksaan, ada yang belum keluar keputusan peperiksaan dan ada juga yang tidak mahu menduduki peperiksaan kerana takut gagal…

2 comments:

  1. umno syok sendiri lagi.

    ReplyDelete
  2. Salam, selamat hari raya, maaf zahir batin. Dulu Jokiden dah sebut dah, siapa juga yang menjadi pemimpin UMNO, tidak kiralah apa idealisma yang dianutinya, 3 perkara pokok yang dia tidak boleh berselindung atau berkias-kias.

    Pertama, pertahankan hak Melayu, keduanya pertahankan agama Islam dan ketiganya lindungi keselamatan rakyat melalui penguatkuasaan undang-undang terutamanya dari pendatang. Rakyat tidak boleh terus menerus merasa tidak selamat.

    Jika mana-mana pemimpin UMNO tidak menghayati ketiga-tiga perkara pokok tadi, tunggulah saat kejatuhannya.

    Sekarang ini sepatah kata atau sebaris ucapan sudah boleh ditafsirkan sebagai rasis dan perkauman, bergantung siapa yang menuturkannya. Peliknya semakin hari semakin banyak pula isu perkauman dimainkan secara terang atau halus, bertujuan untuk mengwujudkan ketidakstabilan dalam negara dengan harapan akan ada pihak yang meraih keuntungan kelak.

    Jokiden berpendapat ubat untuk membendung semua ini hanya satu..ISA. Pada zaman TDM, ada beribu-ribu kaset diputarkan setiap hari, dan beribu-ribu ceramah yang kesemuanya mencaci dan memaki beliau. Cacian dan kutukan terhadap beliau tidak ada sempadan, rakyat seolah-olah dibebaskan berkata apa sahaja hinggakan beliau digelar Maha Firaun, namun beliau tidak pernah ambil peduli atau ambil pusing dan tak pernah menahan orang yang celupar mengkritiknya.

    Namun sejarah telah membuktikan bahawa, jika sesiapa sahaja yang cuba meniupkan sentimen perkauman samada melibatkan bahasa, agama, politik, kebudayaan, ekonomi, surau, masjid, kuil, pagoda, TDM segera mengawalnya dengan menggunakan ISA, lalu Malaysia terselamat. Dan semua gembira.

    Yang bencikan keamanan dan asyik mencipta persepsi buruk tentang kerajaan ini tidak ramai dan tujuan mereka jelas supaya mereka mendapat keuntungan politik. Semua kebencian cuba dicipta supaya akhirnya rakyat menjadi benci dan mengubah undi kepada mereka. Ada ke sesiapa yang waras dalam negara ini hendak mengatakan BN telah gagal selama 53 tahun memerintah ini? Kalau BN gagal kenapa negara seperti yang ada pada hari ini.

    Cara mana pembangkang hendak dapat memusingkan undi rakyat? hanya melalui penciptaan persepsi tadi, tentang keburukan polis, keburukan kehakiman, keburukan mahkamah, keburukan peguam negara, keburukan UMNO, rasuah sana sini, zalim, bongkak, kaya berlebihan dan pelbagai lagi hinggakan ada pemuda UMNO yg dah jadi doktor, peguam, arkitek dan banyak duit, lalu beli kereta mewah, tapi takut guna dan simpan di rumah, semata-mata nak jaga imej dan bimbang dituduh macam2. Dah beli pakailah, kan itu lambang anak merdeka, lambang kejayaan setelah 53 tahun merdeka. Nikmatilah itu semua.

    Memang ada lompang sana sini, namun tidaklah sampai menghancurkan negara. Soalnya mereka yang bercakap tentang semua itu baik sangat ke? bersih sangat ke? toleransi sangat ke? alim sangat ke? bijak sangat ke?

    Maaf Jokiden terlebih komen.

    ReplyDelete