Kalau dah dinamakan busines, maka busineslah ia. Kalau dah politik tu, maka politiklah ia. Tidak kira ia UMNO, PAS, PKR, DAP atau lain-lain. Semuanya sama.
Selama ini hanya UMNO yang terkenal dengan politik dan politiking dalaman. Rasionalnya mudah. Sebab selama ini yang jadi pemerintah dan memegang kuasa adalah UMNO.
Tapi bila ada parti lain yang turut jadi pemerintah, barulah nampak bahawa selama mana ia bernama politik, maka politiking dalaman pasti akan wujud. Kalau dah politik tu politik jugalah yang jadi.
Pakailah tag line apa pun, samada berjuang atas nama bangsa, islam, Malaysian Malaysia atau apa saja, tapi "kerja buatnya" tetap sama dan tiada beza, bila sudah sampai kepada istilah "kuasa".
Kita lihatlah apa sedang berlaku dalam PAS hari ini. Kalau di baca sekali lalu dan tidak disebut nama PAS dalam tajuk akhbar atau berita, pasti orang ingat kecoh-kecoh perang mulut tersebut adalah kecoh dalam UMNO, sebab kerja buat dan gaya yang berlaku itu selalu didengar berlaku dalam UMNO.
Bila kita baca betul-betul, kita lihat nama Khalid Samad, Hassan Ali, Mustapha Ali, Mahfuz, Nasharudin Mat Isa dan Nash Tantawi, barulah kita sedar rupanya perang politik itu sebenarnya berlaku di dalam Parti PAS.
Hakikatnya tetap sama. Bila sudah menetas, barulah kita tahu jantina anak ayam itu, samada anak ayam itu jantan atau betina. Itu pun bukan kita terus tahu. Bila dah besar sikit barulah kita kenal betul-betul, betinakah atau jantankah ayam itu. Semasa ibu ayam bertelur kita tidak tahu. Kita hanya kedengaran kokoknya riuh se kampong. Melalui kokoknya, kita tahu bahawa ada ayam baru lepas mengeluarkan telor.
Serupalah dengan hakikat politik. Sebelum dapat kuasa memang riuh rendah bunyi ceramah dan pelbagai slogan. Tiada yang tidak baik tentang perjuangan mereka, melainkan baik-baik belaka. Itu tandanya PRU sudah hampir. Bermakna, ada ruang untuk mendapat atau menambah kuasa.
Riuh rendah yang sudah berlaku dalam pemilihan PKR tahun lalu dan riuh rendah yang sedang berlaku dalam PAS Selangor kini, memperjelaskan kepada kita bahawa, tiada bezanya antara individu PKR, PAS mahupun UMNO kerana mereka berpakaian seragam yang sama, iaitu pakaian seragam politik dan kuasa.
Jika dalam agama, yang membezakan antara hambaNya di sisi Allah hanyalah iman dan taqwa.
Di dalam politik hari ini, apa yang boleh membezakan antara mereka hanyalah hasil kepada perjuangan tatkala kuasa telah berada di tangan. Bagaimana mereka menjalankan amanah, apa perencanaan dan apakah hasil yang telah dilihat dan dirasai hasil dari perencanaan tersebut.
Sekarang mari kita nilaikan sendiri. Tanyalah dada sendiri. Apa hasil atau outcome kepada perjuangan yang telah dibawa oleh kesemua parti-parti yang telah memakai pakaian seragam politik yang sama di dalam sistem demokrasi berparlimen yang sedang berlangsung di negara ini.
Siapa yang bertelur se biji riuh se kampong. Siapa yang diam-diam penyu, tau-tau ratusan anak penyu merangkak keluar dari lubang turun ke laut.
Kita juga boleh menilai sendiri, siapa yang kokoknya berdarai-darai, ekor bergelumang tahi. Siapa yang cakapnya berdagar-dagar, ciriaknyo tasangkut di gelagar.
Kepada rakyat dan pembaca budiman...
Anda punya akal dan kewarasan berfikir yang telah dikurniakan tuhan. Anda sebenarnya punya hati dan nurani yang tulus di sebalik kekeliruan untuk membezakan di antara yang hak dan batil. Anda seringkali berjaya dalam pencarian ini, tetapi anda juga kerapkali gagal. Kegagalan ini bukan disebabkan oleh sesiapa tetapi adalah disebabkan oleh kegagalan melepasi halangan di depan mata.
Seringkali nafsu dan emosi anda telah bertindak sebagai penghalang kepada pencarian yang hak. Tanpa kita sedari emosi dan nafsu telah menjadi kenderaan resmi hati dan akal anda. Sedar-sedar anda sudah sampai ke destinasi yang salah. Anda sudah terkumpul di padang yang mana tergolong individu-individu yang telah menaiki kenderaan jenama dan kelas yang sama, iaitu lori perdagangan yang membawa muatan emosi dan nafsu serakah yang hanya mahu melonggokkan segala ketamakan kepada kuasa dan harta.
Fikir-fikirkanlah....
Satu artikel yang menarik sekali ! Mohon untuk saya copy dan pastekan nanti diblog saya...
ReplyDelete