Wednesday, May 8, 2013

KAMI RAKYAT NEGERI SEMBILAN MEMOHON PERKENAN MENTERI BESAR YANG BARU!!!

Menteri Besar Negeri Sembilan belum dilihat mengangkat sumpah jawatan di hadapan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Kita mengharapkan agar Negeri Sembilan mendapat Menteri Besar yang baru di atas beberapa faktor yang dikira sangat signifikan. 

Beberapa perkara yang sangat penting harus dipertimbangkan sebelum melantik seorang Menteri Besar yang paling sesuai dan layak untuk diamanah dan dipertanggungjawabkan jawatan ini. Diharapkan agar beberapa pertimbangan penting yang dimaksudkan ini akan tercapai melalui keupayaan dan peranan yang bakal dimainkan oleh Menteri Besar baru yang bakal dilantik.

Antara pertimbangan-pertimbangan penting yang tidak harus diketepikan begitu saja dalam usaha mencari penjawat yang sesuai mengisi jawatan Menteri Besar adalah seperti berikut;

1. Menteri Besar yang dilantik haruslah seorang yang boleh diterima dan tahu meletakkan kedaulatan dan bidang kuasa institusi Raja Berperlembagaan yang unik yang dianggotai oleh Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Dato-Dato Undang yang Empat berserta dengan Tunku Besar Tampin.

Kedudukan institusi ini sering "dipandang mudah" seolah-olah institusi ini hanya berperanan dalam hal-ehwal agama dan adat istiadat melayu semata-mata. 

Kesan yang berlaku apabila Institusi Raja dan Undang yang Empat ini tidak diletakkan dialurnya yang patut atau di kedudukannya yang hak sebagai Ketua Negeri ialah kedaulatan, penghormatan dan kredibiliti institusi ini sebagai payung negeri disisi pandangan rakyat jelata sudah dilihat longgar dan disalah-ertikan.

Menteri Besar selaku Ketua Eksekutif yang diamanahkan menjalankan kuasa terbitan yang dizahirkan melalui kuasa dan kedaulatan insitusi Raja dan Undang Yang Empat disisi perlembagaan harus tahu di mana letak duduknya peranan beliau sebagai Ketua Eksekutif yang diwatikahkan dan berkewajiban untuk tahu di mana letak duduknya ketinggian kuasa dan kedaulatan Institusi Raja dan Undang Yang Empat.

2. Menteri Besar yang bakal dipertanggungjawabkan mestilah seorang yang boleh diterima oleh sekurang-kurangnya majoriti ketua-ketua Bahagian UMNO di Negeri Sembilan.

Faktor ini sangat penting kerana kestabilan politik Negeri Sembilan di masa hadapan semakin mencabar disebabkan kerajaan BN masih gagal mengembalikan mandat 2/3 di Dewan Undangan Negeri.

Jika seorang Menteri Besar gagal mendapat kerjasama dan gagal menjalankan peranan untuk mempertautkan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin bahagian di seluruh Negeri Sembilan, maka dikhuatiri "politiking" yang keterlaluan yang wujud akan mengganggu kelancaran pentadbiran sesebuah kerajaan.

Masalah politik di Negeri Sembilan yang sentiasa bersuhu panas adalah manifestasi dari kegagalan kepimpinan Dato Seri Utama Mohamad Hasan selaku Ketua Eksekutif kerajaan dan selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

3. Seorang Menteri Besar yang dilantik mestilah mempunyai personaliti dan kepimpinan yang sederhana, tidak "arrogant" dan "tidak pula terlalu lemah". Personaliti sebegini adalah merupakan antara kaedah rawatan terpenting bagi mengurangkan kepanasan suhu politik dan politiking yang berpanjangan di Negeri Sembilan yang tidak pernah surut disebabkan pendekatan kepimpinan yang dibawa oleh Dato Seri Utama Mohamad Hasan selaku Menteri Besar. 

Pendekatan kepimpinan "kasih bertompok-tompok dan benci melata-lata" yang diamalkan oleh Dato Seri Utama Mohamad Hasan sepanjang memimpin Negeri Sembilan telah menjadi penyumbang utama kepada suasana politik yang tidak sehat dan merugikan UMNO dan Barisan Nasional, Umat Melayu Islam dan rakyat jelata seluruhnya.

Kerajaan Barisan Nasional yang bertulangbelakangkan UMNO sebagai teras wajib diperkukuhkan kembali sebagai jalan keluar untuk memastikan agama Islam dan umat melayu terus terjaga dan terpelihara.

Di atas maksud inilah, maka bermula dari Pasca PRU13 ini, Negeri Sembilan harus mengorak langkah menamatkan segala budaya kepimpinan tidak sehat yang bakal menghakis kekuatan Kerajaan BN/UMNO secara jangka panjang.

Kami sebagai rakyat jelata yang bertanggungjawab, taat setia bernaung di bawah Payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan berserta Undang Yang Empat merayu dan merafak sembah agar permuafakatan ke Bawah Duli Tuanku berserta Undang Yang Empat dapat dicapai dalam menurunkan amanah, kuasa dan hak-hak yang diperuntukan oleh Perlembagaan kepada seorang yang difikirkan layak dan sesuai untuk menggalas tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru bersandatkan kepada fakta dan senario yang telah diperjelaskan seperti di atas.

Hamba dan sekelian rakyat menjunjung dan mentaati apa sahaja titah ke Bawah Duli Tuanku serta sabda Dato Undang Yang Empat. Kami hamba rakyat berkeyakinan penuh, ilham dan petunjuk dari Allah swt akan terus bersama baginda selaku Khalifah dan Ketua Agama.

Sekian, wassalam.

4 comments:

  1. Maaf yo warih(kalau yo la tuan ni org n9) nak tanyo zikit, tuan ni bercakap bagi pihak orang nogori 9@ bagi pihak ??????(tangan2 ghaib).

    ReplyDelete
  2. Bagi pihak diri seyyy lerrr!!!

    ReplyDelete
  3. Tak kirolah tangan ghaib ko tangan nampak ko. Kito dah bagi dio peluang 2 ponggal dah tapi takdo langsung nampak dio nak pulihkan keadaan. Nampak nak lagi punahkan ado ah. Kito cubolah orang baru yg lobih diterimo kek melayu dan rakyat. Yang nyata orang memang tak gomar kek mat hassan ni. Kalaulah dikokalkan lagi takutlah pulak dah terlambat. Kito konolah rasional bukan ikut porut masing2.

    ReplyDelete
  4. Zaman berganti pusaka bergilir

    ReplyDelete