Sunday, August 10, 2008

AGAMA : APA PANDANGAN MAJLIS PEGUAM TERHADAP KRISTIAN, HINDU DAN BUDDHA?

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum seperti sudah hilang punca. Kepercayaan dan pegangan agama antara kaum dan antara manusia pun sudah dijadikan perdebatan umum.

Tafsiran semula terhadap apa yang telah sekian lama difahami dalam perlembagaan berkaitan agama telah sewenang-wenang dialun mengikut kacamata Majlis Peguam.

Apakah bentuk keterbukaan yang mereka inginkan? Sehingga tahap mana amalan keterbukaan pada kacamata mereka baru negara ini layak diiktiraf negara yang bebas, demokratik dan adil?

Kenapa kecenderungan menggila untuk benar-benar bebas, demokratik dan adil ini hanya berlaku sejak 4 atau 5 tahun ke belakang? Ia nampak lebih ketara selepas PRU 12. Kenapa tidak 10, 20, 30 atau 50 tahun dulu?

Kenapa Majlis Peguam bertindak seolah-olah ingin memaksa rakyat berfikir dan mengikut selera mereka? Seolah-olah mereka bebas untuk menentukan gaya hidup, gaya beragama, gaya berpolitik mengikut gaya tafsiran perlembagaan sendiri . Kenapa keinginan mereka begitu meronta-ronta untuk bebas menyatakan pendirian bagaimana sepatutnya rakyat harus hidup dan beragama di negara ini? Mereka seperti mahu mengajar bagaimana harus kerajaan mentadbir dan mentafsir perlembagaan.

Apakah negara kita sudah tiada panduan dan perundangan lagi untuk hidup bermasyarakat? Apakah keadaan sekarang lebih baik dari dulu dari segi hubungan kaum dan persefahaman dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing?

Apakah setelah lebih 50 tahun hidup di bawah perlembagaan yang sama, baru kini golongan ini sedar kesilapan telah berlaku dalam mentafsir perlembagaan?

Apakah pakar undang-undang dan para peguam dulu begitu bodoh berbanding dengan anggota Majlis Peguam hari ini? Atau adakah kerana pihak kerajaan dulu lebih pandai dari peguam waktu itu atau adakah peguam hari ini lebih bijak mentafsir perlembagaan dari kerajaan yang ada hari ini?

Atau adakah kerajaan dulu lebih baik dari kerajaan hari ini dari segi kemampuan mengawal, mentadbir dan mengurus negara dan rakyat? Adakah kerajaan hari ini tidak tahu menguruskan krisis sehingga semua isu menjadi polemik rakyat?

Di mana kesilapan dan kelemahan ini harus disandarkan? Bagaimana untuk dijawab segala soalan dan kemusykilan ini? Dan apakah semua isu ini akan berakhir dengan penyelesaian yang baik untuk negara dan rakyat?

Bagaimana kalau orang melayu islam berforum tentang ramai orang asli telah memeluk agama kristian? Bagaimana dari segi tuntutan hak keluarga orang asli jika berlaku kematian dikalangan warisnya yang telah memeluk kristian?

Bagaimana kalau penganut budha berforum untuk menilai kenapa ramai penganutnya telah menukar agama kepada kristian? Kenapa Majlis Peguam tidak berforum dan mengkaji kenapa ramai penganut hindu hari ini juga telah menukar agama kepada kristian?

Di Selangor sudah kedengaran Teresa Kok mempertikai azan masjid. Bagaimana kalau orang islam mempertikai gangguan jalanraya yang berlaku dan bunyi-bunyian di kuil-kuil terutama ketika hari kebesaran agama hindu?

Sambutan tahun baru cina dengan tarian singa dan bunyian yang memedihkan telinga juga bagaimana?

Apakah Majlis Peguam bertindak adil apabila hanya kritikal terhadap islam dan ketuanan melayu? Apakah mereka memikirkan tiada langsung masalah yang timbul dari kalangan penganut agama-agama lain dan ketuanan bangsa lain dalam negara ini?

Apakah hanya disebabkan kebebasan bersuara dibenarkan maka Majlis Peguam bebas untuk melakukan apa saja? Jika berlaku huru-hara hasil dari kebebasan tanpa sempadan, kepada siapa harus diletakkan segala kesalahan?

Jadi, kalau inilah kaedah pemahaman yang ingin disuapkan oleh Majlis Peguam kepada rakyat dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat, maka tunggulah tidak berapa lama lagi negara ini akan menuruti jejak langkah beberapa negara yang telah menjadi anarki akibat dari kegagalan pemerintah membendung sentimen agama dan perkauman yang keterlaluan…

Api..kecil jadi kawan, besar jadi lawan. Air..kecil jadi keperluan, bila besar bawa mudharat. Angin yang sesedap keperluan beri benafaat, bila besar bawa malapetaka.

Fikir-fikirlah implikasi dari sifat berlebih-lebihan...











No comments:

Post a Comment