Wednesday, August 13, 2008

MAJLIS PEGUAM VS KERAJAAN : LULUS JARUM LULUS KELENDAN

Perlembagaan telah menjamin seluruh rakyat negara ini untuk bebas mengamalkan kepercayaan dan anutan masing-masing.

Setiap kepercayaan dan agama yang dianuti sudah tentu mempunyai hukum dan peraturan hidup yang wajib dan harus dilakukan sebagai bukti pengakuan kepada anutan yang dibawa.

Mana-mana negara pun akan wujud komplikasi di antara amalan yang ditetapkan oleh agama dengan perlembagaan dan sistem yang wujud di sesebuah negara. Di negara barat seringkali berlaku percanggahan di antara paderi dan pemerintah.

Cuma percanggahan di antara sistem sivil dan agama (syariah) kelihatan lebih ketara di negara-negara islam. Rasional wujudnya percanggahan kerana islam itu sendiri merupakan suatu system lengkap yang meliputi segenap kehidupan merentasi aspek ekonomi, sosial, pemerintahan, nikah-kahwin, jenayah, pembahagian harta dan lain-lain aspek kehidupan.

Sudah semestinya akan berlaku komplikasi dan pertindihan di antara sistem pemerintahan konvensional dengan system yang digariskan oleh islam. Itu sebab sering timbul permasalahan dari segi soal pembahagian harta atau perkara yang membabitkan hal kematian bagi pemeluk islam baru yang masih mempunyai pertalian keluarga yang menganut agama lain.

Realitinya, apabila seseorang itu menganuti sesuatu agama, sudah semestinya mereka mempunyai obligasi terhadap suruhan agamanya. Walau bagaimana pun, amat sukar sekali untuk dicari penganut-penganut setiap agama yang mampu menuruti 100% amalan sebagaimana yang dikehendaki oleh agama masing-masing.

Berdasarkan kepada hujah-hujah ini, jelas sekali kepada kita bahawa sesiapa pun tiada hak untuk berforum dan membincangkan mengenai hal-ehwal agama orang lain. Kita hanya berhak membincangkan dan mendalami soal agama sendiri.

Pendek kata tidak ada kelayakan langsung untuk seseorang penganut kepada sesuatu agama berforum mengenai hal-ehwal agama lain. Ini adalah perkara paling asas yang sepatutnya difahami oleh setiap penganut agama.

Mana mungkin sebuah masyarakat ayam yang tinggal di daratan berforum dan berbincang bagaimana masyarakat ikan harus mengamalkan kehidupan di laut!

Apa yang cuba dilakukan oleh Majlis Peguam adalah suatu perkara sia-sia dan amat merbahaya kepada sebuah masyarakat yang majmuk etnik dan kepercayaannya.

Lebih merbahaya lagi, apabila perbincangan itu dilakukan oleh orang yang tiada pengetahuan langsung tentang selok belok agama lain.

Walau sesuci mana sekali pun alasan diberikan, sudah pasti tidak akan mengurangkan, bahkan, pasti akan menambah kusut permasalahan yang sedia ada.Tindakan yang dilakukan hanyalah umpama percubaan memadam api yang sedang marak dengan penyembur minyak!

Kenapa kita harus biarkan seorang kanak-kanak yang masih tidak faham erti bahaya bermain lilin di dalam kelambu hanya semata-mata kerana kita tidak mahu melihat kanak-kanak itu menangis?

Tindakan yang mengundang malapetaka seperti anak-anak bermain lilin ini harus dihentikan walaupun kita terpaksa berdepan dengan kritikan pahit dari dalam mahupun luar negara.

Pihak berkuasa sudah berkewajiban untuk bertindak pantas sebelum api marak menjulang membaham penghuni teratak damai yang bernama Malaysia. Tiada siapa yang boleh disalahkan melainkan, pihak kerajaan harus bertanggungjawab sepenuhnya jika terjadi malapetaka yang lebih besar dalam hubungan antara kaum dan agama, akibat dari kegagalan bertindak pantas.

Kita menyanjung tinggi kepantasan pihak kerajaan bertindak awal terhadap kes-kes yang dikategorikan sebagai merbahaya kepada soal keselamatan negara, hubungan antara kaum dan agama selama ini. Walaupun pada awalnya pelbagai persepsi songsang dilemparkan terhadap tindakan awal kerajaan, tapi akhirnya rakyat faham dan keselamatan terjamin..

Gerakan al-maunah, al-arqam, operasi lalang, penangkapan agen KGB, ajaran sesat, isu pertikaian status pribumi oleh Dato Lee Kim Sai, Dong Ziou Jong dan banyak lagi isu-isu sensitif yang boleh mengundang bahaya dan api perkauman atau agama jika tidak dibendung, telah berjaya di atasi dengan berkesan.

Kini kita tertanya-tanya ke mana hilangnya ketajaman dan kemahiran melakukan tindakan pantas pihak berkuasa dalam berhadapan dengan isu-isu sensitif akhir-akhir ini. Pihak berkuasa seperti hilang punca dan terikut-ikut rentak permainan pihak lain.

Lulus jarum lulus kelendan. Roboh empangan hanyut rumah ditebing….fikirkan!

1 comment:

  1. hanya AL QURAN saja yang tidak dapat diubahsuai.. undang-undang digubal oleh manusia utk itu manusia lah yang akan mengubahnya semula..melambat-lambatkan proses mahkamah..yang salah boleh menang..di akhirat nak pakai lawyer, malaikat tak benarkan..LU FIKIR LAH SENDIRI.

    ReplyDelete