Tuesday, March 3, 2009

MASA DEPAN MALAYSIA DIHUJUNG LIDAH HAKIM DAN PEGUAM...

Jika pengguna jalanraya tidak mematuhi undang-undang jalanraya, ada peruntukan untuk menghukum pesalah.

Begitu juga kesalahan membunuh, ada dinyatakan jenis hukuman yang patut dikenakan jika didapati bersalah.

Kesalahan mengedar dadah pun ada hukumannya. Rasuah pun sama. Pendek kata semua perkara yang dianggap melanggar peraturan dan undang-undang akan turut diperuntukan hukuman tertentu jika didapati bersalah.

TETAPI ada atau tidak peruntukan untuk menghukum sesiapa yang tidak taat atau tidak mahu mengiktiraf apa yang telah termaktub dalam perlembagaan negara?

Tidak taat kepada Raja Berperlembagaan, contohnya. Dari sudut mana seseorang itu dikira tidak taat kepada Raja Berperlembagaan? Jika ada justifikasi untuk membolehkan seseorang itu dianggap tidak mentaati Raja Berperlembagaan, apa pula hukuman yang boleh dijatuhkan kepada mereka?

Begitu juga jika seseorang itu tidak mahu mengiktiraf apa yang telah termaktub dalam perlembagaan, seperti hak istimewa orang melayu contohnya. Adakah wujud peruntukan untuk menjatuh hukum kepada sesiapa yang tidak mengiktiraf hak-hak istimewa ini?

Hak dalam Per.11(4) yang menyebut antaranya, bukan Islam tidak boleh menyebar fahaman agama mereka kepada penganut agama Islam. Jika berlaku pelanggaran terhadap peruntukan ini, adakah wujud bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan kepada mereka yang melanggar Per. 11(4) ini? Jika ada, mana dia? Kenapa tidak digunakan dalam hal yang berhubungkait dengan pertukaran rasmi nama tuhan Jesus kepada nama tuhan Allah di Malaysia yang cuba dilakukan oleh Gereja Se Malaysia?

Lagi satu pasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam keadaan bagaimana seseorang itu dianggap tidak mentaati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Jika ada justifikasi ini, apa hukuman yang akan dikenakan kepada sesiapa yang tidak mentaati atau tidak mengiktiraf Bahasa Melayu? Apa bentuk perbuatan atau percakapan yang boleh disabitkan kesalahan tidak mentaati dan tidak mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Contoh lain, jika sesuatu dasar digubal. DEB sebagai contoh. (Walau pun DEB sudah tamat). Dasar ini sudah diluluskan di parlimen pada awal 70an dulu. Apakah bentuk perbuatan atau percakapan yang boleh disabitkan bahawa mereka tidak mengiktiraf polisi kerajaan? Apakah wujud peruntukan untuk menghukum sesiapa yang tidak mengiktiraf dasar ini?

Ini hanya satu perbincangan akademik. Jurublog tiada asas undang-undang.

Tetapi jika benar tidak ada peruntukan untuk menghukum berkaitan isu ini, tidak menjadi kehairanan, hari ini kita lihat pakar-pakar undang-undang yang berkepentingan politik sedang menggunakan segala ruang yang ada untuk menerbitkan keraguan rakyat terhadap segala apa yang telah dipersetujui dan dimaktubkan dalam perlembagaan sejak dulu.

Hak dan kuasa raja-raja dipertikaikan, konvensyen kontrak sosial yang selaras dengan peruntukan perlembagaan dipersoalkan. Hak agama Islam sebagai agama rasmi di samping hak kebebasan mengamalkan agama masing-masing sudah semakin kreatif pentafsirannya.

Hak-hak istimewa melayu yang dilindungi perlembagaan seperti soal biasiswa dan permit turut tidak diiktiraf oleh sebahagian besar rakyat bukan melayu.

Bahasa Melayu diperlekeh dan bukan melayu terus mendesak agar bahasa-bahasa ibunda mereka dimartabatkan dalam pelbagai rupabentuk.

Tiada siapa boleh menghukum ketidaktaatan dan keingkaran mereka terhadap perlembagaan negara.

Apa yang terdaya dibuat hanya mendesak supaya memohon maaf, menarik balik perkataan, mengutuk perbuatan keji, melabelkan mereka pengkhianat negara dan membuat lapuran polis.

Terbaru, Hakim Lau Bee Lan telah membenarkan permohonan gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald. Hakim yang sama juga hari ini akan mendengar kes mencabar kesahihan kerajaan baru Perak.

Sekarang keadaan sudah bercelaru dan bersimpang siur. Tidak diketahui yang mana satu kesalahan dan yang mana satu kebenaran.

Negara sedang diancam bahaya pentafsiran perundangan yang tiada sempadan dan tiada hukuman terhadap pelanggarannya.

Apa pilihan yang ada untuk memperbetulkan keadaan yang serba tidak kena ini?

No comments:

Post a Comment