Keampuhan struktur asas pembinaan sebuah negara bangsa yang bernama Malaysia sudah hampir berkecai.
Adunan dasar kapitalis dan sosialis telah membentuk acuan asas negara bangsa yang affirmatif dan pragmatis mengikut citarasa dan keperluan yang wujud. Resepi ini terbukti amat secocok dengan keperluan dan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
Resepi khusus ini mungkin tidak sesuai diamalkan di negara lain. Ia resepi yang dicipta khusus untuk rakyat tanah air ini.
Resepi ini terpaksa dicipta secara begitu inovatif dan kreatif oleh kepimpinan awwalin negara kerana struktur kependudukan baru yang dipaksakan ke atas negara ini oleh penjajah.
Acuan kreatif dan inovatif sebegini mungkin tidak perlu jika syarat wajib, iaitu ‘mesti menerima buruh dari tanah besar China dan benua Hindia sebagai warganegara jika mahu merdeka’ tidak dikenakan dalam proses menuntut kemerdekaan oleh penduduk pribuminya.
Mahu tidak mahu, demi menjadikan negara ini sebuah negara yang bebas dan merdeka, kepimpinan awwalin tanah air terpaksa meyakinkan rakyat pribuminya, betapa pentingnya mereka bersetuju mengorbankan sebahagian dari hak miliknya untuk dikongsi bersama kaum imigran jika mahu merdeka dan bebas.
Bertitik tolak dari sinilah maka lahirnya sistem demokrasi berparlimen secara trinity yang telah membahagi-bahagikan kuasa mutlak raja-raja melayu kepada pihak eksekutif, kehakiman dan legistlatif.
Klausa khusus dalam perlembagaan terpaksa diwujudkan untuk melindungi kepentingan penduduk pribumi dan juga kepentingan lain-lain kaum yang telah dijadikan sebahagian dari rakyat negara ini. Perkara-perkara asas seperti soal bahasa, kepercayaan dan kepentingan setiap bangsa terpaksa dipreskripsi secara tersurat di dalam perlembagaan negara.
Perlembagaan kreatif dan inovatif ini dicipta begitu rupa bukan tidak bersebab.
Pemikiran kreatif dan inovatif pemimpin melayu awwalin telah berjaya membina asas negara bangsa yang begitu kukuh.
Perlu diingat bahawa pemimpin-pemimpin kaum imigran ini dilibatkan dalam proses menuntut kemerdekaan hanya setelah para pemimpin melayu bersetuju dengan syarat wajib yang ditetapkan oleh penjajah untuk menerima mereka sebagai sebahagian dari warganegara Malaya.
Jika pemimpin melayu tidak bersetuju pun dengan syarat yang dipaksakan oleh penjajah, tanah air melayu ini akan tetap juga merdeka seperti mana tanah-tanah jajahan lain. Cuma kaedah dan tarikhnya saja yang mungkin berbeza.
Penambah kukuhan apa yang tersurat dalam perlembagaan negara dilakukan sekali lagi pada 1970 setelah wujud insiden perkauman akibat dari kelemahan dalam mentafsir dan melaksana apa yang terkandung di dalamnya.
Kini kemerosotan jiwa, jati diri dan kefahaman rakyat terhadap perkara asas ini sudah longgar dan luntur. Setiap perkara asas ini sudah tidak jelas lagi hitam putihnya. Rakyat sudah bebas mentafsir dan mendaulatkan pemahaman sendiri.
Kepercayaan kepada tuhan sedang menjalani proses liberalisasi dalam amalan. Ibubapa yang bertukar agama sudah tidak punya hak menentukan agama anak mereka walaupun anak mereka masih belum kenal dunia.
Hak istimewa agama Islam yang jelas dilindungi dalam perlembagaan pun sudah berjaya diperbaharui tafsiran perlembagaannya oleh peguam bela sivil.
Kesetiaan kepada raja dan negara ditafsir mengikut kaca mata sendiri. Institusi tertinggi negara ini pun sudah berjaya dicacatkan kedudukannya oleh tafsiran baru para mujaddid undang-undang.
Keluhuran undang-undang dan perlembagaan sudah tercabar melalui pentafsiran baru para pengamal undang-undang negara yang sudah menjadikan kecenderungan politik sebagai kiblat.
Mereka cuba menjadi mujaddid undang-undang dan perlembagaan negara melalui pelbagai tafsiran baru, dan tafsiran baru ini juga turut ‘termakan sama’ oleh para hakim.
Gerakan pembaharuan dan liberalisasi pentafsiran undang-undang sedang mengancam kredibiliti institusi raja dan institusi triniti yang begitu kukuh asas binaannya.
Manakala kesopanan dan kesusilaan tidak lagi menjadi asas pertimbangan penting dalam proses memburu kuasa.
Kesemua tiang sokong negara sedang terancam. Proses menghakis penghormatan dan kepercayaan yang sekian lama terbina terhadap tiang sokong ini sedang giat dilakukan.
Semua ini terjadi disebabkan oleh politik dan kuasa.
Apakah formula berkesan untuk mengembalikan sikap rasional pemimpin politik, pengamal undang-undang dan penyokong yang bertaklid buta?
Jalan semakin berliku. Jerangkap samar ‘loopholes’ perundangan yang dipasang oleh pemabuk kuasa tegar di sana sini telah menyebabkan pihak pemerintah negara terdedah kepada bahaya kelumpuhan kuasa....
membosankan.. erghhhhhhh nak muntah
ReplyDeletesalam...
ReplyDeletebetul seperti yang dikata...
apa yang berlaku adalah natijah daripada membelakangkan al-quran dan sunnah, ijma' dan qias.
mereka mencipta undang2 sendiri berdasarkan kemampuan logik akal manusia yang bersifat lemah dan mudah digoda oleh nafsu dan amarah, kepentingan sendiri lebih diutamakan berbanding amanah, cuba menyembunyikan kebenaran, akhirnya keputusan yang dibuat hanya mewujudkan masalah baru... ummah dibiarkan keliru, semakin keliru ummah semakin menguntungkan mereka.
inilah ummah akhir zaman.
nabi pernah berpesan supaya berkata benar sekalipun pahit, yang salah jangan dibenarkan yang benar jangan disalahkan.
inilah ummah akhir zaman umpama buih di lautan.