Sunday, May 3, 2009

POLITIK : BUDAYA TAKLID BUTA..

Tersebutlah al-kisah 2 ekor keldai yang dibawa oleh tuannya mengangkat barangan. Seekor membawa muatan berisi garam dan seekor lagi membawa sepan (bunga karang) yang diikat di belakangnya.

Dipendekkan cerita, tatkala mengharung sungai, keldai yang membawa garam tergelincir beberapa kali dan tergolek ke dalam air. Akhirnya garam yang dibawa beransur hancur dan bebannya menjadi ringan. Setelah sampai ke tebing sungai, si keldai pembawa garam melompat kesukaan.

Si keldai pembawa sepan (bunga karang) berasa hairan melihat kawannya kesukaan dan kelihatan tidak menghadapi masalah langsung dalam membawa muatannya, lantas bertanya akan perihal itu.

Si keldai pembawa garam pun menceritakan rahsia bebannya menjadi ringan. Apabila dirasa bebannya berkurangan setelah terjatuh kali pertama, dia sengaja buat-buat jatuh lagi hingga bebannya menjadi betul-betul ringan.

Terfikir oleh keldai yang membawa sepan (bunga karang), jika perjalanan seterusnya ada laluan melintas sungai, dia pasti akan melakukan sepertimana kawannya tadi.

Maka, apabila tiba di satu lagi anak sungai, si keldai yang satu ini pun buat-buat jatuh dan sengaja lambat bangun dengan harapan agar bebannya akan hancur dan menjadi ringan.

Tapi, apa yang berlaku sebaliknya. Bebannya telah bertambah berkali-kali ganda kerana sepan yang dibawa telah penuh dimasuki air.

Dia tidak faham bahawa beban yang dibawa tidak sama jenis dengan beban yang dibawa oleh kawannya.

Pendita Za’ba ada menyebut dalam risalahnya, “Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekelian orang yang berakal”

Beliau menjelaskan, bertaklid buta kepada pemikiran dan pendapat orang lain dengan bertindak menerima sahaja segala fahaman dan pendapatnya tanpa menyelidik, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah didengar atau diperolehi, boleh membawa mudarat dan tersimpang dari jalan yang benar.

Gara-gara mengikut secara buta tuli tanpa berfikir serta tiada kefahaman yang jelas, ramai manusia yang terperangkap dan menjadi tunggangan.

Mengikut, bersetuju dan taksub akan perkara yang tidak dimengerti hujung pangkal cerita, sering kali menyebabkan kebenaran dan kepalsuan tidak dapat dibezakan. Paling teruk ialah apabila kepalsuan disokong hingga kebenaran tenggelam.

Menerima dan mempercayai setiap berita yang sampai ke telinga tanpa fikiran yang waras dan tidak mahu atau cuba mengelak dari memahami isu yang sebenar akibat dari taklid buta telah menyebabkan persepsi manusia menjadi sandaran dagangan komoditi oleh pihak pengamal demokrasi untuk meraih sokongan.

Apa akan terjadi jika taklid buta menjadi budaya politik baru di negara ini?

Ada 2 hipotesis boleh difikirkan;

1. Jika pembawa berita datang membawa berita benar dan tiada yang lebih benar melainkan benar belaka, maka taklid buta boleh membawa kebaikan. Cukup hanya dengan meletakkan pergantungan terhadap kebenaran khabar berita yang dibawa oleh si pembawa berita.

2. Tapi jika pembawa berita datang membawa berita palsu atau separuh masak bertujuan agar masyarakat menjadi ragu terhadap kredibiliti dan integriti seseorang, khususnya pemimpin, sudah tentu budaya taklid buta boleh memudaratkan dan membangkit kekeliruan pada masyarakat terbanyak.

Pembohong hanya boleh bermaharajalela jika budaya taklid buta hidup subur dalam masyarakat. Tetapi lelongan seorang pembohong tidak akan laku jika senjata akal, fikir, faham dan waras yang ada pada seseorang manusia berfungsi dengan betul.

Salam.

3 comments:

  1. Pemimpin PAS sanggup melihat Islam dan Melayu berpecah kerana mereka sangat yakin bahawa PAS boleh menjadi parti alternatif kepada orang-orang Melayu. Pemimpin PAS semakin yakin bahawa kaum Cina dan India mulai menyokong calon PAS. Mengapa mereka perlu bersatu dengan UMNO? Mereka beranggapan UMNO mulai menuju kehancuran atau lubang kubur.
    Pandangan yang terlalu awal. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ada masa naik dan ada masa turun. Ada masa air pasang dan ada masa air surut. Bergantunglah kepada keadaan dan masanya. UMNO mulai membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pemimpin-pemimpin MT UMNO yang dipilih melalui Persidangan Agung UMNO kebanyakan pemimpin yang berani bercakap, berpendirian tegas, berwibawa dan bersih. PM, DS Najib telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang bersih dan berkemampuan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Beberapa dasar telah mengalami perubahan dan pembaharuan. Majlis perasmian yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan diringkaskan kerana lebih masa ditumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat. Sesuai dengan cogan kata di bawah pentadbiran DS Najib iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Jika UMNO dan BN mendapat restu rakyat pada masa akan datang bermakna Melayu terus berpecah.
    Oleh itu pemimpin PAS mahu pun UMNO tidak perlu mendabik dada mengatakan parti masing-masing kuat. Sebenarnya NGOs dan orang Melayu tidak rela melihat bangsa Melayu semakin menuju kehancuran. Apakah Islam boleh terus berkembang maju jika bangsa Melayu hancur? Perjuangan Islam PAS sebenarnya samalah jua dengan perjuangan UMNO. Cuma pendekatan PAS dan UMNO mungkin sedikit berbeda dan apakah perbedaan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS bersatu kerana Allah. Jika PAS boleh menerima DAP sebagai rakan dalam pakatan, mengapa PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai pakatan dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Islam?

    ReplyDelete
  2. MENARIK CERITA TUAN NI, BILAMANA SAYA TENGOK JE NAMA BLOG TUAN NI SAYA TERINGAT AIS KEPAL LA TUAN...HE HE HE

    HELLO EVERBODY, HOT ISSUE IN PERAK!

    READ IT HERE,

    http://parpukari.blogspot.com/2009/05/ringkasan-dari-ceramah-dap-di-perak.htm

    ReplyDelete
  3. Mereka seolah-olah berpaut pada jubah guru dengan mata tertutup. Apabila guru tidak nampak lubang di hadapan tidak ada sesiapa yang menegur guru itu tentang bahaya yang sedang menanti di hadapan.

    ReplyDelete