Tuesday, September 14, 2010

MCA PERANGKAP UMNO DENGAN FAHAMAN TAHYUL...

PERKASA kelihatan bertambah perkasa apabila semakin banyak pihak cuba cari pasal dengan PERKASA. Selalunya jika seseorang atau satu-satu pihak yang ada tak menambah dan jika tiada tidak mengurangkan, tidak akan ada sesiapa yang ambil pusing. Wujud atau tidak ianya tidak akan menjadi isu. Apa yang diperkatakan mereka juga tiada siapa yang ambil pusing. Maklumlah, ia hanya ibarat melukut tepi gantang.

Tapi hari ini PERKASA seolah-olah sudah menjadi satu stigma pada sesetengah pihak. Ada yang resah gelisah. Ada yang tidak semena-mena gundah gulana. Ada juga yang meracau tiba-tiba bila PERKASA buat kenyataan tertentu. Tidak kurang juga ada yang takut seperti dikejar bayang-bayang PERKASA.

Bila keadaan seperti ini timbul, maka kesannya, ada yang terpekik terlolong meminta tolong selamatkan dirinya kerana merasa seolah-olah diekori lembaga PERKASA. Ada pula yang awal-awal lagi meletupkan mercun dan peluru kapur seperti ingin menakut-nakutkan lembaga PERKASA supaya jangan menerkam atau dekat dengan dia. Ada juga yang bertindak seperti orang mengetuk-ngetuk tin kosong sambil berjalan dalam gelap. Pada hakikatnya sebenarnya mereka yang takut tidak tentu fasal kerana terbayangkan ada lembaga PERKASA sedang mengekorinya.

Ada juga puak yang merasa terancam dengan kehadiran PERKASA, menerbitkan drama bersiri dengan cuba menggambarkan lembaga PERKASA ini seperti sebuah lembaga yang ganas, hodoh dan menakutkan. Tujuannya ialah agar semua orang akan menjauhi PERKASA.

Ada juga yang cuba memberi fahaman tahyul kepada masyarakat bahawa lembaga PERKASA ini boleh mendatangkan sial kepada BN pada PRU13 yang akan datang.

Fahaman tahyul ini sebenarnya dicipta oleh MCA agar kelemahan mereka akan terlindung pada pandangan masyarakat cina dan pada masa yang sama jika sokongan kaum cina kepada mereka terus merosot, maka mereka boleh cuci tangan dan akan memberi alasan kegagalan mereka menarik sokongan kaum cina adalah berpunca dari PERKASA. Mereka akan berkata, “semua ini berlaku adalah kerana kesalahan UMNO yang cenderung menyokong PERKASA”.

Fahaman tahyul ini sudah berjaya dikembangkan hingga berjaya diresap ke dalam pemikiran sebahagian dari pemimpin UMNO. Ramai pemimpin-pemimpin UMNO seperti KJ, Nazri Aziz, Khaled Nordin dan terbaru Ku Nan sudah diresapi oleh fahaman tahyul ciptaan MCA.

Lain-lain pemimpin UMNO pula lebih ramai yang mendiamkan diri. Mungkin mereka juga sudah diresapi fahaman tahyul ini. Cuma mereka yakin sendiri dan tidak bertindak menyebarkan fahaman tahyul ini kepada masyarakat Melayu. Ada juga kalangan pemimpin UMNO yang menyokong atau bersimpati dengan PERKASA tapi secara sulit. Mungkin mereka ini takut untuk berterus terang kerana khuatir akan ditimpa sumpahan dan saka pencipta fahaman tahyul ini.

Jika pencipta fahaman tahyul ini berjaya mengembangkan fahaman mereka kepada sebahagian besar masyarakat Melayu dan ahli-ahli UMNO, maka berkemungkinan besar PERKASA akan berjaya dipinggirkan dari orang Melayu. Jika perjuangan yang dibawa oleh PERKASA berjaya dipinggirkan dari orang melayu, tidak semestinya orang Melayu akan terus kembali menumpukan perjuangan mereka melalui UMNO. Orang Melayu akan terus hilang arah ke mana yang harus dituju.

Akhirnya ke UMNO tidak, mendukung PERKASA pun tidak, mengikut PAS pun tidak. Hakikatnya suasana yang sebeginilah yang diingini oleh agenda tersirat MCA dan para ekstrimis kaumnya. Melayu akan terus menjadi seperti buih di lautan.

MCA tidak tahu apa itu syirik. Tapi apabila mereka berjaya mewujudkan fahaman tahyul di kalangan pemimpin UMNO bahawa ‘jika UMNO/BN tidak menjauhkan diri dari PERKASA maka BN akan kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu dan seterusnya BN akan kalah dalam PRU 13 akan datang’, - ini akan menyebabkan orang Melayu terjerumus ke lembah syirik.

No comments:

Post a Comment