Friday, October 15, 2010

SIAPA PENGASAS BUDAYA BOHONG...?

Lagak orang benar dan orang salah ada macam-macam.

1. Ada orang terpaksa diancam terlebih dahulu baru bercakap benar.

2. Ada orang akhirnya akan bercakap benar jika terperangkap setelah melalui proses siasatan dan interrogation.

3. Ada orang sekejap bercakap benar dan sekejap bercakap bohong, mengikut tahap akal dan keadaan persekitarannya atau pun kepentingannya.

4.Ada juga manusia yang memang berada dalam keadaan benar dan dia mahu pastikan orang lain sentiasa mengetahui atau sentiasa mempercayai dia berada dalam keadaan benar.

5. Ada pula manusia yang memang benar-benar bersalah tetapi tidak pernah mengaku akan kesalahannya dan mahu orang lain juga turut mempercayainya.

6. Ada juga jenis manusia yang bersalah tetapi bertindak memindahkan kesalahannya kepada orang lain sebagai kaedah menutup kesalahannya. Lebih terok lagi dia akan tercari-cari isu lain atau kesalahan orang lain agar orang akan lupa dengan kesalahannya.

7. Ada juga orang yang jujur dan sentiasa bercakap benar walau dalam apa keadaan, sekali pun akan menjejaskan aib dan masa depannya. Manusia jenis ini adalah manusia yang paling baik dari semua kategori di atas. Manusia jenis ini ada sifat tawakal dan yakin kebenaran akhirnya akan muncul dan paling kurang pun dia yakin jika tidak muncul semasa di dunia, di akhirat kelak dia pasti akan dimuliakan tuhan. Itu yang dia yakin.

Satu-satunya yang tidak boleh dibohongi ialah tuhan.

Dalam kes Sosilawati, suspek yang disyaki membunuh mungkin termasuk dalam kategori diancam atau terperangkap semasa proses siasatan dijalankan.

Dalam hal Rahimi Osman dan Rasid Rosli mungkin jatuh dalam kategori ke 3. Sekejap bercakap bohong sekejap bercakap benar.

Walau apa pun, watak seseorang yang sedang bercakap benar atau bercakap bohong boleh kita kenali melalui riak-riak percakapan, tindakan atau reaksi yang dilakukan dan berdasarkan watak yakin kerana benar yang akan menguasai dirinya.

Dan yang pasti ialah kebenaran akhirnya pasti akan mengatasi pembohongan.

Seseorang yang berada dalam kebenaran selalunya tidak akan menjaja ke seluruh dunia bahawa dia benar dan tidak bersalah. Sebaliknya seorang yang bersalah, secara psikologinya, yang tidak akan senang duduk dan otaknya akan ligat memikir bagaimana mahu mempertahankan diri agar dilihat tidak bersalah.

Jika dibandingkan antara orang benar dan orang salah, sudah pasti orang salah lebih panjang akal dalam mempertahankan dirinya. Sekurang-kurangnya orang benar masih ada mahkamah untuk mendapat keadilan dan membela dirinya dari didapati bersalah. Tetapi orang salah tidak boleh mengharapkan kepada mahkamah untuk membebaskan dirinya kerana dia terpaksa mematahkan semua hujah dan bukti yang dibawa oleh pihak pendakwa. Apa yang boleh dilakukannya hanyalah mencari alasan-alasan yang bersifat teknikal dengan harapan dia akan didapati tidak bersalah.

Seseorang yang benar juga tidak akan mempertahankan dirinya dengan cara salah seperti berbohong. Dia akan mempertahankan dirinya dengan cara yang benar juga kerana dia tahu mana mungkin kebenaran ditegakkan melalui pembohongan. Seseorang yang salah saja yang akan mencari helah melalui pembohongan untuk mempertahankan dirinya.

Mempertahankan kebenaran dengan cara pembohongan samalah seperti seorang yang mandi untuk membersihkan diri tetapi dengan menggunakan air najis.

Budaya menegakkan benang basah sudah menjadi trend di negara kita sejak lebih 10 tahun yang lalu. Budaya mempermainkan undang-undang juga berlaku lebih kurang serentak dengan budaya pembohongan ini. Para peguam juga menjadi semakin pakar dalam mencari soal-soal teknikal untuk mengatasi perundangan yang wujud secara literal.
Jika ada orang mempermainkan al quran dan hadis kita akan cepat tahu sebab masih ramai yang tahu dan mahir tentang al quran atau hadis. Tetapi kes mempermainkan undang-undang ini tidak berapa jelas kerana masyarakat bukan faham sangat soal undang-undang dan mahkamah. Mana yang boleh dan mana yang tidak boleh tidak semudah kita faham seperti mana yang boleh dan tak boleh dari segi agama.
Permainan Akuan Bersumpah pun ramai masyarakat yang belum faham.

Di atas kekaburan dari segi perundangan inilah ada manusia-manusia yang memperalatkan sistem yang ada untuk menambah keliru lagi masyarakat tentang kebenaran dan kesalahan sehingga yang salah nampak benar dan yang benar kelihatan salah.

Siapa yang memperkenalkan budaya ini?

No comments:

Post a Comment