Sunday, February 6, 2011

BAHAYA SEORANG ILMUAN ISLAM...

Apa yang pasti LKY bukan Islam. Tahukah kita apa beza orang yang tidak ada kalimah dengan seseorang yang ada kalimah di dalam hati walau pun sebesar zarah?

Seseorang yang wujud kalimah di dalam hati walaupun sebesar zarah pasti akan masuk syurga walaupun dia mungkin orang yang terakhir yang akan masuk syurga. Tetapi seseorang yang tidak ada langsung kesan kalimah di dalam hati, akan kekal di dalam neraka.

Seperkara lagi ialah, tidak pernah Nabi Muhammad atau mana-mana sahabat nabi yang akan bersekongkol atau secara terbuka menyokong pandangan kaum kafir untuk menyerang umat Islam lain, kecuali dia seorang munafik seperti Abdullah bin Ubai.

Walau atas apa maksud sekali pun, selagi mereka mengucapkan kalimah yang sama mereka tidak akan berkompromi dengan musuh Islam untuk menjatuh atau memburukkan umat Islam lain.

Siapa Nik Aziz untuk berfatwa mengatakan pandangan LKY lebih baik dari nasionalis Melayu yang menolak Islam? Siapa yang menolak Islam? Islam macam mana yang Nik Aziz mahukan? Islam yang sanggup bersekongkol dengan DAP dan PAP tetapi berfatwa UMNO mengamalkan politik suku agama suku kerana berkongsi kuasa dengan MCA? Islam yang membutakan mata apabila rakan kafirnya berkata ‘langkah mayat aku jika PAS mahu laksanakan Islam’? Islam yang membenarkan wanita kafir berdiri depan mimbar tanpa bersuci dan menutup aurat?

Dari mana ijtihad Nik Aziz dapat, hingga dia lebih memandang mulia pandangan LKY dari Islam nasionalis yang telah bertanggungjawab memakmur dan menyuburkan amalan Islami di negara ini? Islam nasionalis yang telah mendahului negara lain di dunia ini dalam memartabatkan perbankan Islam? Islam nasionalis yang telah dijadikan rujukan oleh dunia Islam dalam membangunkan industri halal dunia?

Fardu kifayah dalam Islam bukan setakat memandi dan mengurus jenazah. Islam yang dikatakan nasionalis sesat oleh Nik Aziz inilah yang telah melindungi agama Islam dan membangunkan prasarana berteraskan Islam seperti Bank dan Insuran Islam dan mensucikan industri yang berkaitan makanan dan perkhidmatan dengan membangunkan industri halal.

Islam jenis apa yang PAS inginkan sedangkan kita tidak melihat mereka berbuat sesuatu yang signifikan untuk pembangunan Islam di negara ini, selain dari berceramah dan berkempen sambil menyeru supaya UMNO jangan tolak Islam. Islam mana yang UMNO tolak? Berikan satu dari hukum atau syariat Islam yang telah ditolak oleh UMNO.

Apa yang UMNO tolak ialah tindakan memperdagangkan ayat al-quran dan hadis dan ditukar-gantikan dengan kuasa politik.

PAS mahukan kuasa untuk mendaulatkan agama. Kenapa mesti perlu ada kuasa baru agama boleh didaulatkan? Apakah ulamak PAS tidak belajar bab akidah - PERCAYA, MENGAKUI dan YAKIN akan kewujudan dan maha kuasanya Allah?

Kenapa PAS tidak ikut saja bagaimana Nabi Muhammad mendaulatkan Islam di muka bumi? Nabi Muhammad ditawarkan menjadi raja asal sanggup meninggalkan seruan agama yang dibawa. Tapi Nabi tolak mentah-mentah tawaran kepada kuasa. Nabi tidak perlukan kuasa untuk mendaulatkan agama. Kalau nabi ikut akal macam akal ulamak PAS, sudah tentu dia akan ambil dulu kuasa dan apabila sudah berkuasa maka lebih mudahlah nabi mendaulatkan agama.

Secara logiknya keperluan kepada kuasa sepatutnya lebih mendesak pada zaman Nabi Muhammad kerana Islam baru saja bermula. Tetapi nabi tidak teruja sedikit pun dengan tawaran kuasa kerana itu bukan maksud baginda dihantar ke muka bumi.

Nabi Muhammad Kekasih Allah. Sudah pasti setiap apa yang baginda lakukan adalah 100% terbimbing dan dipandu oleh Allah. Jadi kenapa PAS mahu tunjuk lebih bijaksana dari Nabi Muhammad? PAS mahu berhujah keadaan dan keperluan perjuangan zaman ini tidak lagi sama dengan zaman Muhammad saw? Sekali lagi PAS bertindak mendahulukan logik akal dari sunah nabi.

Di sinilah PAS harus lebih memohon petunjuk dari Allah supaya perjuangannya dalam mendaulatkan agama tidak ditipu oleh musuh utama, iaitu iblis dan bukan UMNO. PAS jangan merasakan mereka lebih berilmu dari UMNO kerana ketua para Iblis, iaitu azazil adalah mantan YDP para malaikat dan lebih tinggi lagi ilmunya tapi akhirnya sesat dan dilaknat Allah.

Islam tidak boleh dibanggakan hanya dengan ilmu. Banyak lagi bukti bagaimana ahli ilmu telah tersesat lantaran dari sifat buruk orang berilmu yang tidak dapat dikawal. Penyakit ujub, riak, sum’ah, sombong dan takbur adalah lebih mudah menghinggapi para ilmuan dari si jahil. Penyakit inilah yang diwarisi oleh azazil yang akhirnya telah menyebabkan azazil dilaknat dan kekal di dalam neraka.
Azazil telah tertipu dengan kehebatan ilmunya disebabkan penyakit hati yang telah disebutkan tadi.
Menurut kisahnya, apabila para malaikat mendapat tahu di loh mahfuz akan ada di kalangan para malaikat yang akan dilaknat tuhan, akhirnya para malaikat telah membuat keputusan untuk memohon doa dari azazil kerana doa azazil sangat mustajab dan paling hampir dengan tuhan. Maka azazil pun mendoakan mereka tanpa dia mendoakan diri sendiri. Akhirnya doa azazil telah termakbul. Hasilnya azazil sendiri telah dilaknat tuhan.

Memang seorang ilmuan akan lebih dituruti pandangannya. Inilah masalah besar yang kita hadapi hari ini. Siapa kita jika dibandingkan dengan ilmuan seperti Nik Aziz yang boleh berhujah pantas dan memainkan lidah dengan keupayaan ilmu yang dia miliki. Bayangkanlah bijak tak bijaknya Nik Aziz. Hasil dari ilmunya yang tinggi dia boleh meyakinkan orang ramai bahawa Islam nasionalis yang ada dalam UMNO lebih buruk perangai dari pandangan LKY yang meminta orang Islam Singapura kurangkan sedikit islamiknya.

Walau apa pun, kita yang jahil ini nak juga berpesan kepada Nik Aziz dan para pengikut taksubnya, ambillah kisah Azazil sebagai pedoman. Jika ulasan saya tidak jelas cubalah cari kitab-kitab yang mengkisahkan bagaimana ilmu yang tinggi amat mudah terdedah kepada penyakit yang diwarisi azazil laknatullah.

Penyakit terbesar azazil ialah memandang rendah amalan orang lain dan takjub kepada amalan sendiri.

No comments:

Post a Comment