Friday, August 19, 2011

MURTAD PART 1: PAS BAKAL TERBELIT

Manusia merancang, Allah juga merancang. Tetapi adakah sesiapa di kalangan manusia yang berani mengakui perancangan mereka lebih baik dari perancangan Allah?

Begitu juga di dalam soal hukum halal dan haram atau dosa dan pahala. Adakah di kalangan manusia yang berani menjatuhkan hukum bagi pihak Allah swt kepada seseorang manusia? Siapakah kalangan manusia yang berani menghakimi dan mendahului keputusan tuhan?

Di sini, manusia atau penguasa selalu lupa dan lalai mengenai "kewujudan 'maha kuasa' di sebalik urusan si penguasa". 

Allah swt tidak akan membiarkan umat yang baik dan beriman dipimpin oleh penguasa yang zalim dan bersifat keji, kecuali jika orang-orang soleh di kalangan masyarakat atau kaum itu sudah tidak lagi berkerut dahinya melihat segala kemungkaran dan  pengengkaran yang sedang berlaku di depan mata terhadap agama Allah swt. Apatah lagi, jika orang-orang soleh juga turut terlibat mengotorkan tangan dan bersubahat di dalam sebarang kemungkaran yang sedang berlaku.

Isu murtad yang sedang dihadapkan kepada setiap muslim yang sedang berlaku di negara ini seharusnya tidak dilihat dari sudut politik. Isu murtad adalah isu umat Islam. Isu agama dan akidah. Setiap mereka yang berpegang kepada kalimah syahadat adalah bertanggungjawab di atas isu ini. Ia melangkaui segala kepentingan-kepentingan lain walau di atas apa kepentingan sekali pun.

Sepatutnya hanya ada dua golongan yang wujud di kalangan umat Islam dalam isu murtad ini, iaitu golongan yang bersubahat dengan kemurtadan dan satu golongan lagi ialah golongan yang memerangi perlakuan murtad ini.

Apabila seseorang muslim itu murtad, dosa tidak tertanggung di bahu agensi atau mana-mana badan, sebaliknya setiap umat yang ada kalimah di dalam komuniti itu akan mendapat dosa.

Tetapi, apa yang berlaku hari ini amat berlainan sekali. Tidak jelas lagi mana golongan yang sedang memerangi kemurtadan dan mana golongan yang sedang bersubahat dengan kemurtadan.

Tiada sesiapa pun yang mengaku bersalah dan mahu mengambil tanggungjawab hingga saat ini. Masing-masing hanya berkemampuan menyalahkan pihak lain, seolah-olah mereka terlepas atau dikecualikan oleh Allah swt dari tanggungjawab ini. Atau pun, masing-masing kononnya bertindak dan menunjukkan kebimbangan serta keprihatinan terhadap masalah ini, tetapi bertindak dengan cara menuding jari.

Kita juga dapat melihat, buat pertama kalinya para ulamak yang selalunya mendepani setiap isu agama telah menjadi "passenger" yang duduk di belakang sekali dalam menghadapi isu ini. 

Sebaliknya golongan bukan ulamak jahil pula yang tonggang-langgang sama sendiri salah menyalahkan di antara satu sama lain.

Apa yang menyebabkan para ulamak seolah-olah bisu dan hilang punca dalam berhadapan dengan isu ini? Jika ada pun golongan ulamak yang ambil pusing, mereka hanya setakat mengeluarkan kenyataan berdasarkan logik akal, seolah-olah tiada langsung ayat-ayat Al Quran dan hadis yang menyebut tentang soal murtad dan apa yang seharusnya dilakukan mengikut Al Quran dan Sunnah dalam berhadapan dengan isu murtad ini.

Jika dalam soal hukum yang melibatkan lain-lain isu ummah, mereka begitu pantas menceduk segala ayat Al Quran dan Hadis untuk dikaitkan dengan fatwa dan hukum yang mahu dikeluarkan, tetapi apabila timbul isu murtad ini, mereka tidak berani langsung merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Mereka menjadi setaraf dengan kami dan mereka-mereka yang jahil dengan mengeluarkan pendapat hanya berdasarkan hukum akal dan logik.

Apa yang terlebih hina dan mengaibkan ialah, sikap ulamak-ulamak politik dalam berhadapan dengan isu ini. Jelas sekali mereka tidak pergi kepada perkara pokok, iaitu isu murtad. Semakin jelas terbonggeng, kiblat mereka sebenarnya bukanlah mahu memartabatkan kesucian agama Islam. Mereka lebih mendahulukan kepentingan yang selain dari agama. Mereka tidak dapat mengalihkan kiblat dan ketaksuban mereka dari kepentingan politik dan keduniaan.

Puak-puak ini sedang diduga tuhan, mana satu yang mahu dikorbankan. Adakah mahu mengorbankan undi bukan Islam atau mahu mengorbankan kesucian agama Islam. Jika mereka memilih untuk memerangi kemurtadan dan keras mempertahankan kesucian Islam, maka mereka harus bersedia untuk kehilangan undi bukan Islam.

Cuba kita lihat dan analisa pihak-pihak yang terlibat dalam isu DUMC.

Kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim, JAIS dan PAS adalah pihak yang terlibat secara langsung kerana pihak inilah yang ada authority dalam isu DUMC. Sebagai pemimpin dan pihak yang ada authority dalam hal ehwal Islam di Selangor, mereka gagal mencari common ground di dalam isu ini, walhal mereka terdiri dari pengucap kalimah syahadah yang sama.

Bagaimana bijak pandai mereka beriya-iya mahu memperjuangkan titik persamaan antara agama, sedangkan mencari titik persamaan sesama Islam dalam isu murtad pun mereka terang-terang sudah gagal?

Masing-masing dilihat bersilat kuntau sesama sendiri. Waktu inilah ketikanya di mana kita lihat mereka tidak mahu publisiti dan cuba sedaya upaya mengelak diri dari bertembung dengan pengamal media. 

Ulamak-ulamak besar di dalam PAS juga buat pertama kalinya menjadi begitu tertib dan berhati-hati di dalam mengeluarkan komen. Masing-masing tolak-menolak tidak mahu memberikan komen. Perkembangan ini sangat luar biasa kerana selalunya ulamak-ulamak PAS begitu "ringan mulut" dalam mengeluarkan fatwa dan pandangan dalam apa juga kemungkaran yang kononnya hanya berlaku dan berpunca dari UMNO dan kerajaan pusat.

Kali ini, pendirian, keikhlasan dan kejujuran perjuangan PAS sedang diperhatikan oleh seluruh umat Islam....

...bersambung.

No comments:

Post a Comment