Thursday, May 2, 2013

MENANG 2/3, STATUS QUO ATAU MARGINAL??

Persepsi terbentuk berdasarkan sejauh mana tahap kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu perkara. Jika kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu itu "kurang" maka keraguanlah yang akan bertambah.

Pantai Peranginan Port Dickson pernah terjejas teruk akibat dari jangkitan virus JE. Bertahun usaha dibuat untuk memulihkan persepsi pelancung supaya yakin Port Dickson selamat untuk pergi bercuti.

Menguasai persepsi sangat penting dalam politik. Parti politik akan gagal dan boleh gulung tikar jika gagal menguasai persepsi majoriti rakyat.

Sebaliknya, jika parti politik berjaya menguasai persepsi majoriti, itu menandakan bahawa parti tersebut akan berjaya di dalam sistem demokrasi kerana demokrasi adalah peperangan untuk menguasai majoriti.

Kejayaan sebenar sesebuah parti politik adalah apabila mereka menjadi kerajaan hasil dari kejayaan menguasai pemikiran majoriti pengundi.

Pelbagai strategi digunakan oleh parti-parti politik bagi tujuan menguasai persepsi majoriti rakyat. Kaedah gentleman, tak gentleman, cara baik, cara kotor digunapakai oleh para pemimpin parti politik dalam usaha menguasai persepsi rakyat agar yakin dan percaya kepada mereka dan pada masa yang sama akan wujud keraguan majoriti kepada pihak lawan mereka.

Amalan budaya politik sehat akan mewujudkan suasana politik yang rasional. Sebaliknya, jika budaya politik sudah disandarkan kepada elemen kebencian, hasutan, pembohongan dan fitnah, suasana politik akan dipandu oleh sentimen, emosi dan dendam. Akhirnya, menandakan budaya politik sehat dan demokratik akan lenyap.

"Menguasai persepsi majoriti" dengan menggunakan "kaedah menimbulkan kebencian" dan keraguan terhadap pihak lawan melalui hasutan, fitnah dan pembohongan berupaya meruntuhkan sistem nilai dalam masyarakat. Akhirnya, sistem demokrasi juga akan beransur punah dan tidak lagi dihormati.

Tanda-tanda kemusnahan sistem nilai, politik dan demokrasi di negara ini sudah semakin jelas kelihatan. Semua ini terjadi kerana amalan budaya politik sehat sudah ditinggalkan dan budaya menimbulkan persepsi politik melalui kebencian, hasutan, fitnah dan pembohongan mengambil tempat, seterusnya dijadikan amalan oleh para pengamal politik dalam usaha mereka menguasai persepsi majoriti.

Sebahagian besar keputusan dan pendirian politik rakyat sudah dicorakkan berasaskan kepada persepsi dan sentimen salah yang dipengaruhi oleh persepsi politik kebencian, hasutan, pembohongan,  dan fitnah. 

Siapa yang berupaya menguasai persepsi mereka, pihak itulah yang akan difikirkannya sebagai pihak yang benar dan wajar disokong. Tindakan dan pertimbangan menurut emosi telah mengatasi pertimbangan yang waras akibat dari suburnya kaedah politik menimbulkan rasa kebencian kepada pihak yang dilawan. 

Untuk memulihkan persepsi yang telah memasuki acuan yang salah ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk perbaiki. Ia ibarat kolam yang telah di "convert" menjadi kolam kumbahan tetapi ingin dipulihkan semula menjadi kolam mandi.

Walaupun kolam tersebut sudah dipulihkan menjadi kolam mandi, "'kepercayaan dan keyakinan" masyarakat untuk menggunakan kolam tersebut tidak akan pulih sekelip mata, apatah lagi jika kerja-kerja pemulihan itu tidak disempurnakan mengikut spesifikasi kolam mandi sebenar, ataupun ada pihak berniat tidak baik melontarkan pelbagai kisah buruk di sebalik pemulihan kolam tersebut.

UMNO yang dipercayai dan diyakini oleh majoriti orang melayu telah merudum tahap keyakinannya apabila diambilalih kepimpinannya oleh Tun Dollah Badawi sehingga UMNO hampir dihukum oleh rakyat dalam PRU12. UMNO telah dipandang oleh ramai orang melayu seperti kolam kumbahan yang hanya terhimpun segala kekotoran dan kejelikan.

Kelemahan kepimpinan Pak Lah telah dimanipulasi sepenuhnya oleh pihak lawan untuk "menyahkan" rasa hormat dan yakin rakyat yang sekian lama terbina terhadap UMNO.

Persepsi buruk telah terbina pada pandangan 1/2 dari orang melayu dan sebahagian besar dari bukan melayu akibat dari pihak lawan yang memanipulasi kelemahan kepimpinan UMNO dengan memuntahkan pelbagai fakta palsu dan pembunuhan karakter para pemimpin UMNO telah dilangsungkan secara agresif dan berterusan.

Pelbagai tuduhan terhadap UMNO yang dijalankan oleh pembangkang sejak UMNO memerintah gagal mempengaruhi persepsi rakyat. Tetapi sejak kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah terhakis, tuduhan yang sama selama ini begitu sukar diserap oleh rakyat, sudah bertukar secara drastik. 

Apa saja tuduhan, tempelan dan keburukan yang dilemparkan terhadap UMNO dan para pemimpinnya samada benar atau salah, samada tuduhan kecil atau pun besar begitu mudah diterima dan dianggap oleh rakyat sebagai benar belaka. 

Kebencian dan sangkaan buruk sebahagian rakyat terhadap UMNO tidak berpadanan langsung dan dalam kes-kes tertentu ia sangat keterlaluan dengan apa yang sebenarnya berlaku. Mereka menghukum UMNO bersandarkan "hear say". Dengan menggunakan bukti palsu yang didedahkan pun sudah cukup untuk mereka percaya dan yakin bahawa UMNO dan pemimpinnya bersalah dan wajar dihukum serta dinyahkan dari Putrajaya.

Dengan menggunakan pelbagai slogan negatif saja sudah cukup untuk mereka mencacatkan UMNO pada pandangan rakyat. Mereka guna slogan "ubah", maka rakyat yang telah dipengaruhi peesepsi mereka terus ikut "ini kali lah". Apa yang mahu diubah pun mereka tidak jelas. Yang mereka tahu hanya mahu ubah kerajaan atas faktor kebencian yang lahir dari hasutan, fakta palsu dan pembohongan.

Penyakit "Persepsi" negatif inilah yang gagal diatasi oleh kepimpinan UMNO dan kerajaan. UMNO dan kerajaan gagal menguasai dan memperbetulkan semula persepsi salah yang sudah terbentuk di dalam benak sebahagian besar rakyat. Itu sebab walaupun perancangan kerajaan melalui pelbagai bentuk transformasi yang jelas lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh pembangkang pun rakyat masih kurang percaya.

Penilaian rakyat sudah tersasar dari penilaian secara adil, pertimbangan yang rasional dan realistik. Semua ini berpunca dari persepsi kurang kepercayaan dan keyakinan yang gagal diperbetulkan setelah terhakis di zaman kepimpinan Pak Lah.

Pendekatan yang dibawa oleh DS Najib belum benar-benar terbukti mampu menahan hakisan kepercayaan dan keyakinan ini. Bukti hanya akan diketahui pada malam Isnin ini. Jika BN menang 2/3 bermakna kepercayaan rakyat sudah benar-benar pulih. Jika kekal status quo, bermakna kepercayaan rakyat masih berada di tahap kepimpinan Pak Lah. Jika keputusan di bawah garis status wuo, bermakna kepercayaan rakyat semakin menurun.

Semoga Allah selamatkan negara dan rakyat.

3 comments:

  1. UMNO cuba nak ubah "persepsi"negatif masyarakat umum terhadap UMNO tapi bila sampai bab pilih Calon utk PRU-13, Calon yg dipilih adalah utk Pemilihan UMNO Bhgn dan MKT tak lama lagi dan menjaga Warlord2 tertentu..Bukan Calon utk Menang Pilihanraya..Hancuss lah Bro! ini macam.Majoriti 2/3 belom pasti tapi majoriti mudah dalam tangan..Silap2 jangkaan buleh tumbang, nampak gaya nya majoriti pengundi2 Cina dah swing 360 darjah..Undi Melayu plak dah pecah 3..Menang sorak, kampung tergadai lah jawabnya.

    ReplyDelete
  2. Malaysia hanya perlukan 1 doa yang mustajab yang sampai kepada yang sebenar-benarnya berkuasa untuk bersetuju utk memakbulkan doa agar Tanah Melayu yg keramat ini kekal didalam rahmatnya. Tak banyak manapun, hanya satu !

    ReplyDelete
  3. Syabas satu kupasan yg baik! Rakyat harus tahu dan faham masalah pengaruh ' persepsi ' ini, tapi bagaimana caranya sebab apa yg dikatakan tadi pemimpin UMNO hari ini, lemah dan gagal dalam usaha menukar persepsi negatif yg ditanam dalam benak fikiran rakyat semasa era Pak Lah..?

    ReplyDelete