Assalamualaikum, salam sejahtera pembaca sekelian,
Selamat mengunjungi "Blog Kepal Nasi, Kepal Beras". Walaupun agak janggal bunyinya, namun bagi saya ada mesej tersendiri untuk seluruh pemimpin dan rakyat memikirkannya.
Blog ini akan lebih berkisar kepada perbincangan ke arah - mencari suatu titik pertemuan dalam mempersatukan rakyat - untuk ketuanan rakyat di dalam jurang kemajmukan dan kepelbagaian bangsa, budaya dan kepercayaan.
Perkataan 'bangsa', 'kaum' atau 'etnik' mutakhir ini menjadi perkataan yang amat sensitif untuk diperbahaskan. Takut nanti digelar ekstrimis kaum atau ketinggalan zaman atau tidak berpijak di bumi nyata. Rakyat yang 'non-partisan' mungkin berbeza tahap sensitivitinya berbanding dengan rakyat 'partisan'. Rakyat partisan pula bergantung kepada idealisma dan agenda parti masing-masing. Tahap sensitif golongan partisan agak 'fluctuate' sensitivitinya, bergantung kepada kesesuaian dan sentimen yang wujud atau yang diwujudkan di kalangan rakyat.
Di dalam sistem demokrasi siapa yang kehadapan atau berjaya menguasai sentimen rakyat terbanyak sudah tentu akan menjadi pemerintah. Itulah hakikat demokrasi. Bagi parti-parti politik, kadang-kadang demokrasi menguntungkan dan kadang-kadang merugikan.
Persoalan yang ingin saya lontarkan, di manakah sempadan yang boleh kita gariskan agar pilihan secara demokratik itu akan hanya benar-benar dijayakan di atas maksud untuk mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara? Bagaimana untuk kita pastikan setiap parti politik bergerak di dalam 'pendulum' kepentingan rakyat dan negara tanpa perlu memasuki 'kawasan larangan'?
Macam-macam ada di dalam 'kawasan larangan' ini. Ada sentimen perkauman, ada hak kebebasan bersuara sebiji macam orang putih, ada sentimen agama, eksrimisma, chauvanist dan macam-macam lagi ada. Semua senjata ini memang mudah menambat hati dan meraih sokongan rakyat. Sejauh mana pemimpin-pemimpin parti politik mampu menahan diri dari memasuki 'kawasan larangan' ini dalam usaha memenangi hati rakyat? Lazimnya, 'curiosity' manusia akan sukar dikawal terutamanya terhadap 'kawasan larangan'. Itulah yang paling disukai.
Semua parti sahsiah sudah pasti berusaha meyakinkan rakyat bahawa parti dan perjuangan merekalah yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Perjuangan merekalah yang paling relevan. Visi merekalah yang paling menepati selera rakyat terbanyak, pembela golongan miskin dan tertindas, pembela semua kaum samada di bandar mahupun di desa, nelayan dan juga petani.
Semua pemimpin parti ibarat 'Pengepal'..yang membezakan, hanyalah samada mereka akan menjadi 'Pengepal Nasi' atau 'Pengepal Beras'! Kalau Pengepal Nasi untunglah rakyat dan negara. Tapi kalau terpilih Pengepal Beras, pasti akan berserakan, walau bagaimana baik sekali pun cara mereka mengepal.
Kelihatan, semuanya berjuang untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Dasar dan perlaksanaan yang di bawa mereka akan beri kesan dan natijah yang berlainan.Mungkin baik, mungkin tidak. Harap-harap kita sebagai rakyatlah yang boleh mengenal pasti siapa si pengepal nasi dan siapa si pengepal beras.
Saya akan membawa lagi perbincangan ini pada posting seterusnya..marilah sama-sama kita fikirkan dan bincangkan. Salam.
No comments:
Post a Comment