Friday, April 25, 2008

AMANAH, IKHLAS, JUJUR VS SOMBONG,RIAK, TAKABBUR

Assalamualaikum w.m.t


Pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Memimpin segala yang berada di bawah jajahan takluknya, sudah pasti ada tanggungjawab dan pertanggungjawaban. Amanah, ikhlas dan jujur adalah asas wajib paling penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin. Jika asas wajib ini tidak ada, kebijaksanaan, budaya kepemimpinan dan kuasa yang ada pada pemimpin tersebut sudah pasti akan terdedah kepada gejala dan budaya negatif.


Jika sifat amanah, ikhlas dan jujur sudah tidak ada di dalam diri, tempat itu tidak akan terbiar kosong. Musuh kepada sifat-sifat terpuji, iaitu sifat sombong, riak dan takabbur akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Ibarat macam main jungkang jungkit. Kalau amanah, ikhlas dan jujur lebih berat, maka terjungkitlah sombong, riak dan takabbur. Begitulah sebaliknya.


Apabila sifat sombong, riak dan takabbur beraja di hati, maka pakaian pemimpin juga akan turut bertukar wajah. Refleksi dari sifat sombong, riak dan takabbur ini akan menzahirkan sifat fitnah, bohong dan dusta yang akan mewarnai pakaian hidup pemimpin dan kepemimpinan. Prinsip-prinsip adab dan tertib, etika dan budaya di dalam melaksanakan sesuatu dasar akan berjalan dengan diiringi oleh sifat fitnah, bohong dan dusta sebagai pemandu tidak berlesen.


Kebijaksanaan, budaya kepemimpinan dan kuasa yang ada pada pemimpin tersebut akan turut diheret oleh pemandu tidak berlesen ini ke mana sahaja destinasi yang ingin ditujui. Penyelewengan, rasuah, kronisma, nepotisma terus berlaku dengan jayanya kerana adanya bantuan dari fungsi kebijaksanaan, budaya kepimpinan dan kuasa yang ada kepada pemimpin dan pelaksana yang mentadbir sesuatu dasar.


Kebijaksanaan akan dimanipulasi untuk pemimpin tersebut melakukan pembohongan. Budaya kepemimpinan akan diresapi oleh unsur-unsur fitnah, manakala kuasa yang dimiliki akan dimanipulasi untuk melakukan pendustaan.

Apabila fitnah, bohong dan dusta telah menjadi 'breakfirst' pemimpin, lama kelamaan ia tidak akan merasa bersalah lagi, malahan akan dianggap sebagai satu keperluan. Ada yang berijtihad dan menganggapnya sebagai kaedah dan hemah perjuangan demi menjayakan kelancaran agenda parti atau kerajaan.


Wahai pemimpin harapan rakyat, sekarang lihatlah jauh-jauh ke dalam diri anda apakah perkara ini pernah dan sedang anda lakukan. Jika jawapannya ya,..pandai-pandailah membawa diri. Kadang-kadang bila selalu terlepas dari 'aib', ada yang menganggap tuhan sayang dan masih melindunginya. Kadang-kadang apabila 'teraib' dek perbuatan sendiri dan tersungkur dari singgahsana kuasa, ada juga menganggap tuhan masih sayang dan melindunginya dari terus-terusan melakukan pembohongan, fitnah dan dusta. Terpulanglah kepada empunya diri untuk mentafsir.



Tulisan ini ditujukan kepada pemimpin parti siasah dan juga pemerintah. Kalau dulu hanya BN yang menjadi pemerintah tapi kini semua parti siasah di negara ini telah berstatus pemerintah kerana sebahagiannya telah pun mentadbir negeri-negeri. Maka, kali ini tiada yang terkecuali dari memerhati dan diperhatikan di antara satu sama lain.

Jumpa lagi. Sekian.

No comments:

Post a Comment