Konsep dan falsafah pembentukan negara Malaysia yang terbentuk pada hari ini, terhasil dari perkembangan tamadun bangsa dan rakyat yang menghuni negara ini sejak turun temurun.
Pemimpin pelbagai kaum memainkan peranan cukup besar di dalam proses pembinaan negara bangsa yang bernama Malaysia. Kompleksiti dari segi kepelbagaian kaum, budaya, adat resam dan kepercayaan yang berbeza adalah faktor penting yang membezakan negara Malaysia dengan lain-lain negara.
Di Indonesia, walau pun wujud kepelbagaian etnik tetapi masih di dalam lingkungan rumpun melayu dan kaum cina tidaklah sebesar mana pun bilangannya.
Di Malaysia kepelbagaian rumpun melayu tetap wujud, tetapi tidak ketara perbezaan budaya dan kepercayaannya. Rata-rata sudah difahami dan dimaktubkan dalam perlembagaan bahawa melayu itu islam dan islam itu melayu.
Kaum pribumi di New Zealand dan di Amerika sudah menjadi minoriti, manakala kaum melayu di Malaysia merupakan kaum majoriti. Maka kes ini tidak boleh dibuat perbandingan samada dari segi peruntukan kuasa mahupun keistimewaannya.
Kaum cina dan India telah ‘didatangkan’ ke ‘archipalego’ melayu, dan tidak boleh disamakan dengan sifat kepelbagaian kaum dan kabilah yang menduduki tanah arab suatu ketika dulu. Kaum dan kabilah yang ada di tanah arab sama-sama menjadi pribumi di tanahairnya, dan bukan ‘didatangkan’ seperti keadaan yang berlaku di archipalego melayu raya.
Kaum Pakistan, India dan Bangladesh yang bermastautin di United Kingdom tidak sama cara kedatangannya dengan kaum cina dan India ke negara ini. Mereka menjadi penduduk tetap setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh negara tersebut.
Kaum cina dan India di Malaysia pula dianugerahkan taraf penduduk tetap atau warganegara bukan kerana mereka memohon, tetapi secara ‘en-block’ kerana penjajah British menjadikannya sebagai sebahagian dari syarat untuk membolehkan negara ini diberi kemerdekaan.
Perbandingan dua peristiwa ini amat berbeza fakta dan realitinya. Maka sebarang perbandingan dari segi status, hak-hak kesamarataan, hak-hak istimewa dan segala peruntukan dan perlindungan yang diberi oleh perlembagaan terhadap kaum dan rakyat di negara ini tidak boleh disama atau dibayangkan sama dengan kes-kes kaum mendatang seperti di UK.
Keistimewaan yang diperolehi oleh kaum cina dan India yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah satu kes yang ‘unprecedented’. Tidak ada sampel terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan. Itulah ‘hak keistimewaan’ yang telah dilindungi oleh perlembagaan negara kepada kaum cina dan India di Malaysia. Ia tidak boleh disentuh dan dipertikaikan lagi walau mengalir air mata darah sekali pun. Hak keistimewaan ini hanya diperolehi oleh kaum yang didatangkan ke Tanah Melayu yang lahir di negara ini sebelum tarikh kemerdekaan. Hak keistimewaan ini tidak akan diperolehi di mana-mana pun di seluruh pelusuk dunia ini.
PERSOALAN TIMBUL! Kenapa perkara ini boleh terjadi? Tidak lain dan tidak bukan, kerana wujudnya ciri-ciri dan budaya tolarensi yang amat tinggi dari penduduk pribuminya. Pengorbanan dari segi tolarensi penduduk pribumi ini juga merupakan ‘unprecedented case’. Tidak pernah berlaku dalam sejarah tamadun dunia suatu bentuk budaya tolarensi seperti mana yang telah dibuktikan oleh orang melayu. Mereka sanggup menyerahkan sebahagian dari hak mereka kepada orang lain demi untuk membina sebuah negara yang aman, bebas dan merdeka.
Kalau ada pun ‘precedented case’ adalah peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya ke Madinah, di mana penduduk Madinah telah memberi sebahagian dari kehidupan dan hak mereka kepada kaum muhajirin yang berhijrah dari Mekah. Itulah ketinggian nilai hidup dan budaya yang telah dibuktikan oleh orang melayu yang sanggup melakukan pengorbanan setaraf dengan pengorbanan kaum Ansar Madinah.
Mungkin inilah amalan murni tertinggi orang melayu yang dipandang Allah swt sehingga negara kita hari ini sentiasa dilindungi dari malapetaka dan kemusnahan sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara.
Maka, sebagai satu nasihat, seruan, peringatan dan amaran untuk semua PEMIMPIN KAUM yang telah berkongsi kehidupan di negara ini… fahamilah fakta dan realiti sejarah yang telah mengevolusikan kehidupan kita hingga ke tahap yang ada pada hari ini. Jangan cuba lari dari fakta hanya disebabkan sejarah dan realiti yang telah termaktub itu tidak memberi kelebihan kepada anda ke arah proses untuk menguasai pemerintahan negara ini.
Perlembagaan yang telah digubal bukan sahaja melindungi hak keistimewaan orang melayu, bahkan telah melindungi hak keistimewaan semua kaum termasuk kaum cina dan India.
Orang melayu tidak pernah menyesal dengan apa yang telah mereka korbankan. Orang melayu juga mengakui hakikat kelebihan kaum lain dalam bidang-bidang tertentu. Orang melayu juga mengakui hakikat tidak harus wujud peminggiran dan diskriminasi kaum di dalam sebuah negara yang demokratik dan bebas. Orang melayu juga terlebih-lebih faham bahawa kaum cina dan India juga adalah sebahagian dari warganegara Malaysia.
Orang melayu memang kaum yang amat memahami dan paling bertolarensi. Orang melayu telah buktikannya dari dulu lagi. Orang melayu juga ingin lihat kaum lain bersedia untuk berkorban dan bertolarensi seperti mereka demi membina sebuah negara yang berjaya.
Apa yang orang melayu lakukan hari ini, hanyalah mempertahankan baki hak keistimewaan yang masih ada, kerana keistimewaan selebihnya telah pun diserah dan sebahagian lagi telah dikongsi bersama dengan kaum lain.
Orang melayu 'melakukan pengorbanan' ke atas sebahagian hak-hak mereka agar dapat dikongsi bersama dengan adil dan seimbang dalam pembinaan sebuah negara. Pemimpin kaum cina dan India 'melakukan tuntutan’ agar kekayaan dan segala hak-hak yang ada sebagai rakyat diberi secara adil dan samarata. ‘Melakukan pengorbanan’ dan ‘melakukan tuntutan’ dalam membina negara adalah 2 perjuangan yang sama sekali berbeza mauduknya.
Pertembungan ini adalah pertembungan di antara 2 budaya. Budaya melayu yang nasional sifatnya tetapi telah ditafsir sebagai perkauman, dengan budaya yang digambarkan sebagai nasional tetapi perkauman sifatnya…!
'Melakukan pengorbanan' bermakna perkara itu telah benar-benar berlaku dan yang dikorbankan itu telah terlepas dari tangan. 'Melakukan tuntutan' pula bermakna keinginan kepada sesuatu perkara yang belum tercapai atau sudah tercapai tetapi masih belum berpuas hati. Apa akan terjadi kepada baki hak dan keistimewaan orang melayu jika golongan yang 'melakukan tuntutan' terus berkeinginan kepada baki hak-hak tersebut? Apakah orang melayu boleh melakukannya lagi?
Ada yang berkorban demi negara dan rakyat, ada juga yang menggunakan slogan demi negara dan rakyat tetapi sebenarnya untuk kelompok dan kaum. Janganlah berbohong.
Salam.
No comments:
Post a Comment