Tuesday, May 13, 2008

PAKAR ISTILAH + PAKAR PERANG PSIKO

Penggunaan istilah ‘ketuanan melayu’ mungkin mendapat anugerah platinum bagi bulan April dan Mei, kalau diadakan pertandingan istilah popular bulanan. Mana tidaknya, istilah ini bukan sahaja menarik minat orang melayu, bahkan menjadi sebutan seluruh rakyat, samada yang faham, yang tak faham, yang buat-buat faham dan tidak kurang juga oleh golongan yang sengaja tidak mahu faham.

Istilah yang telah lebih 60 tahun diguna pakai, seolah-olah seperti baru diperkenalkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Istilah ketuanan rakyat pula sedang berusaha keras untuk mengatasi populariti istilah ketuanan melayu.

Pertandingan istilah popular ini sebenarnya telah bermula sejak awal 80an lagi, dan semakin memuncak selepas 1998 hinggalah mutakhir ini. Sejak pertandingan bermula, pelbagai istilah telah dipertandingkan. Antara yang paling popular i.e. gawat, luwes, mapan, perrroobahaan, seantero dan banyak lagi. Tahun 90an kita diperkenalkan dengan istilah melayu baru, ketelusan (transparency), pertanggungjawaban (accountability), persamaan (equality), hak asasi manusia (human right), kebebasan bersuara (freedom of speech), relevan, ‘absolete’ dan banyak lagi yang tidak larat untuk disebut.

Kadang-kadang saya berfikir sendiri, “Mudah sangat minda rakyat ‘terkesan’. Hanya dengan mempolimik penggunaan istilah-istilah yang ada nilai ‘intrinsik’ sudah memadai untuk menawan minda rakyat. Kalau begitu gamaknya, lebih baik kita beri tumpuan khusus untuk memikir dan mencari lagi istilah-istilah memukau yang boleh dijadikan modal untuk disajikan kepada rakyat.”

Pakar istilah ini juga mahir selok-belok perang psikologi. Dengan kombinasi ke dua-dua kemahiran ini, banyak kejayaan dalam mempengaruhi minda rakyat telah dihasilkan. Kombinasi ini seolah-olah jadi macam ‘ilmu pukau’. Istilah-istilah ini dengan mudah jadi siulan rakyat jelata. ‘Waduhhh ...! gampang sekali cara memikat rakyat! Pengertian sebenar disebalik semua istilah ini tidak penting untuk dijelaskan.

Ketuanan melayu yang telah berpuluh tahun diterima dan dimaktubkan dalam perlembagaan pun akhirnya menjadi mangsa pertikaian, akibat dari kebolehan luar biasa pakar perang psikologi dan pakar manipulasi istilah yang berjaya meletakkan keraguan dan persepsi negatif istilah itu dipandangan rakyat.

Tanpa perlu mengkaji pengertian sebenar apa yang dimaksudkan di sebalik segala istilah yang ada unsur ‘pukau’ ini, minda rakyat berjaya dikawal dan diheret untuk menerima definasi istilah mengikut kaca mata mereka.

Kajian kes : Dulu rakyat mengakui dan menerima institusi kehakiman sebagai rujukan untuk menghakimi satu-satu pendakwaan. Apabila hakim menjatuh hukum maka rakyat tanpa ragu akan akur dengan keputusan kehakiman. Tidak perlu suruhanjaya itu dan ini kerana rakyat akur dengan kredibiliti institusi tersebut. Penubuhan pelbagai suruhanjaya seperti cendawan tumbuh adalah petanda besar bahawa persepsi negatif dan prejudis telah membiak subur di dalam minda rakyat. Rakyat dan institusi rakyat saling berprasangka antara satu sama lain.

Pihak penjajah minda dan pakar-pakar perang psikologi berpendapat sesuatu harus dilakukan bagi meletakkan suatu persepsi negatif dalam pemikiran dan minda rakyat terhadap sistem kehakiman negara. Kalau semua institusi rakyat ini dilihat masih mempunyai kredibiliti, maka usaha-usaha untuk menarik sokongan rakyat ke arah perjuangan mereka akan terus mengalami kegagalan.

Penjajah minda dan pakar perang psikologi pun memerah otak bagaimana minda rakyat boleh dimasukkan unsur ‘persepsi menolak’ terhadap kredibiliti institusi rakyat ini.

Tentu rakyat masih ingat 10 tahun dahulu, surat-surat bertaburan di masjid-masjid dan di petisurat-petisurat di setiap rumah, pengakuan Pegawai Tinggi Bukit Aman yang tidak bernama membuat pengakuan berbunyi “saya telah diarah oleh Dr.Mahathir untuk mencucuk DS Anwar Ibrahim dengan virus HIV. Saya tidak berdaya untuk mengelak kerana arahan ini datang dari se orang Perdana Menteri”.

Tujuan surat ini disebar, jelas untuk memberi gambaran betapa zalim dan takutnya Dr Mahathir kepada DS Anwar. Tidak cukup dengan tuduhan dan pemecatan yang penuh konspirasi. DS Anwar perlu dihapuskan dengan apa cara sekali pun. Itulah gambaran buruk yang cuba digambarkan di dalam minda rakyat oleh penjajah minda dan pakar perang psikologi terhadap institusi pemerintah. Harapan mereka agar rakyat akan bersimpati kepada pihak yang dianiaya dan benci kepada si penzalim yang mahazalim.

Serangan minda ini amat berjaya dan akhirnya dapat menghilangkan sifat rasional, sabar dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan dan kehakiman. Mauduknya hanya satu, iaitu agar rakyat akan menolak apa sahaja fakta-fakta yang bakal diperdengarkan di mahkamah. Semua itu fitnah, rekaan dan konspirasi. Apabila minda rakyat telah menolak, maka apa sahaja yang bakal diputuskan di mahkamah adalah bohong dan hakim pun turut berkonspirasi untuk menjatuhkan DS Anwar. Itulah yang cuba digambarkan.

Kesimpulan yang boleh dirumuskan dari pertandingan istilah ini adalah suatu agenda pihak penjajah (bukan penjajah barat) untuk menjajah minda rakyat dengan kaedah peperangan psikologi. Apabila minda rakyat telah berjaya dipengaruhi, maka pemikiran rasional dan berpandu kepada kebenaran dan fakta tidak akan menjadi pertimbangan rakyat lagi di dalam menilai segala isu dan permasalahan.

Apabila mentaliti menolak berjaya ditimbulkan dalam minda rakyat maka mudahlah mereka mempengaruhi rakyat menerima agenda mereka. Mudahlah mereka melakukan “character assassination” terhadap pemimpin-pemimpin lawan. Apa sahaja yang dilakukan oleh pihak lawan mesti ada unsur rasuah, mesti ada komisyen, campurtangan pemimpin, campurtangan menteri dan macam-macam lagi. Rakyat akan lebih nampak dan yakin dengan cerita ‘black market’ yang tersorok dari perkara atau fakta yang didedahkan oleh kerajaan. Majoriti rakyat menjadi ‘wali dan kasyaf’ kerana mempunyai kelebihan mengetahui perkara-perkara ghaib dan sulit dan menafikan segala penjelasan pihak lawan..itu semua bohong, fitnah dan dusta.

Begitulah hebatnya si penjajah minda tersohor se antero dunia. Survival politiknya hanya bermodalkan kreativiti mencipta dan memanipulasi istilah. Kerjanya menjadi lebih mudah kerana rakyat mudah terpukau dengan perkara-perkara luaran yang memikat dan menarik. Apatah lagi apabila keyakinan rakyat terhadap pemerintah telah berjaya dirobek akibat dek kelemahan karekter dan kepemimpinan.

Salam.

No comments:

Post a Comment