Thursday, May 15, 2008

KETUANAN MELAYU : PERLEMBAGAAN 1948 VS PERLEMBAGAAN 1957

Perlembagaan 1948 adalah perlembagaan yang digubal selepas hapusnya Malayan Union dan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu. Perlembagaan ini diperkukuhkan lagi (extention) apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Mungkin sebahagian besar dari golongan muda terlupa atau terlepas pandang mengenai perkara ini. Soal ketuanan melayu seperti hak-hak istimewa dalam soal bahasa, budaya, agama dan kedudukan raja-raja melayu atau apa juga yang baerkaitan telah dimaktubkan sewaktu pembentukan Persekutuan Tanah Melayu lagi.

Jika kita imbas kembali kronologi sehingga terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu, yang berjuang bermati-matian menentang pembentukan Malayan Union adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Tun Tan Cheng Lock sendiri ketika itu lebih mirip kepada penubuhan ‘Republic of Malaya’. MCA dan MIC hanya bergabung di bawah Perikatan selepas UMNO dipimpin oleh Almarhum Tunku Abd Rahman untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Dato Onn Jaafarlah orang yang memainkan peranan cukup penting di dalam memastikan kepentingan bangsa melayu dan kedudukan raja-raja melayu dilindungi melalui perlembagaan. UMNO di bawah pimpinan Dato Onnlah yang merundingkan segala hal yang berkaitan dengan ketuanan melayu sehingga British akhirnya akur dengan desakan agar segala fasa yang menyentuh soal ketuanan melayu dimasukkan ke dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dari fakta ini, jelas sekali soal meletakkan perlindungan melalui perlembagaan ke atas perkara yang berhubung kait dengan ketuanan melayu tidak kena mengena dengan balasan memberikan hak kewarganegaraan kepada kaum cina dan India. Perundingan untuk memberi hak kewarganegaraan kepada kaum cina dan India dengan pihak British hanya termeterai sewaktu zaman kepimpinan Almarhum Tunku Abd Rahman dan rakan-rakan parti Perikatan iaitu MCA dan MIC. Hak kewarganegaraan yang diberi secara ‘enblock’ kepada kaum cina dan India hanya dimasukkan di dalam perlembagaan yang digubal sebelum merdeka..

Perlembagaan yang digubal sebelum merdeka itu merupakan kesinambungan kepada perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Generasi muda kini seharusnya faham bahawa struktur pembinaan negara yang terbina melalui konsep kepelbagaian kaum adalah hasil dari apa yang telah dimeterai oleh dato nenek kepada semua kaum yang ada di Malaysia hari ini. Merekalah yang telah bersetuju, dan merekalah yang telah berusaha hingga termaktubnya perkara tersebut di dalam perlembagaan.

Kesediaan memaktubkannya di dalam perlembagaan bermakna dato nenek kepada semua kaum telah bersetuju secara kekal bahawa 'persefahaman' di antara kaum telah dicapai. Maka, tidak siapa pun dikalangan cucu cicit yang boleh mempertikaian di atas apa yang telah dipersetujui oleh dato nenek seluruh kaum yang ada di Malaysia hari ini.


KESAMARATAAN DAN KEADILAN?

Kita pada hari ini adalah generasi pewaris ke atas apa yang telah mereka tinggalkan. Pertanyaan yang harus kita fikirkan, “adakah dato nenek kita dulu telah melakukan satu kesalahan besar dalam merekabentuk struktur bina bangsa yang sebegini rupa?

Kalau majoriti rakyat hari ini merasakan apa yang telah mereka tinggalkan itu satu kesilapan, bermakna dato nenek kepada semua kaum yang merekabentuk struktur negara ini secara bersama telah berdosa besar kepada cucu cicit mereka..!

Apakah rekabentuk yang mereka inginkan? Apakah rekabentuk yang diinginkan ini telah dirancang bersungguh-sungguh seperti dato nenek kita memikir, merancang dan memperjuangkannya?

Apa yang pasti, kita telah merasai kebaikan dari apa yang telah ditinggalkan. Sistem pendidikan yang ada walau pun masih wujud kelemahan di sana sini, telah berjaya melahirkan generasi berpendidikan yang seimbang di antara kaum. Kalau di awal kemerdekaan dulu jurang pendidikan antara kaum dan antara bandar dan luar bandar begitu ketara, tetapi hari ini sudah wujud persamaan (equality). Tenaga professional yang terhad kepada golongan dan kaum tertentu telah terhapus, di mana keluarga miskin di luar bandar dan di estate-estate telah melahirkan bijak pandai dari pelbagai profesion.

Program pembesaran kek ekonomi negara telah menampakkan keseimbangan pemilikan antara kaum yang selama ini hanya dimonopoli oleh kaum cina. Kaum melayu yang telah berkurun ‘dimarginalised’ oleh penjajah dalam sektor ekonomi telah meningkat pemilikannya walau pun belum mencapai sasaran sebenar. Kaum India yang dimarginalised oleh penjajah di estate-estate turut mendapat pembahagian kek tersebut tanpa sedikit pun mengurangkan kek ekonomi kaum cina. Konsep kesamarataan dan keadilan ini telah diperjuangkan dan dijadikan agenda penting oleh kerajaan sejak lebih 30 tahun dulu.

Program pembangunan dan perbandaran daerah-daerah yang terpinggir telah berjaya mengintegrasi kepelbagaian rupa dan warna kulit penduduk di satu-satu tempat. Struktur penduduk yang selama ini diasingkan oleh penjajah mengikut kaum dan etnik telah diperbetulkan. Persepsi kaum India mendominasi estate-estate, kaum melayu di pendalaman dan kaum cina di bandar-bandar telah tidak relevan lagi.

Terbukti, walau pun tidak pakar dalam menjuarai istilah-istilah memukau, pemimpin-peminpin kebangsaan (bukan pemimpin bangsa) telah mengamalkan dasar kesamarataan dan keadilan sosial untuk seluruh rakyat tanpa peminggiran.

Ada orang berilmu dan beramal dengannya. Ada orang berilmu tapi tidak melakukan apa-apa. Ada orang tidak berilmu yang beramal tapi tanpa panduan dan sembrono saja. Ada pula orang berilmu tapi mereka menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada untuk menambah lagi kekeliruan di kalangan umat atau masyarakatnya. Dalam Islam hanya golongan pertama sahaja yang selamat. Selain dari itu terutamanya golongan ke 4, adalah peserta pertama yang lebih pasti akan dihumban ke dalam neraka jahanam.

Salam…

No comments:

Post a Comment