Sebelum dunia ini kiamat Allah SWT telah beri beberapa isyarat dan tanda agar setiap hambanya sedar dan insaf. Mula-mula diberi tanda-tanda awal. Selepas berakhirnya tanda-tanda awal akan muncul pula tanda-tanda akhir menandakan dunia sudah hampir ke penghujung. Jika pelbagai tanda besar telah ditunjukkan satu per satu, tapi manusia masih alpa dan lalai maka sudah pasti sesuatu yang buruk akan berlaku pada hari pengadilan.
Tanda-tanda kecil berlakunya kemerosotan nilai perjuangan UMNO telah lama berlaku. Krisis dalaman, isu moral dan rasuah, kehilangan daya juang dan jatidiri ahli dan pemimpin adalah di antara tanda-tanda awal bahawa nilai perjuangan parti sebagai payung bangsa dan rakyat telah beransur-ansur terhakis.
Tanda-tanda ini hanya disedari atau dibimbangi oleh ahli UMNO yang benar-benar ikhlas dan jujur terhadap perjuangan. Bagi yang tiada unsur keikhlasan dan kejujuran, tanda-tanda awal kemerosotan nilai perjuangan ini tidak akan memberi bekas kepada mereka.
Apabila berlaku tanda-tanda besar kemerosotan nilai perjuangan dan sokongan kepada parti, mungkin sebahagian ahli yang masih ada sisa-sisa keikhlasan dan kejujuran akan terjaga dari lena dan buaian mimpi. Sebahagian pemimpin dan ahli pula akan terus lena atau menafikan segala kelemahan yang berlaku.
Sewaktu hampir kiamat nanti pun akan berlaku ‘sindrom penafian’ di kalangan sebahagian orang-orang yang tidak beriman dan engkar. Mereka akan memberi pelbagai sebab untuk menafikan ‘ini bukan tanda kiamat, ini adalah kejadian alam yang berlaku setiap satu dekad’. Atau mereka akan memberi sebab ‘suhu di kutub Utara yang semakin panas telah menyebabkan banjir besar berlaku’ dan macam-macam alasan lagi akan diberikan.
Prestasi terburuk UMNO dan BN dalam PRU12 adalah tanda besar bahawa UMNO dan BN sedang berada di ambang bahaya kehilangan kuasa. Jika tanda-tanda besar yang berlaku ini masih tidak menyedarkan pemimpin-pemimpin dan ahli umno, bahaya lebih besar pasti akan menunggu kedatangan UMNO dan BN dalam PRU13 nanti. Para hakim di mahkamah rakyat itu nanti akan memutuskan samada UMNO dan BN masih layak diberi mandat atau pun tidak.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab kepada ahli dan pemimpin yang telah terjaga dari lena berserta dengan golongan yang ikhlas dan jujur terhadap perjuangan dan survival parti untuk berusaha menyedarkan ahli dan pemimpin yang masih leka, lalai dan masih dalam peringkat sindrom penafian.
Pilihan di tangan ahli dan pemimpin, samada untuk berada dikalangan orang yang insaf, ikhlas dan jujur terhadap survival parti atau memilih untuk tergolong di kalangan orang-orang yang lena dan bermentaliti penafian.
Pemimpin dan ahli UMNO harus membuktikan kesungguhan untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada parti. Sifat bertangguh dalam mengerjakan kebaikan hanya akan mendedahkan kita kepada lebih banyak keburukan.
Kesungguhan dalam ertikata kesanggupan untuk kembali kepada semangat perlembagaan dan perjuangan sebenar sepertimana kembalinya ummah berpegang kepada kitab suci dan sunnah nabi apabila berlakunya sesuatu kekeliruan dan perselisihan sesama jemaah.
Kesanggupan untuk kembali kepada landasan sebenar perjuangan adalah bukti sebuah pengorbanan. Manakala suatu pengorbanan adalah bukti sebuah pertanggungjawaban.
Pertanggungjawaban pula merupakan amanah yang wajib dan tergalas dipundak setiap yang bernama pemimpin.
Amanah pula merupakan cetusan dari keikhlasan dan kejujuran. Manakala keikhlasan dan kejujuran sebuah perjuangan itu akan hanya menerbitkan kejayaan apabila perjuangan itu dijayakan mengikut adap dan tertib yang benar.
Adap dan tertib yang benar tidak akan mencapai kebenaran sebenar jika kita mengambil adab dan tertib selain dari yang digariskan dalam perlembagaan atau kitab.
Maka, di atas maksud untuk memberi keadilan dan kepuasan terhadap semua pihak yang bertelagah tentang bagaimana cara terbaik untuk parti kembali kuat dan mendapat kepercayaan rakyat, proses memberi semula mandat kepada ahli sepertimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan harus menjadi titik tolak kepada pemulihan sebenar kekuatan parti.
Walau bagaimana pun, hanya keyakinan berserta keberanian dan kesabaran dalam melakukan pengorbanan ke arah perubahan sahaja, dilihat sebagai ‘antibiotik’ paling berkesan untuk membendung dan merawat penyakit kronik yang sedang melanda kepemimpinan, pemimpin dan ahli parti dari terus menjadi kanser yang membawa maut.
Rakyat sebagai hakim di hari pengadilan pada PRU 13 tidak akan menghukum UMNO dan BN secara membuta tuli, sekiranya UMNO dan BN dapat mengemukakan hujah berserta bukti yang melampaui keraguan menasabah bahawa mereka telah memperbetulkan segala perkara yang menjadi penyebab kepada penolakan rakyat terhadap mereka.
Selamat melakukannya..
No comments:
Post a Comment