Monday, May 5, 2008

Kongres Permuafakatan Melayu: Realiti vs sentimen

Tuntutan mempertahankan kedudukan melayu dari aspek perlembagaan, politik, ekonomi,agama, bahasa,pendidikan dan budaya menjadi mauduk utama dalam kongres permuafakatan yang baru berlangsung.

Segala resolusi yang digagaskan bukanlah perkara baru. Bagi saya kongres ini hanya satu ‘revisit”. Itulah juga di antara resolusi yang telah digagaskan setiap kali Kongres Melayu diadakan sejak tahun 1946 lagi. Soal-soal yang berkaitan dengan kontrak sosial sewaktu penggubalan perlembagaan, persoalan berkaitan dengan ketuanan melayu dan kuasa raja-raja melayu, soal ekonomi, politik, bahasa, budaya dan agama adalah perkara pokok yang telah lama digariskan setiap kali orang melayu berkongres.

Yang berbeza hari ini hanya tahap pengetahuan dan kesedaran tentang perkara-perkara yang berkisar kepada kepada kepentingan dan survival melayu, juga kepentingannya kepada perpaduan nasional. Kefahaman kepada generasi baru dan pemimpin yang diamanahkan untuk memimpin generasi baru, sebenarnya yang semakin kabur. Kalau pemimpin bangsa sendiri telah ‘teraba-raba’ akibat dek kabur dan kurang jelas, generasi yang dipimpin mungkin 10 kali lebih kabur kefahamannya.

Secara logik akal, tidak mungkin semua bangsa dapat hidup aman sejahtera dan harmoni sejak merdeka jika resepi yang telah digarap oleh pemimpin dalam membina negara tidak relevan atau tidak sesuai dengan struktur kependudukan dan sosio-ekonomi yang wujud pada ketika itu.

Kalau ada pun perkara tidak baik yang berlaku ialah, peristiwa hitam 13 Mei 1969. Tetapi, akhirnya peristiwa hitam itu jugalah yang telah menyedarkan semua pemimpin kaum di Malaysia bahawa tiada yang terlebih penting di dalam pembinaan sebuah negara majmuk melainkan perpaduan, keamanan, kesejahteraan dan keharmonian hidup di dalam kemajmukan dan kepelbagaian. Pemimpin-pemimpin kaum dan rakyat ketika itu faham bahawa premis asas ini tidak boleh digadaikan walau apa pun bentuk, dasar dan perlaksanaan yang ingin diperkenalkan kepada rakyat dan tidak kira siapa pun yang menjadi pemerintah. Semua agama dan ideologi pun mengakui hakikat pentingnya nilai-nilai perpaduan, keamanan dan keharmonian disuburkan di dalam masyarakat.

Penstrukturan semula masyarakat dari segi sosio-budaya dan ekonomi telah menjadi
penawar kepada seluruh rakyat dan negara untuk terus membangun dan maju tanpa ada pemencilan terhadap kaum-kaum tertentu atau kaum minoriti. Inilah pendekatan yang paling adil di atas dasar menang-menang yang telah termaktub dalam lipatan rekod kecemerlangan model pembangunan negara yang diasaskan oleh Allahyarham Tun Abd Razak. Model inilah yang telah menerbitkan nilai-nilai perpaduan, keamanan dan keharmonian yang benar-benar mengikut kesesuaian pola kemajmukan yang mendominasi kependudukan Malaysia.

Kefahaman ini harus menjadi pra-syarat wajib kepada sesiapa juga yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin parti siasah dan pemimpin negara. Pemimpin-pemimpin yang faham semangat menang-menang ini harus menyemai kefahaman ini kepada rakyat agar setiap rakyat juga faham dan tahu akan batasan di antara kepentingan terbanyak dan kepentingan kelompok.

Berbalik semula kepada kongres permuafakatan melayu, apa yang cuba digambarkan di sini ialah, jika mauduk perbincangan tidak bercampur-aduk dengan niat, agenda, dan lain-lain kepentingan, banyak mana pun resolusi yang digagaskan pasti akan menghasilkan resolusi yang sama, kerana resolusi itu benar-benar lahir dari jiwa, pemikiran dan kerisauan sebenar tentang kepentingan bangsa yang merentasi kepentingan kelompok dan parti.

Maka yang terpenting kepada kita hari ini adalah soal bagaimana untuk mempertahankan apa yang telah kita miliki sejak turun temurun sebagai bangsa melayu dan memperjuangkan hak dan pemilikan yang sepatutnya kita miliki tetapi masih belum tergenggam dek tangan.

Walau bagaimana pun, achap kali keegoan dan kesombongan yang ada, menyebabkan kita bersikap ‘sombong bodoh’. Kadang-kadang pula,dengan kebodohan dan kejahilan yang ada akan menyebabkan kita bertindak seperti ‘bodoh sombong’. Dengan keegoan, kita cuba nafikan apa yang ada dalam hati kecil dan naluri semulajadi sebagai bangsa melayu. Walau pun bodoh dan jahil, tetapi disebabkan kesombongan dan keegoan kerana tidak mahu mengakui kelemahan dan kedaifan yang ada, maka kita terus mengalihkan (escapism) pemikiran ke arah lain.

Tidak menjadi kehairanan lagi kepada kita, apabila hari ini kita lihat ramai orang yang berkulit ‘sawo matang’ bertindak memperlekehkan agenda ketuanan bangsa sendiri. Menafikan apa yang telah menjadi penyebab kepada kejayaan bangsanya sendiri.

Tanpa pertimbangan yang berasaskan pengetahuan yang jelas, ramai yang bertindak seperti termakan ‘nasi tangas’ dan dengan mudah terpengaruh dengan konsep Malaysian Malaysia, ketuanan rakyat dan kesamarataan yang belum diketahui justifikasi sebenar di sebalik segala slogan-slogan memukau. Belum ada satu rekod pun untuk dijadikan bukti bahawa slogan itu boleh membawa kedudukan bangsanya lebih baik dari apa yang telah dilakukan selama ini.

Tanpa kita melihat rancangan pembangunan dan kaedah yang cuba di bawa melalui konsep ketuanan rakyat, bangsa melayu jenis ini terus menerima bulat-bulat. Mereka hanya bergantung kepada keyakinan membuta tuli dengan harapan melayu akan lebih terbela melalui agenda ketuanan rakyat, Cina akan mendapat hak kesamarataan sebagai warganegara dan masyarakat india tidak akan dipinggirkan lagi.

Hanya satu pertanyaan kepada golongan melayu kategori ‘bodoh sombong’ dan ‘sombong bodoh’, iaitu tidak terfikirkah oleh anda bahawa naluri sayang dan sifat mengutamakan bangsa sendiri ini juga wujud kepada bangsa lain? Apakah anda percaya bahawa mereka benar-benar memperjuangkan agenda keseluruhan rakyat tanpa ada niat untuk mendahulukan bangsa sendiri? Sungguh tinggi nilai dan sifat ‘bersangka baik’ anda terhadap mereka, tetapi sayang sifat terpuji itu tidak diamalkan kepada pejuang bangsa sendiri. Yang ada hanyalah pandangan pesimistik, syak wasangka, ‘sikap menyangkal’ dan‘tabiat menolak’ terhadap apa juga pandangan dan penjelasan yang cuba diberikan.

Junjung dan nilailah harga diri dan pemikiran anda, janganlah dibenarkan minda anda begitu mudah diperkotak-katikkan hanya oleh slogan dan sentimen yang membangkit rasa gelodak di jiwa.

Salam..

No comments:

Post a Comment