Thursday, May 1, 2008

ADA TUMBUH ADA ADATNYA

Istilah adat perpatih ini membawa maksud setiap peristiwa, kesalahan dan apa juga isu yang berlaku (tumbuh) ada cara, undang-undang atau hukum yang boleh menyelesaikannya (adatnya).

Walau bagaimana pun, hukum adat ini hanya akan terpakai jika semua pihak atau parti siasah bergerak di dalam ‘pendulum’ ini, dan mengakui ada batas dan lopak yang menjadi garis pemisah, mana yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam mereka mencari pengaruh.

Jika etika ini dapat diamalkan oleh politikus-politikus, terselamatlah rakyat jelata dari pengaruh undang-undang rimba. Maka dapatlah dibezakan di antara kehidupan alam manusia yang berperaturan dan kehidupan haiwan yang bebas, di mana yang kuat tiada peraturan untuk menghalang dari bertindak ke atas yang lemah, manakala yang lemah tiada undang-undang yang melindunginya dari di baham.

Hari ini rakyat disuapkan dengan pelbagai agenda parti dan pemimpin. Di satu golongan, pemimpin membawa agenda perpaduan nasional melalui konsep perkongsian kuasa pelbagai kaum. Di satu golongan lagi membawa agenda ketuanan rakyat. Rakan kongsinya, satu membawa agenda negara berkebajikan, manakala yang satu lagi membawa konsep Malaysian Malaysia.

Campur tolak bahagi – semuanya membawa maksud yang sama, iaitu menawarkan agenda berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Macam di Negeri Sembilan kita panggil kuih buah sepang, tapi di KL kita panggil kuih badak berendam. Benda Allah tu serupa sebab resepinya sama. Kalau ada perbezaan pun mungkin kerana ‘air tangan’ si pembuat kuih tu ada perbezaan. Lagi satu yang menyebabkan ia berbeza rasa, mungkin kerana gula enau @ gula kabung yang digunakan tidak ‘ori’. Mungkin warna luarannya cantik tapi sebenarnya dia pakai gula merah. Tapi bagi yang pakar atau prihatin, tipu macam mana pun dia akan tahu ‘ori’ ke tiruan.

Ramai beranggapan rakyat sekarang sudah pandai menilai dan tahu yang mana intan dan yang mana permata. Jangan dok nak tipulah, kita orang bukan bodoh, katanya. TETAPI, saya tidak setuju dengan persepsi tersebut. Kita lupa, walau pun hari ini memang rakyat sudah buka mata dan sudah ramai yang cerdik pandai, tapi pemimpin-pemimpin parti siasah pun10 kali lebih buka mata dan 20 kali lebih cerdik pandai, terutama dalam soal mencipta ayat-ayat keramat yang memukau rakyat. Ada yang kita tidak pernah dengar pun. Dulu badak berendam letak dalam loyang tapi sekarang depa letak dalam mangkuk ‘pyrex’ dan siap letak ‘icing’. Dia jual ‘timing’ pun tepat – bulan puasa, di sebelah petang masa kita betul-betul lapar dan dahaga. Maka ramailah yang membeli tertipu disebabkan terkeliur melihat kuih yang ‘dilihat’ lazat dimakan.

Hari ini, pemimpin-pemimpin yang ingin menakluki hati rakyat janganlah mauduknya hanya untuk kuasa, kuasa dan kuasa. Fikirlah dengan penuh rasa tanggungjawab. Jadilah pemimpin pengepal nasi. Jangan jadi pengepal beras. Kelihatan seperti ingin menyatukan rakyat tapi hakikatnya rakyat makin berserakan. Rakyat yang makin cerdik dan tahu menilai pun tertipu dek kecerdikan berganda pemimpin-pemimpin yang siang malam memikir bagaimana untuk mempengaruhi dan menarik rakyat untuk menyokong perjuangan mereka.

Kita ada cara, adat, budaya, hukum dan peraturan bagi setiap permasalahan. Biarlah tindakan dan keputusan kita sentiasa mendahului kepentingan rakyat terbanyak dan kepentingan negara, iaitu keamanan, keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran. Pemimpin janganlah bersikap seperti orang mengidam telur burung di sarang yang tinggi, sehingga dikait dan dirosakkan sarangnya sekali asal kemahuan tercapai.

Sekian. Selamat petang.

No comments:

Post a Comment