Wednesday, July 23, 2008

TABIAT LAMA : AHLI (PEMIMPIN) UMNO VS PELATIH SERENTI

Selepas PRU12 kritikan terhadap pucuk pimpinan, terutama terhadap Pak Lah begitu hebat. Ibarat baru terkejut dari tidur, ahli dan pemimpin UMNO begitu insaf bahawa sesuatu mesti dilakukan untuk menyelamatkan UMNO.

Ramai memikirkan pengajaran yang diperolehi dari tragedi PRU12 ini bakal menyaksikan satu perubahan besar akan berlaku di peringkat dalaman UMNO. Tragedi ini bakal menghapuskan sama sekali budaya sokong dan ‘samiqnaa wa’ataqna’ secara membuta tuli kalangan ahli dan pemimpin UMNO.

Ramai memikirkan bahawa ahli dan pemimpin UMNO sedia berubah. Mereka akan benar-benar memikirkan masa depan parti melebihi kepentingan lain. ‘Parti lebih utama’, ‘pemimpin datang pemimpin pergi’, ‘bukan tidak sayang pemimpin tapi saya lebih sayangkan parti’.

Hapuskan kuota 30% yang menyekat amalan demokrasi, perlu akur dengan kehendak demokrasi, isyarat akar umbi harus didengar jika ingin lihat parti terus kukuh, isyarat ahli bawahan dan rakyat jelas mahukan perubahan. Pelbagai seruan lagi telah kedengaran.

Akhirnya semua jangkaan tersebut meleset! Seruan yang kedengaran tidak ubah seperti seruan khatib sedang membaca teks khutbah. Selepas selesai solat jumaat, tidak ada apa-apa perubahan. Sama keadaannya seperti sebelum sembahyang. ‘Business as usual’.

Ketika sampai waktu dan ruang untuk lakukan perubahan, ungkapan lama bergema kembali!

Pertandingan boleh membawa mudarat kepada parti, ahli harus akur dengan peralihan kuasa. Saya tidak nampak keperluan untuk jawatan presiden dipertandingkan. Kita harus beri peluang kepada pucuk pimpinan untuk membetulkan segala kelemahan, kita perlu bersatu. UMNO tidak mampu untuk berpecah lagi. Masih banyak lagi kerja yang belum selesai.

Saya sokong, saya setuju, saya akur, kami tunduk dan kami patuh demi agama (pangkat), bangsa (poket) dan negara (perut). Dalam bahasa lebih mudah, ‘janganlah hendaknya nanti hanya kerana amalan demokrasi tercabut pangkat, terkoyak poket dan terkempis perut’.

Pertandingan ‘siapa dulu sokong’ pun berlaku seperti sediakala. Siapa yang terlewat menyatakan sokongan akan dinilai prestasinya dari masa ke semasa.

Disamping menyatakan sokongan, tahap kekuatan nada sokongan juga perlu diambil kira. Siapa yang paling jelas dan ke depan dalam menyatakan sokongan juga ada merit tersendiri.

Siapa yang berdiam diri dan tidak turut serta dalam pertandingan ‘siapa dulu sokong’ selalunya akan digugurkan dari menyertai pertandingan seterusnya seperti pertandingan untuk menjadi YB, pertandingan merebut jawatan dilantik, pertandingan perut siapa besar dan pertandingan poket siapa penuh.

Maka berbondong-bondonglah para wartawan hadir ke majlis menyatakan sokongan oleh perhubungan UMNO negeri-negeri. Belum habis sidang akhbar Perhubungan UMNO Negeri, terpaksa pula berkejar ke sidang akhbar menyatakan sokongan oleh ahli-ahli MT.

Suara naluri yang mengakui perlunya UMNO melakukan perubahan demi kesinambungan parti dan pemerintahan sudah tenggelam dibawa arus deras sokongan yang bakal membawa rebah seluruh rumah UMNO.

Menurut kajian, terdapat lebih 80% penagih dadah akan mengulangi tabiat lamanya setelah keluar dari pusat serenti. Sewaktu di pusat serenti terasa insaf dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Setelah bebas, jarang sekali yang menolak apabila berpeluang menghidu candu. Begitulah susahnya kalau sudah menjadi penagih dadah tegar. Ibarat kata perbilangan ‘kalau sudah namanya ulat tahi pergi ke tahi juga’.

Kita tidak berniat untuk menyamakan tabiat ahli dan pemimpin umno sama seperti pelatih pusat serenti. Tapi jika terdapat persamaan dari segi kesukaran mengubah ‘ketegaran tabiat lama’, itu bukan salah penulis.

Salah ibu mengandung….

No comments:

Post a Comment