Suara Bagan Pinang nampak seia-sekata mahukan TS Sri Isa menjadi calon. Suara kepimpinan atasan parti pula bercampur aduk. Suara pembangkang pulak kelihatan ‘buat-buat berani’ agar TS Isa dicalonkan atas alasan kononnya kerja mereka untuk menang lebih mudah kalau TS Isa bertanding, walau pun hakikatnya tidak begitu.
Suara Ketua Perhubungan Negeri Sembilan pulak agak pelik. Suara yang keluar dari mulut Ketua Perhubungan berbeza dengan suara yang keluar dari corong-corong pembesar suara.
Suara Ketua Perhubungan ‘akur dan menyokong’ apa saja kehendak UMNO Bahagian Teluk Kemang, tapi apabila keluar dari corong-corong pembesar suara ‘Tok Mat’ di hulu dan di hilir semuanya membalun dan memperlekehkan TS Isa.
Hebat jugak teknologi komunikasi yang digunakan oleh ‘Tok Mat’. Input percakapan yang masuk ke dalam mikrofon boleh bertukar menjadi ‘cakap lain’ bila keluar dari corong pembesar suara. Belum ada lagi teknologi yang jenis ini dalam dunia ni.
Kita biasa dengar manusia lidah bercabang. Atau pun kita biasa dengar manusia talam dua muka. Tapi teknologi ‘converter’ yang sedang digunakan untuk menolak TS Isa dari menjadi calon sedang berkumandang seantero Negeri Sembilan melalui corong-corong pembesar suara ‘Tok Mat’ di merata-rata tempat.
Janganlah keterlaluan mempromosi kesalahan TS Isa di media-media. Kalau TS Isa tak bertanding nanti tak apalah. Tapi kalau TS Isa bertanding pulak, bukankah susah nanti kita nak berkempen. Semua suara-suara dari dalaman UMNO ini akan digunakan oleh pembangkang untuk memulangkan paku buah keras. Masa tu takkanlah kita nak kata TS Isa bukan macam yang kami cakap hari tu. TS Isa bagus…Nanti semua orang tertawakan UMNO… Lidah bercabang…siang cakap lain…malam cakap lain.
Banyak lagi pemimpin UMNO yang sudah didapati bersalah kenapa tidak disuruh letak jawatan. Ketua Pemuda UMNO Malaysia sendiri sudah didapati bersalah tapi tidak dihukum, masih lagi memegang jawatan dengan selesa. DS Ali Rustam didapati bersalah dan dihukum hanya setakat tidak dibenarkan bertanding tapi masih lagi memegang jawatan.
Banyak lagi kes politik wang yang lenyap begitu saja. Kita yang duduk atas tikar mengkuang UMNO pun dah tak dapat duduk dengan selesa lagi kerana terlalu banyak sampah sarap yang diletakkan di bawah tikar.
Tidak ada bukti yang jelas untuk mengatakan bahawa UMNO sedang berusaha keras memerangi politik wang. Rakyat masih tidak melihat usaha ini sedang dilakukan dengan serious oleh UMNO. Usaha membanteras politik wang masih tergantung-gantung di awangan tanpa ada sesiapa pun yang digantung.
Cuma bila timbul PRK Bagan Pinang barulah diwar-warkan semula usaha kerajaan untuk membersihkan parti.
Apakah hukuman keras parti hanya untuk TS Isa seorang? Apakah semua beban dan kesalahan politik wang seluruh pemimpin parti yang lain perlu ditanggung oleh TS Isa seorang. Apakah cukup dengan mengenakan sekeras mungkin hukuman terhadap TS Isa, maka rakyat akan nampak bahawa UMNO memang serious membanteras politik wang?
Pemimpin UMNO yang lain jangan cuba memanipulasi kenyataan Tun Mahathir berlebih-lebihan. Tun Mahathir konsisten dari dulu bila bercakap soal politik wang, tanpa memilih bulu. Kenyataan itu bukan khusus untuk TS Isa seorang. Tun Mahathir ingin lihat UMNO benar-benar serious membanteras rasuah politik secara keseluruhan.
TS Isa sudah menjalani hukuman. Kenyataan Tun harus dilihat lebih jauh dari itu. Pemimpin-pemimpin UMNO harus mengambil pedoman dari kenyataan TUN untuk memastikan sesiapa juga yang terlibat dengan gejala gila ini dinyahkan dari segenap kepimpinan parti. Itu mesej yang sepatutnya dibaca dan dianalisa oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Bukan memanipulasi kenyataan TUN untuk dikambing hitamkan pemimpin parti yang dianggap sebagai saingan politik di Negeri Sembilan.
Kalau beginilah kaedah yang cuba dijalankan oleh kepimpinan parti, jangan haraplah rakyat akan hormat kepada UMNO. Rakyat melihat bahawa pemimpin-pemimpin UMNO masih lagi belum dapat mendahulukan parti dari tempolok dan kemahuan sendiri untuk terus berkuasa.
Jika mereka mendahulukan parti sudah pasti isu yang patut dikembangkan melalui media adalah bagaimana untuk memenangi PRK Bagan Pinang dan bukan siapa yang patut jadi calon di Bagan Pinang.
Kepimpinan Negeri Sembilan wajib sedar diri bahawa UMNO Negeri Sembilan mengalami kecacatan semasa di bawah kepimpinannya. Kalau kepimpinan Negeri masih menongkak langit dan tidak berupaya menahan ego dan kepimpinan nepotismanya, maka kita tunggu masa dan ketikanya rakyat Negeri Sembilan akan mengajar bukan saja kepimpinan nepotisma, malahan seluruh UMNO Negeri Sembilan.
Pemimpin kono bersikap menahan ragam dan bukan membuat ragam. Barulah aman negori.