Saturday, May 29, 2010

MAKMAL RASIONALISASI SUBSIDI : RASIONALKAH?

“Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan Malaysia memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonominya agar lebih berdaya saing. Kemajuan negara bergantung pada keupayaan mewujudkan inovasi dan pelaburan yang telus tanpa pemberian subsidi kepada rakyatnya”.

"Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi adalah antara salah satu aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan. Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.

Pengumuman Menteri PEMANDU, Idris Jala mengenai bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh 9 tahun jika negara masih mengekalkan subsidi, amat menakutkan kita.

Kalau benar disebabkan subsidi negara kita boleh jatuh bankrap, maka saya bersetuju ianya dihapuskan. Tiada mana-mana rakyat yang mahu negara ini bankrap.

Beberapa persoalan boleh kita fikirkan secara pro & kontra.

Persoalan pertama yang boleh difikirkan ialah apakah negara kita merupakan satu-satunya negara yang mengamalkan sifat pemurah kepada rakyatnya dengan memberikan pelbagai subsidi?

Keduanya, apakah perbezaan antara subsidi dan insentif yang diberikan oleh kerajaan dalam beberapa segmen pengguna dan industri? Apakah insentif seperti insentif pelaburan, insentif industri atau pun insentif berbentuk geran juga dianggap sebagai subsidi?

Ke tiganya, berapakah pendapatan per-kapita rakyat Malaysia dan berapakah pendapatan per-kapita rakyat Switzerland? Kita dimaklumkan subsidi yang diberikan oleh negara ini kepada rakyatnya lebih 50 kali ganda dari subsidi yang diberi oleh negara yang paling tinggi pendapatan per-kapita di dunia. Subsidi kita dikatakan 3 kali ganda melebihi subsidi yang diberi oleh kerajaan Filipina. Apakah kos sara hidup di Filipina lebih tinggi dari kos sara hidup di Malaysia?

Usaha kerajaan melalui MBE untuk menumpukan kepada peningkatan pendapatan per-kapita rakyat kepada USD15,000 menjelang 2020 adalah sangat baik. Begitu juga strategi kerajaan untuk memberi fokus kepada peningkatan pendapatan 40% golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah kepada pendapatan sederhana tinggi dan tinggi sepanjang tempoh MBE dilaksanakan.

Apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup rakyat secara purata tahunan?

Jika kenaikan pendapatan per-kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?
Di mana datangnya telur jika tidak ada ayam? Di mana pula datangnya ayam jika tidak dari telur?

Apakah kerajaan boleh beri jaminan, jika subsidi dihapuskan, negara akan lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?

Atau, adakah kerajaan perlu cari jalan terlebih dahulu untuk pastikan negara kompetitif dan pendapatan rakyat meningkat, dan kemudian baru hapuskan subsidi secara berperingkat-peringkat?

Mana satu yang harus didahulukan oleh kerajaan?

Amerika Syarikat sebuah negara termaju tapi sehingga kini masih memberi subsidi dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisma perlindungan terhadap industri mereka. Subsidi tanaman jagung saja, kerajaan Amerika telah memberi sebanyak USD 73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.

Subsidi dalam industri fossil dan biodiesel , Amerika membelanjakan antara USD15B hingga USD35B setahun.

Semua data-data ini boleh didapati dengan hanya menggoogle saja USA subsidy. Semua data-data ini akan dapat kita baca.

Amerika menjadikan mekanisme pemberian subsidi kepada penternak, peladang dan industrialis sebagai cara terbaik dalam melindungi industri mereka. Dengan cara ini barulah produk Amerika menjadi lebih kompetitif sehingga mampu mengawal turun naik harga barangan komoditi tertentu. Walaupun tindakan Amerika ini menyebabkan barangan komoditi negara-negara sedang membangun turut terjejas, tapi dari segi pertanggungjawaban Amerika terhadap industri dan pendapatan rakyatnya, tidak boleh dipertikaikan. Amerika telah membuat sesuatu yang terbaik untuk peningkatan pendapatan rakyat dan perlindungan industri mereka.

Bagaimana pula Idris Jala boleh berpandangan sebaliknya? Bolehkah Idris Jala memberikan statistik pulangan dari segi competitiveness dan gandaan yang bakal diperolehi oleh negara hasil dari penghapusan subsidi ini? Bolehkah beliau mengunjurkan berapakah peningkatan pendapatan rakyat hasil dari penghapusan subsidi ini?

Kalau kenaikan tepung tahun depan 20 sen dan tahun seterusnya 25 sen, maka sehingga tahun 2015 harga tepung akan meningkat sebanyak RM1.20, iaitu lebih 50% kenaikan. Ini belum dikira lain-lain item barang kawalan Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat sebanyak USD15k yang ditetapkan oleh MBE dalam tempoh yang sama?

"Kemajuan negara bergantung pada keupayaan mewujudkan inovasi dan pelaburan yang telus tanpa pemberian subsidi kepada rakyatnya”…kata Idris Jala. Ini “school of thought mana’?

No comments:

Post a Comment