Saturday, September 24, 2011

BN - PAKATAN MAIN JONGKANG-JONGKIT..

Apakah kesan langsung yang bakal berlaku kepada pakatan pembangkang jika Anwar didapati bersalah dan di jatuh hukum oleh mahkamah?
Berapa ramai kalangan rakyat khususnya yang telah membuat pendirian untuk mengundi pakatan dalam PRU13 nanti memikirkan akan perkara ini secara rasional?
Berapa ramai pula mereka yang sudah tidak peduli dan akan terus nekad mengundi pembangkang walau apa pun yang bakal terjadi kepada Anwar dan pakatan pembangkang?
Ia amat bergantung kepada sejauh mana rakyat boleh membuat keputusan secara rasional dan realistik. Jika berlaku sebaliknya, iaitu mereka membuat keputusan secara emosi yang keterlaluan, maka apa pun yang bakal terjadi kepada Anwar tidak akan memberi kesan terhadap pendirian mereka.
Golongan ini juga tidak akan terkesan dengan apa juga dasar dan pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan.
Persoalannya, berapa ramaikah golongan yang berpendirian sebegini? Berapa ramai pula kalangan yang berpendirian atas pagar dan majoriti senyap yang akan terkesan jika Anwar disumbat ke dalam penjara?
Begitu juga, berapa ramai kalangan atas pagar dan majoriti senyap yang akan terkesan dengan dasar dan pembaharuan yang dilakukan oleh pihak kerajaan?
Bagi saya, golongan atas pagar dan majoriti senyap inilah merupakan lombong emas bagi BN mahupun pakatan. Golongan yang sudah berpihak tidak akan terkesan lagi dengan faktor-faktor dan sebarang perkembangan yang berlaku di kalangan BN atau pun pakatan. Golongan ini sudah dianggap sebagai Fixed deposit bagi ke dua-dua belah pihak. Masing-masing pihak sudah mempunyai deposit.
Fixed deposit sukar untuk dicairkan. BN atau pun pakatan tidak perlu membuat kerja bodoh untuk mencairkan sokongan golongan ini.
Isu komunis dan ISA adalah ibarat main ‘jungkang-jungkit’. Tanpa komunis, ISA tidak akan lahir.
Mainan pihak pembangkang tentang isu komunis adalah percubaan untuk memberi persepsi dan gambaran baru terhadap komunis dan perjuangannya. Pihak ini membaca, jika persepsi ini dapat diolah dan diserap oleh rakyat pada tahap ‘boleh diterima’ daripada tahap ‘pengkhianat’, maka secara halusnya ia adalah percubaan untuk mengurangkan penghormatan dan pengiktirafan terhadap para pejuang kemerdekaan, khususnya pejuang tajaan UMNO. Apabila rasa hormat terhadap pejuang kemerdekaan tajaan UMNO dapat dihakis secara halus, maka sifat rasa ‘terhutang budi’ terhadap segala pengorbanan dan perjuangan bapa-bapa kemerdekaan negara juga akan beransur-ansur terhakis di dalam pemikiran rakyat.
Apabila ikatan ‘termakan budi’ rakyat negara ini terhadap perjuangan UMNO dalam membebaskan negara dari koloni penjajah dapat dirungkai, maka kejayaan terbesar pihak pakatan, khususnya PAS adalah ‘kejayaan menyamaratakan tahap nilai dan pengorbanan UMNO dengan mereka.
Persoalan berbangkit di sini ialah sejauh mana isu ciptaan PAS ini berjaya menembusi pemikiran rakyat atas pagar dan majoriti senyap? Apakah perjudian PAS dalam isu ini bakal memberi pulangan yang baik kepada pakatan atau pun suatu perjudian yang ‘makan pangkal’? Apakah ia suatu isu yang bakal memberi keuntungan atau ia akan menyebabkan pihak pakatan ‘terkayu’?
Di pihak UMNO/BN pula, isu penghapusan ISA adalah sebahagian dari langkah dan tindakan politik untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap tahap demokrasi dan transformasi politik yang sedang diusahakan oleh PM Najib.
Apakah benar isu penghapusan ISA mampu untuk menjadi senjata berkesan BN untuk mengembalikan keyakinan golongan atas pagar dan majoriti senyap terhadap UMNO/BN? Jika benar, maka perjudian BN dalam mendapat sokongan rakyat melalui penghapusan ISA adalah suatu perjudian yang berbaloi dan tepat dari segi langkah transformasi politik.
Jika sebaliknya, maka langkah pemansuhan ISA ini sama setaraf dengan langkah Pas dan Mat Sabu dalam percubaan untuk menjenama semula perjuangan komunis. Langkah ke dua-dua pihak boleh dikira ‘terkayu’.
Ke dua-dua pihak harus sedar, setiap isu yang mahu diketengahkan kepada rakyat haruslah tepat kepada golongan sasar.
Adalah sia-sia membuat pelaburan lombong emas dengan nilai ratusan juta RM, tetapi akhirnya emas yang dihajati tidak terdapat di lokasi. Modal sedia ada ‘makan pangkal’, emas yang dicari tidak dijumpai.
Dalam demokrasi, pengundi atas pagar dan majoriti senyap adalah ibarat lombong emas bagi BN mahu pun pakatan dalam usaha meraih sokongan. Jangan disebabkan kesilapan sasaran, sokongan yang diharapkan tidak menjadi, sokongan sedia ada pula turut lenyap.
Persoalan yang harus difikirkan ialah siapa yang untung dengan isu komunis, siapa pengkhianat dan pejuang yang dibawa oleh PAS dan siapa yang untung dengan isu pemansuhan ISA yang dibawa oleh UMNO/BN?
Apa yang pasti jika rakyat atas pagar dan majoriti senyap duduk di pihak pakatan, maka tempat duduk BN akan terjungkit. Sebaliknya, jika mereka pakat duduk di sebelah BN, maka pakatan pula yang akan terjungkit.
Mari kita lihat BN dan pakatan main jungkang-jungkit.

No comments:

Post a Comment