Sah! KDN memang kementerian paling liberal seperti yang saya tulis dalam entry sebelum ini. Sebaik saja entry ini dikeluarkan, selang beberapa hari PM umumkan penutupan Kem Kemunting secara rasmi. Pengumuman itu memang tiada kena-mengena langsung dengan entry yang ditulis. Itu adalah janji Najib sebaik saja dia mengangkat sumpah sebagai PM 2 tahun lalu.
Keputusan memansuhkan ISA ini boleh dianggap sebagai luar jangka dan di luar kotak pemikiran rakyat, malahan termasuk juga pembangkang. Inilah satu-satunya pengumuman “ala-Mahathir” yang dilakukan oleh seorang PM selepas Tun M bersara. Buat masa ini Najib berjaya membuatkan pembangkang dan rakyat keseluruhannya berteka-teki apa sebenarnya strategi yang sedang cuba dilakukan oleh PM.
Sudah lama rakyat tidak berteka-teki. Paling akhir rakyat berteka-teki dan tergamam ialah apabila Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya secara mengejut.
Selepas Tun M bersara, tidak kedengaran lagi kemahiran membuat kejutan yang dilakukan oleh mana-mana PM selepasnya. Kalau ada pun tidak berapa menjadi. Malah selepas persaraan Tun M, kemahiran permainan teka-teki telah jatuh ke tangan pembangkang.
PM dan para pemimpin BN pula sebaliknya yang terkial-kial menjangka dan menjawab setiap teka-teki yang dilontarkan oleh para pemimpin pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim. Sejak dari pengunduran Tun M, kerajaan sentiasa berada pada kedudukan defensif, manakala pembangkang sering bertindak di kedudukan menyerang.
Jika pada zaman Tun M, pihak pembangkang “penat otak” memikir bagaimana mahu mengatasi serangan politik UMNO dan BN, tapi selepas Tun M, kepimpinan UMNO/BN pula yang tak tidur malam memikir bagaimana mahu menepis setiap serangan luar jangka dan luar kotak yang dilakukan oleh pembangkang.
Walau pun wujud kebimbangan, tetapi saya tabik dengan pendekatan yang dilakukan oleh Najib kerana saya sendiri merasa terkejut dengan keputusan pemansuhan Isa dan penyemakan semula Akta Mesin Cetak ini.
Najib berjaya membangkitkan kebimbangan saya seperti mana Tun M sering menyebabkan rakyat dan pemimpin pembangkang, malahan pemimpin kerajaan sendiri turut terkejut dengan kejutan demi kejutan yang dilakukannya.
Bab ini yang menyebabkan saya tabik hormat pada Najib.
Sudah semestinya saya dan para penyokong UMNO/BN berhak untuk merasa bimbang dengan pemansuhan ISA secara mengejut. Tidak kurang juga yang kecewa, terutama bagi mereka yang telah membuat pelbagai laporan polis dan melakukan desakan supaya menahan mereka-mereka yang difikirkan layak untuk ditahan di bawah ISA. Mungkin juga ada di kalangan mereka ini merasa seperti diperbodohkan oleh pemimpin kerajaan apabila PM bukan saja tidak mendengar desakan mereka, malah mengumumkan pula pemansuhan ISA.
Hanya satu persoalan yang bermain di fikiran saya. Lain-lain persoalan pasti ada pro n kontra.
Apakah kejutan yang dilakukan oleh PM ini akan memberi hasil yang sama seperti mana yang sering terjadi pada zaman Tun M?
Pada zaman Tun M, walaupun pelbagai pihak bimbang dan terkejut dengan keputusan-keputusan luar kotak dan mengundang pelbagai kontroversi yang dilakukan oleh Tun M, akhirnya terbukti, keputusan yang dibuat oleh beliau tepat dan memberi kesan yang baik walau pun ia mengambil masa yang lama untuk dibuktikan.
Keyakinan dan pengiktirafan rakyat terbina sedikit-demi sedikit terhadap kepimpinan Tun M, antaranya adalah di atas keputusan kontroversial yang sering dilakukannya dan sering kali keputusan-keputusan yang dilakukan itu terbukti memberi kesan yang baik kepada parti, negara dan rakyat secara jangka panjang.
Kini pelbagai pihak sedang menanti dua akta alternatif yang akan dibentangkan sebagai pengganti kepada akta sedia ada. Pihak yang sering menjadikan ISA dan Akta mesin cetak sebagai sasaran untuk mengenakan tekanan kepada UMNO/BN pula pasti akan mencari jalan untuk menolak dan memperlekehkan apa saja yang akan dicadangkan oleh kerajaan.
Perlu diingat, cadangan yang bakal di bawa ke Parlimen ini hanya memerlukan sokongan majoriti mudah. Maksudnya, cadangan ini pasti akan diluluskan. Maka kerajaan Najib harus bersedia menjangka apa yang bakal dilakukan oleh pembangkang bagi mencemar usaha pemulihan kepercayaan rakyat dan dunia luar terhadap kerajaan BN.
Jika Kerajaan Najib berjaya menakluki persepsi rakyat melalui kejutan demi kejutan dalam masa terdekat, itu petanda besar PRU13 semakin hampir.
Kita tunggu budget 2012. Jika budget 12 pun disulami dengan pelbagai kejutan, tidak mustahil PRU13 akan berlangsung sebelum hujung tahun.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment