Tuesday, September 13, 2011

KDN ANTARA KEMENTERIAN PALING LIBERAL DI DUNIA..

Geli hati tengok komen semua pihak berkaitan polemik ciptaan Mat Sabu. Paling melucukan ialah yang mencadangkan supaya polemik ini ditamatkan adalah antara kalangan yang paling banyak berpolemik dan menambah rencah perasa.


Dan yang paling tergelak pula ialah, bukan pencipta polemik yang jadi sasaran. Utusan, seperti biasa menjadi “punching back” kepada setiap polemik yang timbul. Apa dan siapa pun yang menimbulkan sebarang isu kontroversi, akhirnya Utusanlah yang akan dipersalahkan kerana memperbesarkan isu. Nasib kaulah Utusan.


Penjenayah yang melakukan jenayah. Polis yang menyiasat. Mahkamah yang menjatuhkan hukuman. Penjara hanya tempat penjenayah menjalani hukuman. Tiada kena-mengena dengan sebarang proses perundangan. Patutkah penjara yang menerima keji nista dan dipertikaikan?
Serupa juga dengan media termasuk Utusan. Media hanya medium penyampaian berita, mencari bahan berita dan melapurkan apa juga berita terutama yang bertaraf “news” untuk tatapan pembaca.


Bahan berita itu bukan dicipta oleh media. Bahan berita terhasil dari peristiwa, kenyataan dan kejadian yang berlaku setiap hari. Media hanya bertindak sebagai pelapur.


Cuba fikir rasional sikit. Betul tak apa yang saya cakap.


Kalau Telco tak umum cukai 6% tempoh hari, tidak akan ada mana-mana media yang akan mencipta “news” cukai dikenakan sebanyak 6% . Betul tak?


Kalau ada news seperti ini sudah pasti berita itu berita palsu. Hanya portal dan media cetak yang tak bertanggungjawab saja yang sanggup menerbitkan berita palsu yang tidak wujud. Contohnya, Malaysia Today yang membuat cerita Rosmah ada di tempat kejadian di malam pembunuhan Altantunya. Contoh lain, mencipta gambar super imposed Najib bersama Altantunya dan menyebarkannya kepada umum.


Tapi portal seperti ini tidak pernah rasa bersalah pun untuk membuat rekaan seperti ini. Mereka tidak ada pertanggungjawaban terhadap apa yang ditulis.


Apatah lagi di Malaysia sekarang sesiapa saja bebas membuat cerita palsu dan mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan oleh KDN. KDN Malaysia adalah sebuah kementerian yang tersangat liberal dalam tindakan dan pengurusannya, seolah-olah negara kita sudah tidak wujud langsung undang-undang dan tidak perlu ada apa-apa penguatkuasaan terhadap undang-undang negara.


Negara Malaysia hari ini benar-benar ditadbir seperti sebuah syurga dunia yang tidak perlukan sebarang bentuk undang-undang untuk mengawal manusia yang tinggal di dalamnya. Seolah-olah manusia di dalam Malaysia sudah tidak ada nafsu serakah sepertimana penghuni syurga akhirat.


Sesiapa saja kalangan rakyat Malaysia hari ini bebas untuk menabur apa juga cerita kepada rakyat. Benar, salah atau palsu dan penipuan sudah sama taraf. Kenyataan yang baik dan kenyataan yang boleh membawa mudarat sudah tiada beza dari segi perundangan negara.
Mat Sabu atau siapa saja boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan selama mana ia tidak menimbulkan pertumpahan darah atau anarki. Setakat ribut atau ketegangan pergeseran kaum dan agama melalui cabar mencabar dan hentam menghentam dengan lisan tanpa perlakuan fizikal akan terus dibolehkan dan masih dianggap tidak menjejaskan keselamatan negara. Itu menurut pandangan dan definisi KDN setakat ini.


Itu sebab sehingga kini tiada siapa yang dikenakan tindakan walau apa pun kenyataan yang dikeluarkan oleh sesiapa saja di kalangan rakyat Malaysia.


KDN belum menetapkan garis panduan setakat mana had yang dibolehkan untuk memporak-perandakan pemikiran rakyat. Walau se palsu mana pun kenyataan yang dikeluarkan ia tidak menjadi masalah buat KDN.


Walau putar belit macam mana sekali pun yang dilakukan terhadap sejarah negara, ia juga tidak menjadi masalah buat KDN. Sesiapa saja kalangan rakyat Malaysia buatlah atau sebutlah apa pun sekehendak hati. Tidak ada masalah buat KDN, melainkan jika sudah berlaku pertumpahan darah atau anarki dalam negara. Itu pun belum tentu lagi KDN akan ambil tindakan. Kita hanya boleh letakkan harapan, MUNGKIN KDN akan ambil tindakan.


Jika KDN berpendapat pertumpahan darah atau anarki yang berlaku masih boleh dipantau dan dibendung dengan AMARAN tanpa perlu menggunakan ISA atau apa-apa undang-undang berbentuk tangkapan, maka kita rakyat Malaysia juga harus akur dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada KDN.


Insyaallah, dengan memberi amaran demi amaran tanpa jemu, semua pemimpin dan rakyat yang telah melakukan kesilapan dan terlanjur kata-kata ini akan berubah sikap dan kita semua akan selamat sejahtera.


Inilah transformasi pemikiran dan pendekatan yang sedang cuba dilakukan oleh KDN.

1 comment: