Monday, October 24, 2011

BILA TUKANG CACI DIANGKAT JADI PEMIMPIN...

Di Malaysia, laluan kerjaya sebagai pemimpin politik pembangkang berbeza dengan laluan kerjaya yang dilalui sebagai pemimpin di dalam parti pemerintah.

Mahu jadi pemimpin di dalam parti pembangkang, perlu pandai menjadi pembangkang yang berkesan. Selalunya kebolehan berpidato akan menjadi asas penting untuk menjadi pemimpin pembangkang yang berpengaruh dan berkesan. Faktor lain yang penting seperti kritis, pandai mencari isu, membangkit sentimen, emosi dan melancarkan propaganda adalah faktor yang akan menambah atau merangsang lagi sokongan rakyat. Benar atau salah bukan faktor penentu kepada tahap sokongan.

Faktor kebolehan mentadbir juga bukan faktor penting bagi seseorang pemimpin pembangkang. Kebolehan mentadbir ini tidak perlu pun diambil kira. Sebabnya, mereka tidak mentadbir kerajaan. Mereka hanya menjadi pembangkang. Mereka terlepas dari sebarang tanggungjawab sebagai penggubal dan perlaksana dasar.

Pemimpin kerajaan pula amat mudah untuk dinilai kpinya berbanding dengan pemimpin pembangkang kerana jika sesuatu dasar itu gagal, bermakna mereka gagal sebagai pemimpin kepada badan perlaksana. 

Sebaliknya fungsi sebagai pemimpin pembangkang hanya perlu cari setiap kelemahan dasar dan perlaksanaan kerajaan, kritik dan sebarkan kepada rakyat. Sebagai pembangkang, lebih banyak terjumpa kecacatan terhadap pentadbiran kerajaan yang sedang memerintah, itu adalah lebih baik.

Misi sebagai pemimpin kerajaan juga tidak sama dengan misi sebagai pemimpin pembangkang. Misi utama pembangkang adalah untuk mengambil tempat menggantikan kerajaan sedia ada, manakala misi kerajaan adalah menjalankan pentadbiran sesebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat.

Juruodit atau malaikat Atid hanya bertindak sebagai pelapur dan pencatat terhadap sesuatu tatacara yang berlaku. Mereka tiada kepentingan lain seperti mahu merampas kuasa dan menjadi kerajaan seperti mana pembangkang. Pembangkang bukan saja perlu menjadi juruodit atau malaikat Atid, malah pemimpin pembangkang mesti bergerak untuk memastikan mereka menjadi alternatif rakyat bagi mengganti kerajaan sedia ada.

Pendek kata, keperluan atau ukuran nilai kepimpinan sebagai pemimpin pembangkang dan sebagai pemimpin kerajaan amat berbeza.

Keadaan ini boleh diibaratkan antara pentadbir universiti dengan persatuan pelajar atau ibarat pentadbir sekolah dengan persatuan pelajar. Keperluan ciri-ciri, nilai dan fungsi kepimpinan amat jauh berbeza.

Pepatah juga juga ada menyebut, "tukang yang paling senang kerja adalah tukang caci".

Tukang caci tidak perlu buat apa-apa. Hanya perlu tahu serba sedikit tentang selok-belok pertukangan untuk tujuan memberi komen dan kritikan. Tetapi seorang yang benar-benar bertukang, dibahunyalah terletak bebanan tugas dan keberhasilan terhadap apa yang dibuat. Jika rumah siap tapi pahat berbunyi, maka mahu tidak mahu tukanglah yang bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan.

Persoalannya, adakah disebabkan rumah siap pahat berbunyi, maka kita mesti gantikan tukang ini dengan tukang caci? Betulkah tindakan kita?

Kita boleh lihat tukang-tukang yang telah dipecat, diguling atau yang telah dihukum bunuh disebabkan rumah yang dibina tidak berapa sempurna. Rumah yang tidak berapa sempurna binaannya itu terus runtuh dan hancur terus setelah diambil-alih oleh tukang caci.

Afghanistan, Iraq dan Libya adalah contoh terbaik yang telah membuat kesilapan memilih tukang caci untuk menggantikan tukang yang sebenar. Walaupun tukang sebenar itu tidak berapa mahir dan sempurna seperti yang dikehendaki, tetapi pengganti yang diambil hanya tahap tukang caci, akhirnya keadaan sedia ada telah menjadi lebih buruk.

Kita masih bernasib baik kerana tukang caci ini hanya diberi mandat di Selangor, Kedah dan Penang saja. Kita boleh lihatlah apa jadi kepada negeri-negeri setelah diberi kepada tukang caci. 

Hanya mereka yang tidak waras saja yang akan mengatakan negeri-negeri ini lebih baik dan lebih maju sejak ditadbir oleh tukang caci.

No comments:

Post a Comment