Saturday, October 22, 2011

PENDEKATAN NAJIB OUT DATED....

Kalaulah saya Presiden UMNO. Saya akan bedah UMNO mengikut kategori dan tahap penyakit yang wujud. Tujuannya adalah untuk memulihkan penyakit dan menjadikan UMNO kuat dan sihat. 

UMNO sebagai parti politik, juga tidak harus mengabaikan kesihatannya kerana jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan parti tidak sihat dan mempunyai pelbagai penyakit yang tidak dirawat, dikhuatiri rakyat sukar untuk memberi mandat.

Kalau saya presiden UMNO, saya akan pastikan mana yang patut didahulukan dan mana yang patut dikemudiankan. Mana yang paling penting, no.2 penting, no.3, 4, 5 dan seterusnya.

Keutamaan saya ialah memastikan parti diterima dan dipercayai semula oleh orang melayu dan rakyat keseluruhannya. Kalau ramai melayu dan rakyat kurang yakin dengan UMNO, saya kena lihat apa isu sebenar. Kalau isu sebenar berpunca dari persepsi serong mereka, saya kena kaji apa yang menyebabkan persepsi jadi serong. Saya juga kena kaji bagaimana jalan untuk mengatasi persepsi serong yang sudah menular.

Kalau ramai rakyat beranggapan UMNO parti rasuah, kita tidak boleh salahkan mereka. Persepsi yang timbul itu yang patut dikaji 'kenapa'. Mesti ada sebab. Kita tidak boleh semata-mata menafikan wujud amalan rasuah di kalangan pemimpin dengan kaedah  menyuapkan alasan dan bukti penafian, walaun pun bukti itu memang benar.

Terang terbentang KJ dan Khir Toyo telah didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti, tapi telah dilepaskan begitu saja. Begitu juga persepsi rakyat terhadap lain-lain pemimpin.

Sehingga hari ini belum ada seorang pun kalangan pemimpin parti yang didapati bersalah. Boleh dikatakan semua kes yang disiasat melalui saluran parti mahupun saluran kerajaan seperti SPRM berkaitan dengan orang politik sangat sukar untuk didakwa, apa lagilah untuk dihukum.

Mungkin PM Najib ada cara untuk menyahkan pemimpin rasuah dari kerajaan atau jawatan parti. PM Najib sangat berhemah dalam setiap tindakannya. Mungkin beliau tidak mahu mengaibkan mereka-mereka yang telah berjasa kepada parti. 

Pendekatan begini memang menjadi kelaziman pimpinan UMNO sejak dulu. Semuanya diselesaikan mengikut 'exit plan' yang tidak menjejaskan nama baik mereka atau pun nama baik parti. Amalan dulu ialah dengan cara memberi nasihat supaya meletak jawatan atau menawarkan mereka jawatan lain seperti menjadi duta atau duduk di GLC dan macam-macam pilihan lagi.

Tapi itu kaedah dulu. Sekarang keadaan sudah berubah. Dulu rasuah yang berlaku tidak sampai menyebabkan rakyat benci kepada kerajaan atau pun UMNO. Persepsi rakyat ketika itu sangat berbeza dengan persepsi rakyat hari ini. Hari ini, walaupun benar tidak berlaku rasuah dalam satu-satu transaksi kerajaan, rakyat tetap mempunyai persepsi 'pasti wujud rasuah. 

Inilah dilema sebenar yang dihadapi oleh kerajaan hari ini. Setiap rancangan kerajaan walau pun baik untuk rakyat, persepsi tetap beranggapan ada unsur rasuah.

Pendekatan hemah Najib sudah dianggap sebagai satu tindakan melindungi, merestui atau pun PM sendiri mempunyai kepentingan dalam transaksi yang berlaku. Walau pun tiada berlaku amalan rasuah dan keputusan dibuat mengikut prosedur yang telus, tetapi persepsi rakyat tidak begitu. Dalam kepala rakyat sudah wujud otak prejudis dan syak wasangka yang tinggi terhadap setiap tindakan kerajaan.

Walau pun persepsi ini tidak adil kepada Najib dan kerajaan, tetapi kita tidak boleh semata-mata menyalahkan mereka atau pihak pembangkang yang bertindak menabur pelbagai fitnah terhadap pentadbiran Najib. 

Ia juga berpunca dari sikap PM yang terlalu berhemah dalam membenteras rasuah, sehingga rakyat beranggapan pentadbiran Najib memang pentadbiran yang mendahulukan rasuah dalam setiap hal. Rakyat tidak nampak apa-apa bukti yang mwnunjukkan ,kerajaan tegas dan tidak kompromi dengan rasuah.

Apatah lagi sejak Anwar menjadi pemimpin pembangkang. Hari ini bukan sedikit rakyat yang sudah tidak dapat lagi memisahkan rasuah dari UMNO. Anwar sudah berjaya mensinonimkan rasuah dengan UMNO. UMNO itu rasuah, rasuah itu UMNO.

Tahun 70an dulu Anwar belum berkuku. Tahun 80an dan 90an, Anwar sudah berkuku tetapi dia berada di dalam sistem kerajaan dan menjadi pemimpin sohor kerajaan dan UMNO.

Ketika itu tiada kalangan pemimpin pembangkang yang hebat. Ketika itu tidak ada pemimpin pembangkang yang strategis seperti Anwar. Jadi bolehlah kerajaan amalkan pendekatan berhemah seperti yang dilakukan oleh Najib hari ini. 

Sepatutnya Najib kena ikut 'game' pembangkang dalam menawan semula persepsi rakyat. Bukan menurut kehendak pembangkang. Mengikut game dan menurut kehendak adalah 2 perkara yang berbeza. Mengiktiraf Namewee adalah contoh yang menurut kehendak. Mengiktiraf Namwee bukan mengikut 'game' pembangkang. 

Kalau saya PM, saya akan tawan semula persepsi rakyat dengan bertindak tegas terhadap amalan rasuah dan buktikan, selaku PM, saya bukan saja meletak agenda memerangi rasuah dalam NKRA, malah saya kotakan apa yang saya kata.

Rakyat harus melihat saya bertindak dan mendakwa sesiapa saja kalangan pemimpin parti dan kerajaan yang ada 'prima facie' rasuah.

Jika rasuah, tangkap dan hukum. Kawan dan lawan sama saja. Barulah rakyat nampak, saya selaku PM memang tegas dan tidak berkompromi langsung dengan rasuah.

Itu jam barulah Anwar dan pembangkang bisu. Bukan saja bisu, silap-silap haribulan Najib boleh sinonimkan pulak Anwar dengan rasuah sewaktu memegang jawatan besar dalam parti dan kerajaan UMNO.

Sekarang bila kita keluarkan bukti Anwar bapak rasuah, rakyat buat tak dengar sebab persepsi rasuah sudah disinonimkan dengan UMNO. 

Barulah rakyat yakin kembali bahawa UMNO benar-benar sudah pulih dan sihat tubuh badan.

Setakat cakap, rakyat dah tak main dah...

2 comments:

  1. Too late to bedah. Dah kena kanser level 4.. tunggu mati jer..

    ReplyDelete
  2. Salam tuan,
    Kalaulah tuan jadi PM dan Presiden Umno? Kalaulah kalau....saya berpendapat kalaulah kalau macam tu, keadaan sama juga berlaku. Barah dalam Umno sebenarnya sudah Tahap 4, sel barah dah lama berakar dan tak mampu diubati lagi, hanya mampu dibaca surah Yassin dan menunggu masa untuk ditalkinkan. Umno perlu jadi pembangkang dan merasai betapa peritnya menjadi pembangkang yang mana tidak ada lagi projek @ kontrak yang mampu disebat dan dirembat untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga terdekat. Saya sebagai generasi muda sudah bersedia untuk menyerahkan pemerintahan negara kepada parti selain daripada BN dan Umno. Bagi saya, ayat2 seperti negara akan hancur rosak binasa sekiranya jatuh ke tangan pembangkang hanya cuma ayat mainan pemimpin BN-Umno untuk mempertahankan tembolok sendiri dan takut kehilangan projek, tender, kontrak dll. secara mudahnya, kalau BN jatuh, habislah semua projek yang selama ini dikaut dalam poket mereka dan kemungkinan besar mereka akan merengkok dalam penjara hasil dari rasuah dan penyalahgunaankuasa. Selama ini mereka dilindungi oleh kuasa yang ada - kuasa yang lebih tinggi dari SPRM, jabatan peguam negara dll. Saya berpendapat Umno-BN perlu jadi pembangkang barang 1-2 penggal untuk bangkit semula menjadi yang lebih baik. Terpulanglah kepada tuan nak kekalkan komen ini atau terus berpura-pura dengan delete post ini. terima kasih.

    ReplyDelete