Thursday, December 29, 2011

ENTRI TERBUKA UNTUK DS NAJIB

Faktor "calon boleh menang" pun kini sudah menjadi bahan manipulasi pelbagai pihak berkepentingan. Semua barang mahu dimanipulasi. Semua barang mahu dijadikan bahan dagangan. Tidak adakah secebis atau sekelumit keikhlasan dan kejujuran di dalam diri untuk berbuat sesuatu hanya kerana Allah dan tidak ada maksud lain selain dari Allah?

Semua barang mahu dilihat dari sudut peluang @ opportunity.

Bukankah selama-selamanya faktor winnable candidate ini memang faktor asas yang sering digunakan untuk menilai kelayakan seseorang untuk dipilih menjadi calon?

Bukankah semua agensi yang diwujudkan seperti SB, MIO, JASA, RELA, KEMAS, MKN dan lain-lain, antara lainnya adalah untuk mengenalpasti kelemahan, kekuatan, ancaman dan peluang yang wujud di dalam parti, dan pentadbiran kerajaan bagi tujuan untuk menambahbaik keadaan sediada?

Kenapa baru sekarang faktor winnable ini menjadi isu besar dan penting?

Sejak negara ini menjalankan sistem demokrasi berparlimen, bukankah setiap kali pilihanraya, faktor pemilihan calon yang "paling sesuai" akan menjadi faktor terpenting dalam penentuan calon-calon yang mewakili setiap parti yang bertanding?
Isu sebenar hari ini bukan faktor winnable. Buatlah pelbagai kriteria dan pendekatan dalam mencari calon-calon boleh menang. Ia tidak akan memberi apa-apa makna jika tiada ketegasan untuk berpegang kepada apa yang disyaratkan oleh pembuat keputusan.

Jika pembuat keputusan gagal mengatasi budaya lobi melobi dari mereka yang berminat menjadi calon atau dari mereka-mereka yang terus mahu kekal dikedudukan yang ada, maka segala kriteria dan prinsip pemilihan yang dibuat akan tercampak ke longkang juga akhirnya.

Jika pembuat keputusan gagal menepis permainan silap mata dari mereka yang sedang berada di kedudukan penting hairaki kepimpinan parti untuk memastikan kedudukan mereka terus selamat, maka semua lapuran agensi-agensi yang terlibat akan terperap juga dilaci meja paling bawah si penguasa. Sebaliknya yang terjadi ialah agensi-agensi terbabit itu yang akhirnya akan terpaksa mengubah lapuran mengikut selera dan citarasa sang penguasa yang berkuasa dijajahan takluknya.

Di peringkat bahagian, lapuran agensi akan dibuat mengikut selera ketua bahagian. Bila sampai si negeri, lapuran itu akan diselaraskan pula dengan citarasa dan agenda pengerusi perhubungan, dan begitulah seterusnya.

Permainan silap mata  di dalam proses penentuan calon winnable ini berlaku di setiap peringkat. Sekali air bah, sekali pantai berubah. 

Sekali lapuran sampai ke peringkat yang lebih atas, sekali lapuran berubah. Sekali lapuran berpindah ke pegawai atasan, maka sekali lapuran akan berubah mengikut citarasa dan kehendak pegawai yang tidak boleh lari dari sifat manusia biasa yang punya kemahuan dan kehendak tersendiri. Mereka juga tidak bebas dari sebarang bentuk pengaruh dan lobi.

Inilah kelaziman yang berlaku sejak puluhan tahun dulu. Jadi kenapa pula sekarang baru hiruk pikuk membincang soal faktor winnable sedangkan faktor winnable itu sudah menjadi asas pertimbangan sejak sekian lama. 

Cuma selalunya peratusan kejayaan untuk berpegang kepada pemililihan atas faktor winnable itu yang jauh tersasar kerana akhirnya pengaruh dan faktor lain yang akan mengambil tempat utama.

Selalunya usaha lobi dari individu pemimpin di setiap peringkat kepimpinan itulah yang sering menjadi winner dalam mengenengahkan calon winnable mengikut versi mereka. Akhirnya faktor winnable candidate yang dimaksudkan sebenarnya tetap tidak lari dari mendahului kemenangan game plan kepentingan diri dari kepentingan parti.

Akhirnya, bukanlah faktor "asal parti boleh menang" yang menjadi mauduk utama.  Yang menjadi mauduk sebenar ialah asal lobi boleh menang. Parti no. 2.

Untuk itu, pucuk pimpinan tidak perlu diingatkan tentang kemungkinan-kemungkinan yang mungkin terjadi ini kerana sudah pasti mereka sudah arif sangat akan semua permainan ini. 

Apa yang seharusnya ditanya kepada pucuk pimpinan ialah sejauh mana ketegasan dan keberanian mereka untuk berpegang kepada faktor winnable? 

Juga, sejauh mana ketegasan pucuk pimpinan untuk benar-benar mendahului kepentingan parti atau mereka akan tewas juga kepada agenda, game plan, lobi atau segala macam silap mata yang sedang dimainkan di depan mata pucuk pimpinan oleh puak-puak yang hanya tahu dan mahu terus kekal menongkat langit tanpa sekelumit pun memikirkan kepentingan yang selain dari kepentingan diri.

Kepada pucuk pimpinan... Yakin dan percayalah kepada diri sendiri, ikhlas dan jujurlah kepada prinsip yang digariskan dan tawakkallah kepada tuhan dengan keputusan yang dibuat.

Mungkin pegangan sebeginilah yang akan menjemput pertolongan Allah dan menyebabkan Allah terpanggil untuk terus melindungi dan menyelamatkan agama, bangsa dan tanah air ini dari terjerumus menuju kehancuran.

Salam.

No comments:

Post a Comment