Akhirnya semua parti yang berebut-rebut untuk memenangi sokongan rakyat akan terpaksa juga berdepan dengan realiti sebenar yang wujud di dalam masyarakat.
Janji manis, retorik dan teknik yang diguna dalam mempengaruhi rakyat dan kepandaian dalam membentang manifesto masing-masing tidak cukup untuk dijadikan faktor untuk memilih parti mana yang paling bagus memerintah.
Jika setakat hebat mencipta manifesto sudah memadai, maka tidak akan bangkitlah kemarahan penduduk setinggan di Kelang terhadap Ronie Liu yang berjanji untuk menyediakan perumahan kos rendah bawah RM90 ribu.
Jika setakat janji manis sudah cukup untuk diberi mandat memerintah, maka tidak akan tergamaklah pengundi Selayang membakar poster YB William. Sudah pasti ada cakapnya yang tidak serupa bikin telah menyebabkan rakyat bangkit.
Jika setakat hebat membaca ayat-ayat suci dan hadis-hadis nabi, itu belum cukup lagi untuk dikatakan layak memimpin negeri dan negara. Jika tidak, masakan kelompok yang hafal quran dan hadis ini akhirnya boleh bergaduh sesama sendiri dalam hal yang berkait langsung dengan akidah dan kesucian agama.
Kehebatan berpidato seperti Sukarno hanya mampu memukau rakyat dan pendengar untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja. Sampai ketikanya Sukarno juga dihina oleh rakyatnya sendiri.
Semua janji-janji, manisfesto, retorik memukau dan lain-lain kebolehan ini hanyalah suatu medium untuk menarik sokongan rakyat untuk menyokong parti yang diwakili.
Akhirnya semua parti dan pemimpin yang mewakili parti yang terlibat ini akan dinilai secara merit juga oleh rakyat. Penilaian rakyat ini hanya boleh dilakukan setelah parti dan pemimpin ini menjadi pemerintah dan mentadbir sesebuah kerajaan atau pun constituency.
Akhirnya, bukan sahaja parti dan pemimpin, malah rakyat dan pengundi yang terpengaruh dan naik semangat mendengar retorik pemimpin ini akan terpaksa juga berhadapan dengan realiti kehidupan mereka sendiri.
Realiti dan keperluan hidup rakyat adalah merupakan KPI sebenar setiap parti yang memerintah.
Jika pemimpin dan parti yang diundi dan dipuja-puji itu gagal membantu menyelesaikan setiap permasalahan mereka, akhirnya rakyat akan bangkit juga meluahkan ketidak-puasan hati mereka terhadap khidmat YB atau kerajaan yang memerintah yang telah mereka undi.
Akhirnya, apa yang sebenarnya dikehendaki oleh rakyat ialah sebuah dasar, cara perlaksanaan dan perkhidmatan yang berkesan dari sesebuah kerajaan atau YB setempat. Inilah realiti sebenar atau KPI yang terpaksa dilalui oleh setiap parti pemerintah dan YB setempat.
Segala retorik, janji dan manifesto yang ditawarkan sebelum pilihanraya semuanya akan menjerat semula parti-parti dan pemimpin yang membentangkannya.
Sejak 2008, politik negara telah berjalan di atas landasan emosi dan tidak lagi realistik.
Sebarang keputusan yang dibuat semuanya berlandaskan retorika dan sentimen melampau yang sebahagian besarnya sudah tidak lagi berpijak dibumi nyata.
Pemimpin dan parti-parti politik cuba merampas hati dan persepsi rakyat melalui sentimen dan emosi. Siapa yang pandai beremosi dan memainkan sentimen, maka merekalah kononnya akan disokong oleh majoriti rakyat.
Cubalah nilai apa maksud disebalik slogan dan kalimah keramat yang masing gunakan untuk mengoyak dan merobek jiwa rakyat.
ABU - Asal Bukan UMNO
Tolak UMNO tolak rasuah.
Najib Altantunya
Rosmah Imelda Marcos
Anwar mandela
Anwar aung Sang su kyi
Anwar Imam Mahdi penyatu timur dan barat.
Negara Berkebajikan
Pemerintah Penang khalifah Umar Abdul Aziz.
Dan banyak lagi..... Slogan angkat bakul sendiri dan campak bakul orang lain dalam longkang.
Rakyat yang tertipu juga akhirnya akan rasional dan kembali realistik selepas Pilihanraya. Janganlah kamu termasuk di dalam golongan orang-orang yang mudah diperbodohkan!
No comments:
Post a Comment