Perubahan zaman yang dilalui negara dari dulu sehingga sekarang tidak sepatutnya merubah prinsip dan nilai perjuangan pemimpin UMNO dalam membela bangsa dan tanah air.
Pemimpin terdahulu mempunyai semangat perjuangan nasionalisme yang amat tinggi sehingga sanggup berkorban apa sahaja untuk menjaga kepentingan bangsa dan tanah air tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan kedudukan.
Nilai berkenaan tidak boleh ditinggalkan dan diketepikan oleh pemimpin yang ada ketika ini, malahan ia tidak boleh ditukar ganti.
Ini dia ucapan ucapan Perdana Menteri Malaysia ke 6!
Kenyataan dan ucapan seperti ini harus selalu kedengaran keluar dari seluruh pimpinan UMNO atau pun kabinet Malaysia.
Jarang sekali kebelakangan ini kedengaran pimpinan UMNO mengucapkan perkataan-perkataan seperti nasionalisme atau idealisma UMNO atau pun bangsa melayu.
Perkataan ini semakin asing bagi sebahagian dari pemimpin.
Pemimpin UMNO patut sedar, sejak perkataan ini beransur-ansur pupus keluar dari mulut merekalah bermulanya timbul perkataan-perkataan alternatif seperti kronisma, nepotisma, poketisma dan lain-lain isme buruk yang dilabel kepada mereka oleh pihak lawan.
Pemimpin UMNO patut belajar dari mana asal usul perigi buta!
Perigi buta menjadi tempat tinggal binatang berbisa seperti ular, kala atau jengking. Perigi buta juga menjadi tempat buangan segala sampah sarap dan kotoran. Sampah sarap inilah yang akan menimbus terus perigi buta dari pandangan ramai.
Perigi menjadi buta bila ia tidak berfungsi atau digunakan mengikut norma yang sepatutnya. Air perigi akan hilang kualiti dan mungkin bahaya untuk diminum. Ini disebabkan air tidak bertukar ganti kerana mata air akan terhenti atau pindah mengisi takungan yang lebih rendah bila aras atau level air sampai pada tahap tertentu mengikut ketinggian struktur bumi sekitarnya.
Itu sifat atau norma kejadian sebuah perigi.
Pemimpin UMNO hari ini harus kaji kenapa mereka terlalu mudah mendapat musibah atau terlekat persepsi buruk dari pandangan umum.
Akal yang tidak digunakan dengan baik tidak akan bercambah. Akal akan terus bercambah apabila ia dikerah untuk berfikir. Jika tidak dikerah akal boleh jadi dungu.
Sifat parang juga akan semakin tajam apabila ia sering diasah.
Banyak lagi analogi yang boleh dijadikan pedoman oleh pimpinan UMNO jika mereka mahu mengkaji.
Apabila pemimpin sudah kurang menyebut dan memperjuangkan soal-soal berkaitan nasionalisma, idealisma atau nilai-nilai yang baik seperti yang disebut oleh PM Najib, maka secara tak disedari segala isme2 dan nilai-nilai buruk akan mengisi ruangan kosong yang telah ditinggalkan oleh nilai-nilai dan isme2 yang baik.
Apabila keadaan ini berlaku, maka mana-mana pemimpin atau parti yang beransur meninggalkan nilai perjuangan mengikut prinsip dan norma perjuangan sebenar pasti akan dihinggapi oleh isme2 dan nilai-nilai yang bertentangan.
Tidak menghairankan kepada kita akhir-akhir ini, ramai kalangan pemimpin UMNO yang senasib dengan nasib perigi buta. Dijadikan sasaran pelbagai label buruk dan keji oleh para musuh. Menjadi tempat buangan segala sampah sarap tuduhan kronisma, nepotisma, rasuah dan pelbagai lagi label buruk. Ramai kalangan mereka yang tertimbus dan lenyap terus dari pandangan umum akibat dari timbunan baggage dan sampah sarap.
Puncanya adalah disebabkan mata hati dan akal sebagai pemimpin sudah tidak lagi membawa prinsip perjuangan dan nilai-nilai suci dan telus seperti yang telah digariskan oleh pemimpin terdahulu.
Tepat sekali peringatan yang dibuat oleh PM Najib. Sisik ikan akan tanggal dari badan apabila kehidupan ikan itu tidak lagi berada dihabitat yang sepatutnya, iaitu di air. Sisik kepimpinan seseorang pemimpin juga akan tanggal dari batang tubuhnya apabila mereka tidak lagi berada dilandasan habitat perjuangan sebagaimana yang telah diamanah dan dipertanggungjawabkan.
Pemimpin UMNO yang tidak tahu punca dan asal usul kenapa mereka tiba-tiba tidak lagi mendapat sokongan ramai harus bertanya diri sendiri, "kenapa aku menerima nasib seperti nasib perigi buta?"
No comments:
Post a Comment