Monday, February 13, 2012

KALI INI SERIOUS.....

Tafsiran para ahli ilmuan mengenai pengertian apa itu ilmu dan apa itu amal seringkali berlaku kekeliruan. 

Ada yang beranggapan apabila sudah berilmu, itu sudah dikira alim dan warak. Apabila seseorang itu dianggap alim dan warak, maka ramailah kalangan umat menjadikan mereka sebagai sumber rujukan utama dan terpakai oleh orang banyak. Kata-kata mereka dianggap fatwa.

Agama menyebut ilmu, iman dan amal harus seiring. 

Saidina Ali r.a berkata, "ilmu yang banyak, yakin yang tinggi adalah yang terbaik. Ilmu yang kurang, yakin yang tinggi adalah lebih baik dari ilmu yang banyak tapi yakinnya kurang".

Di dalam Al Quran juga ada disebut, "ahli kitab wal musyrikin".

Di dalam kitab juga diceritakan "Azazil", iaitu ketua para-para malaikat sebelum Jibrail a.s. Azazil adalah malaikat yang paling alim dan warak. Doanya makbul kerana kedudukannya paling hampir dengan Allah. Tetapi, Azazil telah dilaknat Allah dan disingkir dari syurga kerana keengganannya untuk sujud kepada Adam a.s, sedangkan para malaikat yang lain terus, tanpa banyak soal sujud kepada Adam a.s apabila diperintahkan oleh Allah untuk berbuat demikian.

Jika diambil dan dikaji dari semua kisah dan kata-kata ini, jelas,  bahawa ilmu semata tidak menjamin seseorang itu akan terselamat kedudukannya di dunia mahu pun di akhirat. Tiada jaminan bahawa "ilmu" semata-mata akan meletakkan seseorang hamba itu sentiasa berada di atas jalanNya yang lurus.

Apakah ciri-ciri amalan yang ada pada Azazil sehingga ia mendapat laknat? Apakah pula ciri-ciri amalan yang ada pada para malaikat lain hingga mereka terselamat dari kemurkaan Allah?

Jika dikaji, masing-masing "percaya" akan wujudnya Allah. Masing-masing juga "mengakui" akan maha kuasanya Allah. Apa yang membezakan di antara ke duanya ialah soal "keyakinan". 

Para malaikat lain terus "yakin" tanpa banyak soal terhadap apa yang diperintahkan oleh Allah supaya sujud kepada Adam, sebaliknya, Azazil bertanya apa rasional dan justifikasi perintah tersebut, malah mempertikaikan kenapa mesti dia sujud kepada Adam sedangkan kejadiannya lebih mulia dari Adam yang hanya diperbuat dari tanah.

Dengan berbekalkan "kepercayaan", "pengakuan" dan "keyakinan" tanpa "ilmu"(tidak tahu apa rasional dan justifikasi dari perintah Allah) tentang sebab musabab Adam dijadikan, para malaikat terus "amalkan" dan mentaati sebagaimana diperintahkan.

Manakala, di pihak Azazil pula, dia hanya ada "percaya" dan "mengakui" akan wujud dan maha kuasanya Allah, tetapi apabila sampai kepada bab "keyakinan" yang sebenar, Azazil mula was-was dan menaruh syak akan perintah Allah. Azazil tertipu dengan ilmunya menilai kejadian Adam secara zahiriah.

Dalam maksud lain, Azazil telah memandang rendah kepada sifat Adam yang dijadikan dari tanah, manakala dia lebih mulia kerana dijadikan dari api.

Persoalannya, kenapa Azazil yang alim dan warak boleh tertipu dan gagal memahami perintah Allah, manakala para malaikat lain yang lebih rendah ilmu dan kewarakkannya boleh memahami maksud dari perintah Allah ini?

Secara logiknya, seseorang yang berilmu itu sepatutnya lebih maklum dan tahu bagaimana untuk "mengamalkan" perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Tetapi, sebaliknya si jahil yang kurang ilmu tapi tinggi yakinnya pula yang tahu untuk mentaati perintah Allah.

Dari dua karakter malaikat ini boleh kita kaji dan buat penilaian, kenapa malaikat selamat dan kenapa Azazil menerima laknat Allah.

Antara yang boleh disimpulkan ialah;
1. Sifat seorang ahli ilmu (alim) boleh mendedahkan seseorang kepada sifat sombong, riak dan takabbur. Memandang rendah akan orang lain dan merasa takjub akan diri sendiri.
2. Sifat taat akan perintah Allah bukan terbit dari "ilmu" yang tinggi tetapi ia lahir dari pegangan keyakinan yang sebenar kepada Allah.
3. Setakat percaya dan mengakui akan wujud serta maha kuasanya tuhan adalah prinsip kepercayaan penganut semua agama, termasuklah penganut agama Buddha, kristian, hindu dan lain-lain. Disebabkan tiadanya komponen "yakin" itulah yang menyebabkan mereka mensabitkan akal dan logik sehingga mereka mencipta tuhannya sendiri untuk  disembah. Maka direkabentuklah tuhan yang boleh "dilihat dan dijisimkan" di dalam bentuk salib, tokong atau sami.
4. Hakikatnya, komponen "yakin" inilah yang membezakan di antara Islam dengan lain-lain agama. Allah yang tidak dapat dilihat, tiada perbandingan dan tidak berjisim.

Bagaimana pula "rupabentuk" amalan yang membuktikan bahawa kita benar-benar percaya, mengakui dan yakin sepenuhnya (sahih) kepada Allah?  

Pastinya "rupabentuk" amalan itu harus dilihat "terjadi" atau "transformed" di dalam diri dan wujud dalam bentuk perbuatan. Rupabentuk amalan itu hanya akan wujud apabila perbuatan itu berlaku di atas jalanNya yang benar. Tanpa keyakinan, keikhlasan dan kejujuran sebenar kepada diri sendiri dan kepada apa juga perbuatan yang dilakukan tidak akan menjadikan perbuatan kita itu berada dijalanNya yang benar. 

Yakin, ikhlas dan jujur kepada diri dan kepada sebarang perbuatan itu adalah manifestasi dari kepercayaan, pengakuan dan keyakinan yang benar-benar kukuh kepada Allah swt. 

Seseorang yang tidak cukup pegangan keyakinan, keikhlasan dan kejujuran kepada diri dan juga kepada Allah akan menyebabkan dirinya terdedah kepada sifat-sifat yang mirip kepada sifat Azazil. 

Sifat sombong, riak dan takabbur yang dimiliki oleh Azazil telah menjadi punca kepada timbulnya laknat Allah. Manifestasi dari sifat sombong, riak dan takabbur ini juga boleh dilihat "rupabentuknya" pada amalan dan perbuatan seseorang.
 
Demi untuk mempertahankan  kesombongan, riak dan takabbur diri,  manusia selalunya sanggup berbuat apa saja, termasuk melakukan pembohongan, fitnah dan dusta. Apabila bercakap dia bohong dan dusta, bila berjanji dia mungkir.

Boleh diambil kesimpulan bahawa barang siapa yang memiliki sifat sombong, riak dan takabbur, pasti mereka juga memiliki sifat seorang pembohong, pembawa fitnah dan pendusta. Amalan bohong, fitnah dan dusta adalah "rupabentuk" amalan yang telah ditransformasi dari sifat sombong, riak dan takabbur. 

Dengan adanya sifat sombong, riak dan takabbur yang dimilikki inilah yang akan melancarkan lagi segala gerakerja syaitan Azazil dan kuncu-kuncunya, iblis dalam menggoda dan menyesatkan manusia. Segala kaedah pembohongan, fitnah dan pendustaan digunapakai agar semua anak Adam terkeliru dan tertipu.

"Ilmu" yang tinggi bukan "penebat" kepada segala ancaman hasutan syaitan dan iblis, malahan ilmu itu sendiri boleh mendatangkan bahaya dan ancaman kepada seseorang manusia itu sendiri sepertimana yang telah terjadi kepada Azazil laknatullah.

"Yakin" yang tinggi itulah sebenarnya yang mendatang amal yang benar. Yakin yang tinggi inilah yang telah menyelamatkan para malaikat dari laknat Allah.

Marilah kita berintrospeksi bersama, semoga "jaminan keselamatan" Allah akan kita perolehi. Terhindar dari segala "rupabentuk" fitnah akhir zaman dan kekeliruan yang sedang hebat "menipu dan mengelirukan" masyarakat hari ini.

Salam.

No comments:

Post a Comment